5 sebab kenapa JERMAN pasti digilai kaki travel terutama pelancong MUSLIM

ORANG Malaysia jarang memilih Jerman sebagai destinasi percutian jika ke Eropah. Kebiasaannya, kota raya popular seperti London, Paris dan Amsterdam menjadi tumpuan klise pelancong Malaysia. Eropah juga menjadi lubuk beli-belah terkemuka dunia.

Mengapa Jerman sering tercicir dari senarai jelajah Eropah rakyat Malaysia? Sedangkan negara berpopulasi 82.29 juta itu memiliki tarikan pusat percutian yang unik dengan pemandangan menakjubkan.

Selain 65% lebuh raya (Autobahn) di negara tersebut tidak mempunyai tetapan had laju, Jerman juga terkenal sebagai negara yang mementingkan pendidikan. Kesemua pelajar (termasuk pelajar asing) boleh menuntut pengajian di kesemua universiti seluruh Jerman secara percuma.

Ramai juga tidak tahu bahawa keluasan Berlin adalah sembilan kali ganda lebih besar berbanding Paris dan mempunyai jambatan lebih banyak daripada Venice. Ia juga negara yang sesuai bagi mereka yang suka berkunjung ke zoo kerana ia mempunyai kira-kira 400 buah zoo, yang terbanyak di dunia.

Pepatung mengumpulkan maklumat bermanfaat untuk anda yang memasang impian untuk ke Jerman atau mereka yang ingin tahu keistimewaan negara dengan ekonomi terbesar dalam Kesatuan Eropah (EU) itu.

Sekiranya anda pencinta sejarah dan mengagumi seni bina bangunan lama, Jerman adalah negara terbaik untuk anda pergi. Dan anda akan merasai suasana sebenar peradaban klasik Inggeris.Dengan lebih 2,100 istana di seluruh Jerman, jelajah sejarah anda ke negara ini pasti memberikan keseimbangan keseronokan dari aspek hiburan, pengetahuan, makanan serta keindahan alam.

Salzwedel

Mulakan pengembaraan anda ke kawasan sedikit terpencil seperti Salzwedel. Hampir keseluruhan bangunan termasuk rumah di situ masih mengekalkan batuan dan kayu binaan asal. Pemandangan itu membuatkan pelancong berasa seperti hidup di zaman dahulu. Tidak sesak dan jauh daripada pembangunan berlebihan.

Seorang rakyat Malaysia yang pernah menetap di Salzwedel selama tiga tahun, Husna Hisan Md. Nor, menceritakan, destinasi tersebut kurang diketahui pelancong. Bagaimanapun beliau sangat menggalakkan orang untuk datang dan merasai sendiri keunikan bekas kawasan perdagangan penting di Jerman Timur.

“Banyak monumen tinggalan perang di sini. Istana lama dengan menara dan taman yang cantik, pagar utama Stonegate dan Neuperver Gate dan muzium antara tarikan yang terdapat di sini,” kongsi Husna yang berhijrah ke Jerman sejak berusia 18 tahun.

Jambatan Air Magdeburg

Husna kemudiannya berpindah ke Magdeburg menyambung pengajian di sebuah universiti di situ. Menariknya Magdeburg mempunyai Jambatan Air (Magdeburg Water Bridge) yang merupakan jambatan air terpanjang di dunia. Pelancong dapat menyaksikan kebijaksanaan kejuruteraan Jerman yang membina sungai di atas sungai.

Ia dibuka pada 2003 walaupun pembinaannya bermula sejak awal 1930. Projek tersebut tergendala susulan Perang Dunia ke-2 dan Perang Dingin dan hanya kembali diteruskan pada 1997 selepas penyatuan Jerman Barat dan Jerman Timur.

Pelancong boleh berjalan dan bergambar di sepanjang jambatan yang menghubungkan Terusan Elbe-Havel dan Terusan Mittelland yang merentasi Sungai Elbe itu.

Jambatan air sepanjang 918 meter itu boleh dilalui bot-bot kecil termasuklah kapal-kapal kargo yang menjadi laluan alternatif memendekkan perjalanan antara timur dan barat Jerman sejauh 12 kilometer.

Dresden Bandar Diraja

“Jambatan ini memang popular dalam kalangan orang Jerman, tetapi kebanyakan pelancong asing kurang tahu kewujudan dan tarikan jambatan ini. Seterusnya, dari Magdeburg pelancong boleh terus ke Dresden.

“Dresden ini bagaikan bandar diraja di Jerman. Banyak istana lama yang macam kita tengok dalam filem seperti Cinderella ada di sini,” tambah Husna, ibu kepada empat cahaya mata itu.

Di Dresden, pengunjung akan terpukau dengan kemegahan seni bina asli Barok. Kemegahan dan kemewahan era pemerintahan Anglo-Saxon dipertontonkan kepada pengunjung menerusi artifak bersejarah, gereja dan istana-istana majestik di pinggir Sungai Elbe.

Paling menyerlah adalah gereja Frauenkirche yang siap dibina sekitar 1743. Ia pernah musnah akibat pengeboman Dresden ketika Perang Dunia ke-2 pada 1945. Runtuhan bangunan tersebut dikumpul dan disimpankan untuk pembinaan semula. Penyatuan semula Jerman pada 1990, rancangan pembinaan semula Frauenkirche dipergiatkan.

