MAKANAN halal sering menjadi keutamaan pelancong Muslim ketika berkunjung ke negara asing. Bagaimanapun akses terhadap makanan halal kini lebih mudah berbanding dahulu. Jerman antaranya, negara dengan 4.7 juta penduduk beragama Islam (membentuk 5% populasi penduduk), menawarkan pilihan makanan halal yang meluas di seluruh destinasinya.
Tidak sukar untuk mencari restoran atau kiosk makanan halal di Jerman. Orang Turki yang berhijrah ke negara itu membolehkan pelancong beragama Islam menjelajah kota sejarah tersebut dengan tenteram dan selesa. Sekiranya anda merancang untuk ke Jerman, jadikan senarai lokasi sajian halal berikut sebagai panduan.
1) Nusantara Restaurant
Terdapat ratusan restoran halal di sekitar ibu kota Berlin. Bagaimanapun selera orang Malaysia pastinya lebih menginginkan nasi berlauk. Jika anda jenis individu yang tidak boleh untuk tidak makan nasi, kami sarankan anda untuk ke Nusantara Restaurant.
Di sini anda akan dihidangkan dengan sajian tradisi Indonesia seperti gado-gado, nasi goreng, bakmi goreng dan sate. Dengan pemanis mulut berupa cendol dan ais campur dalam senarai menunya, Nusantara semestinya memenuhi selera orang Malaysia.
Dilengkapi Wifi percuma, Nusantara yang mula beroperasi pada 2011 juga menerima pengiktirafan halal. Pelanggan beragama Islam juga dibenarkan untuk menumpang solat di sini.
Lokasi: Turmstr. 18, 10559 Berlin
Laman web:www.restaurant-nusantara.de
2) 3h’s burger & chicken
Rangkaian restoran ini terdapat di enam lokasi di sekitar Jerman. Di 3h’s Anda akan menikmati burger halal terbaik di Jerman. Ramai yang memuji keenakan burger dan kentang goreng di sini. Burger keju bercili dan burger BBQ antara menu yang sering dipesan pelanggan.
Sama ada anda ke cawangannya di Aachen, Düsseldorf, Frechen, Gelsenkirchen, Cologne atau Wuppertal, anda akan disambut dengan keramahan pekerjanya, ruangan yang bersih dan dekorasi moden ringkas.
Laman web: www.3hs-burger.de
Facebook:
3) Traumkuh – burger & poutine
Sebuah lagi jenama halal di Jerman. Ia terdapat di tiga bandar utama Jerman; Hamburg, Frankfurt dan Essen. Burger menjadi menu utama di sini dengan kentang goreng berkeju dilimpahi sos sebagai pelengkap selera. Tidak menyediakan daging khinzir dan minuman keras, Traumkuh benar-benar tempat makan halal yang tidak perlu diragui pelanggan muslim.
Laman web:traumkuh.de
4) Tuk-Tuk Restaurant
Sekali lagi istimewa untuk penggemar menu Nusantara. Tuk-Tuk adalah antara restoran yang menghidangkan menu Indonesia asli yang popular di Berlin. Keenakan soto ayam dan rendang daging di sini pasti mengubati rindu anda kepada tanah air. Berasaskan buluh dan dekorasi klasik Indonesia, Tuk-Tuk sering menjadi pilihan kebanyakan pelancong Asia Tenggara.
Lokasi: Grossgoerschenstr. 2, 10827 Berlin
Laman web: www.tuk-tuk.de
Jadi tiada alasan untuk anda terbang dan meneroka pelancongan hebat Jerman. Ia tidak terlalu sesak dan padat dengan pelancong memandangkan ramai yang memilih Paris, London dan Amsterdam sebagai jelajah Eropah wajib dikunjungi.
Jadi untuk anda yang inginkan destinasi tidak sesak atau klise, datanglah ke Jerman. Mulakan eksplorasi Eropah anda di Berlin sebelum pergi ke lokasi lain. Rancang percutian anda sekarang dan bandingkan harga penerbangan terendah yang terbaik di WEGO.