Antara klinik gigi kerajaan dan swasta

0
5625

BARU-BARU ini saya diserang sakit gigi. Permulaan rasa sakit itu berlaku pada waktu malam sehingga mengganggu tidur. Memandangkan saya tergolong dalam kelompok individu yang tidak mempraktikkan amalan pemeriksaan gigi, maka situasi tersebut sedikit meresahkan.

Segera saya mencari maklumat berkenaan klinik pergigian kerajaan berhampiran kawasan rumah. Mujur ada, cuma selepas membaca pesanan dan maklum balas yang dikongsikan orang ramai menerusi blog dan forum, saya keliru. Peluang untuk bertemu doktor secara langsung sebenarnya memakan masa.

Klinik kerajaan itu dibuka pada hari-hari tertentu mengikut pembahagian; hari untuk pesakit yang telah membuat temu janji, hari khusus pesakit ibu dan anak, hari untuk pesakit am dan lain-lain.

Malang untuk saya kerana hari untuk pesakit am pada minggu tersebut telah berlalu. Tergerak hati untuk mencuba ke klinik pergigian swasta. Meskipun dalam hati masih ragu-ragu kerana bimbang caj rawatan yang bakal dikenakan di luar kemampuan, saya tekad untuk ke klinik swasta.

Dalam keadaan terdesak, saya lakukan sedikit pencarian di internet. menangkap minat. Saya hubungi nombor yang tertera dan bertanyakan kadar caj konsultasi dan rawatan. Maklumat yang diberikan berjaya meyakinkan saya untuk ke klinik berkenaan.

FOTO/

Memasuki ruangan klinik itu, saya terperanjat. Adakah saya tidak tersalah tempat kerana suasana di dalamnya bagaikan sebuah rumah – lengkap dengan sofa, televisyen serta dekorasi yang cantik.

Saya melabuhkan punggung di sofa sambil menunggu giliran. Siapa sangka anda boleh berasa tenteram tanpa sekelumit debaran atau ketakutan di klinik gigi. Sungguh berbeza konsep klinik gigi itu dan wajar untuk diuar-uarkan kepada masyarakat.

Giliran saya tiba. Seorang doktor wanita menyoal saya tentang kesakitan yang dialami. Tanpa membuang masa, prosedur rawatan terus dijalankan. Selepas 10 minit, segalanya selesai.

Doktor itu menjelaskan gigi bongsu saya masih belum tumbuh sepenuhnya. Maka ia membuatkan kawasan di sekitar membengkak. Ia bertambah teruk apabila sisa-sisa makanan terperangkap di situ sehingga membentuk nanah.

Mujur saya segera mendapatkan rawatan. Jika tidak mungkin kesannya akan lebih serius. Bil rawatan yang dikenakan juga tidaklah semahal yang saya sangkakan. Sejak itu, persepsi saya terhadap caj klinik gigi swasta berubah. Masyarakat juga perlu lebih terbuka untuk ke klinik gigi swasta. Tidak salah untuk kita berjimat, tetapi kesihatan harus diutamakan.

Pakar menyeluruh

Bagi mendapatkan gambaran jelas tentang operasi Dr.Smile Sdn. Bhd., satu temu janji diatur bersama Pengarah Urusannya, Dr. Mohd. Noor Fareezul Noor Shahidan. Pertemuan kami ditetapkan di Klinik Dr.Smile cawangan Bandar Baru Bangi, Selangor.

Selepas empat tahun menimba pengalaman di Hospital Ampang, Mohd. Noor Fareezul, 32, berasa terpanggil untuk membuka klinik pergigian sendiri di Semenyih, Selangor. Kekurangan klinik pergigian di kawasan yang baru diterokai itu juga dijadikan satu kelebihan untuk memulakan perniagaan tersebut.

Selepas setahun beroperasi di Semenyih, Dr.Smile menambah cawangan kedua di , Cheras, Kuala Lumpur. Setahun kemudian, cawangan ketiga pula dibuka di Aman Suria, Damansara, Selangor. Namun, berikutan sasaran jangka panjang yang kurang memberangsangkan, Dr.Smile Aman Suria dipindahkan ke Bandar Baru Bangi.

Penghujung 2015, Dr.Smile dibuka di Taman Melawati, Selangor dan diikuti dengan pada Julai 2016. Difahamkan, cawangan keenam dan ketujuh bakal dibuka di Putrajaya dan Shah Alam kelak.

FOTO/

“Memandangkan Dr Smile ini klinik berkonsep francais, kami menerima banyak tawaran untuk pembukaan cawangan di Melaka, Johor, Perak dan Terengganu. Sejujurnya kami belum bersedia kerana bimbang sistem sokongan sedia ada tidak dapat menampung pengurusan secara keseluruhan.

“Jadi fokus kami tertumpu kepada kawasan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor terlebih dahulu,” kongsi Mohd. Noor Fareezul.

Dikendalikan sepenuhnya oleh bumiputera, rawatan dan bahan yang digunakan Dr.Smile adalah bertahap optimum, bererti ia tidak terlalu mahal atau murah.

Kualiti yang ditawarkan di kesemua cawangan Dr.Smile juga setanding dengan harganya yang kompetitif. Bahkan, setiap doktor di Dr.Smile mempunyai kepakaran dalam cabang pergigian yang pelbagai.

Menurut Mohd. Noor Fareezul, meskipun tahap kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pemeriksaan gigi belum mencapai tahap yang baik, tetapi graf peningkatan kini dapat dilihat.

Peralihan generasi yang lebih peka terhadap kesihatan, ditambah pula dengan pembukaan lebih banyak klinik pergigian swasta, telah menyumbang kepada peningkatan kesedaran.