Gereja ikonik itu kembali dibuka pada 2005 menggunakan hampir 4,000 batuan binaan asal. Pengunjung boleh menaiki lif ke kubah bagi melihat keindahan bandar Dresden.

Secara keseluruhannya, Dresden merupakan bandar untuk pelancong yang meminati seni bina Barok asli. Peradaban Inggeris purba dan kemewahan kehidupan penduduk di bandar itu pada zaman dahulu dapat dilihat di monumen dan muzium di sekitarnya.

Muzium dan Istana Diraja Dresden, Zwinger, Brühl’s Terrace dan The Great Garden antara lokasi mesti disinggahi jika anda ke Dresden.

Mesra Muslim

Apabila ke luar negara, perkara utama yang menjadi kegusaran orang Malaysia adalah akses terhadap makanan. Khususnya orang Melayu beragama Islam, kemudahan untuk mendapatkan makanan halal di negara asing sangat penting.

Hampir 5 juta penduduk Muslim di Jerman, membentuk 6% daripada keseluruhan populasi. Peratusan tersebut meningkat dalam tempoh enam tahun (2010 hingga 2016) kerana keterbukaan Jerman menerima pelarian dan suaka. Majoriti kumpulan tersebut merupakan orang Islam.

Penghijrahan orang Muslim khususnya warga Turki ke Jerman mencipta suasana mesra Muslim di negara tersebut. Menurut Husna, beliau dapat merentasi keterbukaan orang Jerman terhadap Muslim.

“Orang Jerman ini sifatnya tidak ramah. Mereka bukan sombong, cuma secara semula jadi karakter mereka begitu. Mereka ambil masa untuk mesra, tetapi selepas kita mengenali dan rapat, mereka boleh menjadi kawan paling setia.

“Begitu juga dengan tanggapan mereka terhadap orang Islam. Saya tidak pernah berdepan situasi tidak menyenangkan sepanjang tinggal di sini. Mereka menghormati setiap agama, budaya dan kepercayaan individu.

“Di Hamburg, komuniti muslim di sini membuka bazar Ramadan sepanjang bulan puasa. Jalan ditutup istimewa untuk bazar ini. Bahkan azan dilaungkan secara terbuka bagi memaklumkan waktu berbuka. Mereka kini lebih terbuka dan fleksibel menerima kehadiran orang luar,” Husna bercerita.

Kebanjiran Muslim di jerman membuatkan pelancong beragama Islam mudah untuk mendapatkan makanan halal. Di mana-mana terdapat restoran, kiosk dan kedai daging halal. Malah sajian tradisi Jerman, currywurst, sosej dengan sos tomato kari turut disediakan dalam versi halal. Resipi asal menggunakan sosej khinzir digantikan dengan ayam atau daging (lembu) dan masih dihidangkan bersama sos tomato kari.

Goulash, sup daging lembu yang dinikmati bersama mi juga merupakan sajian klasik yang mesti dicuba jika ke Jerman. Namun, untuk tekak orang Malaysia, Husna mengesyorkan agar ia dinikmati bersama sepinggan nasi putih.

“Anda akan jumpa banyak kedai halal di seluruh Jerman. Kalau ingin mencari surau atau masjid, boleh bertanya pemilik kedai halal yang majoritinya berasal dari Turki.

“Saya sangat menggalakkan pelancong untuk sekurang-kurangnya bersedia dengan asas bahasa Jerman. Orang Jerman kurang fasih berbahasa Inggeris dan mereka akan lebih menghormati pelancong yang cuba bertutur dalam bahasa Jerman, walaupun sekadar bertanya arah.

“Muat turun aplikasi terjemahan bahasa dan gunakan terjemahan suara. Percayalah mereka akan melayan anda dengan sangat baik dan mesra sekiranya anda cuba bertutur dalam bahasa Jerman,” pesan Husna.

BMW

Biarpun Jerman kurang popular sebagai pusat beli-belah popular dalam kalangan pelancong. Realitinya ia adalah destinasi terbaik untuk berbelanja barangan berjenama. Mercedes-Benz, BMW dan Volkswagen merupakan antara jenama kenderaan mewah yang berasal dari Jerman.

Muzium BMW di Munich juga antara tarikan yang mesti dikunjung pelancong. Sebagai negara pengeluar jenama itu, pelancong juga akan melihat teksi berjenama BMW membanjiri Jerman.

“Adidas, Puma, Hugo Boss dan Nivea juga berasal dari Jerman. Beli-belah di sini lebih seronok sebenarnya sebab tidak sesak dan lebih murah berbanding di Paris atau London,” Husna mengakhiri cerita.

Mulakan eksplorasi Jerman anda sekiranya landskap bersejarah, alam semula jadi dan pengalaman budaya merupakan kepuasan percutian anda. Bulan Mac hingga Mei adalah antara waktu terbaik untuk terbang ke sana. Dengan Wego, anda boleh terbang (pergi-balik) ke Berlin serendah RM3,082*.

Layari www.germany.travel sebagai panduan eksplorasi anda di Jerman.