Busana klasik pesona asli gadis Melayu

0
701

SEMAKIN sukar menemui pakaian tradisional wanita masa kini. Populariti jubah, abaya dan fesyen dari Asia Barat telah menenggelamkan kecenderungan masyarakat untuk bergaya dalam helaian kebanggan tempatan.

Permintaan terhadap busana klasik seperti baju kurung, kebaya dan kebarung masih ada. Cuma kelompongan permintaan itu tidak dapat ditampungi kebanyakan pengusaha fesyen lokal berikutan keghairahan menghasilkan rekaan bersifat semasa – jubah, blaus tunic dan abaya.

Maka peluang itu diambil jenama baharu, Dokoh bagi melancarkan koleksi Klasik 2016. Ia merangkumi lima rekaan tradisional terdiri daripada Baju Kurung Pahang, Baju Kurung Kedah, Baju Kurung Moden, Kebaya labuh dan Kebarung.

Menariknya koleksi terbaharu butik yang terletak di Bangi Sentral itu, potongan dan kehalusan jahitannya diinspirasikan daripada kemasan masa silam bagi memberikan si pemakai merasai keselesaan pakaian orang dahulu.

“Kurung Pahang Rokiah mengekalkan ciri asalnya iaitu direka menggunakan teknik pesak gantung dan tidak berkekek. Kainnya pula dihasilkan mengikut teknik susun sisi belah kiri. Cara lipatan ini lebih memberikan keselesaan untuk melangkah sekali gus membolehkan si pemakai berjalan penuh sopan santun.

AAR_7048.jpg-cKURUNG PAHANG ROKIAH/FOTO: DOKOH

“Potongan klasik tanpa mengikut bentuk tubuh dapat dilihat pada Kurung Kedah Hasnah. Berlengan tiga suku, kainnya pula menggunakan teknik sepit belah kiri. Berbeza dengan teknik lipatan asal yang menggunakan kain tiga panel, kami mengubah teknik tersebut agar bersesuaian untuk kelompok Muslimah khususnya bertudung.

“Jika Kurung Kedah asli, kainnya akan menampakkan betis tetapi menerusi sepit sarung, lipatannya akan tercantum.

AAR_7106.jpg-cKURUNG KEDAH HASNAH/FOTO: DOKOH

“Mungkin ada yang tertanya apa perbezaan lipat kanan atau kiri? Ya memang ada penjelasannya. Kebiasaannya lipat belah kiri adalah untuk kegunaan wanita bertangan kanan manakala lipat belah kanan untuk mereka bertangan kidal. Namun kami generalisasikan majoriti orang menggunakan tangan kanan,” terperinci penerangan pereka dan pengurus kreatif Dokoh, Nik Amri Nik Hassan.

Kurung Moden Salmah keluaran jenama yang memasuki usia lapan bulan itu pula menepati cita rasa wanita masa kini. Tanpa pesak dan kekek, helaian berona hitam berkilau tersebut dipotong langsing bagi menampakkan potongan tubuh si pemakai. Namun labuh baju masih mengikut ukuran kurung tradisional. Sedikit potongan duyung kemudiannya diserapkan pada kain.

AAR_7010.jpg-cKURUNG MODEN SALMAH/FOTO: DOKOH

Dua item paling digemari ramai adalah Kebaya Labuh Aminah dan Kebarung Kalsom. Kesukaran mendapatkan kebaya dan kebarung yang benar-benar mengikut spesifikasi tradisional menjadikan ia rekaan pilihan pelanggan Dokoh. Malah terdapat pelanggan yang membeli kelima-lima rekaan kerana menggemari nilai eksklusif koleksi ini.

Kebaya Labuh Aminah dihasilkan dalam rona perang klasik manakala Kebarung Kalsom berwarna jingga lembut. Kedua-dua helaian ini tambah berseri apabila dipadankan bersama kalung dokoh tiga tingkat yang juga aksesori klasik yang kian dilupakan.

AAR_7208.jpg-cKEBARUNG KALSOM/FOTO: DOKOH

“Menerusi koleksi Klasik 2016 Dokoh, kami mahu mengembalikan kegemilangan helaian tradisional yang sebenarnya lebih manis dan mempesona. Apatah lagi apabila setiap rekaan yang dibeli pelanggan akan disertakan bersama kalung dokoh secara percuma, lengkap dengan kotak eksklusif jenama kami,” tambah Nik Amri Nik Hassan.

Koleksi Klasik 2016 Dokoh menggunakan material sutera Thailand lembut bertekstur. Fabrik tersebut memudahkan pergerakan si pemakai serta tidak panas. Ia tidak terlalu tebal atau nipis, tidak juga keras atau lembut. Kesimpulannya ia sempurna untuk dipakai ke apa jua acara tanpa mengira waktu.

AAR_7347.jpg-cKEBAYA LABUH AMINAH/FOTO: DOKOH

Bagi mendapatkan koleksi Klasik 2016, kunjungi butik Dokoh atau hubungi talian di bawah untuk maklumat lanjut atau pesanan secara dalam talian. Untuk peringatan, rekaan ini TERHAD untuk beberapa pasang sahaja bagi menggandakan tahap eksklusif para pelanggan.

Info Koleksi Klasik 2016:
– Item: Kurung Pahang Rokiah, Kurung Kedah Hasnah, Kurung Moden Salmah, Kebaya Labuh Aminah & Kebarung Kalsom
– Saiz: S, M, L & XL
– Harga: RM179 (PERCUMA kalung dokoh dan kotak eksklusif Dokoh)
– Material: Sutera Thailand lembut

Info Butik Dokoh:
– Alamat: 6-35-1, Jalan Medan PB8A, Bangi Sentral, 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor
– Facebook:
– Instagram:
– YouTube:
– Telefon:
– E-mel:

KONGSI
Artikel sebelumnyaTransformasi wajah cerah cara selamat!
Artikel seterusnyaSufi Rashid: Sayembara Seni, Survival dan Kontroversi
Memulakan kerjaya penulisan sebagai wartawan di sebuah akhbar berbahasa Melayu tempatan dan berkhidmat selama empat tahun sebelum menyertai Pepatung sepenuh masa. Berpengalaman dalam penulisan rencana terutama berkenaan gaya hidup, profil, minat ramai, isu semasa, fesyen dan hiburan.

TINGGALKAN RESPONS