Berdasarkan trend kedatangan di Dr.Smile, purata lelaki dan perempuan didapati masih seimbang. Perbezaannya terletak pada kecenderungan rawatan yang dilakukan.

Kebanyakan lelaki ke klinik gigi bagi menjalani pemeriksaan asas atau mendapatkan rawatan. Wanita pula memilih untuk rawatan bersifat kosmetik seperti memasang pendakap gigi (braces) atau prosedur memutihkan (whitening) gigi. Majoriti mereka adalah individu dalam lingkungan umur 20 hingga 40-an.

Fasiliti kerajaan tidak cukup

Menyentuh topik berkaitan perkhidmatan pergigian kerajaan, Mohd. Noor Fareezul bersetuju terdapat beberapa kelemahan yang boleh diperbaiki bagi meningkatkan mutu perkhidmatan.

Pertamanya adalah mengecilkan julat seorang doktor dan pesakit. Berdasarkan catatan terkini, julat doktor gigi-pesakit direkodkan pada 1:5,100 (seorang doktor mengendalikan 5,100 pesakit). Tahun lalu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam mendedahkan, untuk tempoh lima tahun akan datang, julat doktor gigi-pesakit akan dikecilkan dengan sasaran 1:3,000 menjelang 2018.

“Sebenarnya kita mempunyai tenaga kerja yang mencukupi. Malah masih ramai graduan pergigian yang menganggur. Kekurangan fasiliti seperti kerusi di klinik pergigian kerajaan adalah antara faktor utama mengapa pesakit perlu menunggu giliran untuk tempoh tertentu.

“Fasiliti yang ditambah pun tidak seiring dengan peningkatan populasi. Hanya klinik terpilih sahaja yang dinaik taraf. Itupun masih tidak memadai untuk menampung jumlah pesakit,” demikian pandangan Mohd. Noor Fareezul.

FOTO/SMKBTKOKURIKULUM

Pengarah Pemasaran & Perancangan Strategik Dr. Smile Group, Dr. Raja Noor Shazleen Raja Dzulkeffli, merangkap doktor gigi yang berkhidmat di klinik pergigian Dr.Smile Bandar Baru Bangi pula berpendapat, selain kekangan peralatan, pembahagian pesakit untuk seorang doktor juga perlu seimbang.

Berdasarkan pengalamannya berkhidmat di klinik kerajaan dahulu, skop kerja seorang doktor gigi sangat luas. Seorang doktor perlu mengendalikan pesakit di klinik dan pergi ke sekolah-sekolah berhampiran serta menguruskan tanggungjawab lain.

Waktu rawatan untuk seorang pesakit pula mengambil masa kira-kira 15 hingga 30 minit. Jadi waktu yang diperuntukkan tidak mencukupi, ditambah dengan kekurangan peralatan dan kemudahan.

“Namun jika dibandingkan dengan negara lain, Malaysia adalah antara negara yang menyediakan khidmat pemeriksaan dan rawatan pergigian di sekolah. Kita dapat melihat pasukan pergigian datang sendiri ke sekolah membuat pemeriksaan dan mengajar pelajar cara-cara memberus gigi dengan betul,” kongsi Raja Noor Shazleen.

Faktor-faktor tersebut turut mendorong masyarakat untuk pergi ke klinik pergigian swasta. Tanggapan bahawa klinik swasta mengenakan caj yang mahal juga perlu dikikis. Setiap klinik swasta juga perlu mematuhi harga siling yang ditetapkan kerajaan dengan caj rawatan bergantung kepada keadaan gigi seseorang.

Tabiat rakyat Malaysia

Sekiranya anda individu yang mengamalkan penjagaan gigi yang baik, tidak merokok dan menjaga pemakanan, maka kebarangkalian untuk mengalami masalah gigi dan gusi adalah kecil. Kebanyakan individu yang memilih untuk ke klinik gigi kebiasaannya mengalami simptom sakit gigi.

Masalah biasa yang dialami rakyat Malaysia pula adalah gingivitis yang disebabkan oleh plak, karang gigi dan kaviti. Kesannya, pesakit akan mengalami masalah gusi berdarah. Biarpun diklasifikasikan sebagai masalah biasa, tetapi ia perlu diberi perhatian serius terutama apabila melibatkan kanak-kanak.

“Ibu bapa sering pandang remeh kerana berpendapat ia tidak memberi efek serius memandangkan gigi susu akan digantikan dengan gigi kekal. Tanpa kita sedari, sikap sambil lewa itu membuatkan anak-anak membesar dengan fahaman bahawa pemeriksaan gigi tidak begitu penting.

“Sebaik-baiknya, beri pendedahan awal kepada anak-anak. Bawa mereka ke klinik untuk pemeriksaan gigi seawal usia mereka 1 tahun.

“Tabiat ibu bapa yang selalu memberikan anak-anak kecil biskut sebagai pujukan bagi menghentikan tangisan atau berkelakuan baik juga mengundang kepada permulaan masalah gigi. Biskut mudah melekat di celah gigi dan gusi, apatah lagi anak kecil yang tidak pandai membersihkan sendiri,” jelas Raja Noor Shazleen.

FOTO/

Orang ramai turut dinasihatkan untuk melakukan pemeriksaan gigi setiap enam bulan sekali. Rawatan pembersihan (scaling) pula hanya dilakukan apabila perlu. Pemeriksaan asas penting bagi mengenal pasti keadaan semasa gigi dan gusi.

Ramai yang tidak sedar pembentukan kaviti (gigi berlubang) kecil kerana di peringkat awal ia tidak memberi petanda jelas. Menerusi pemeriksaan secara berkala, masalah sebegitu dapat diatasi awal sebelum ia merebak ke bahagian saraf.

Raja Noor Shazleen juga mengingatkan orang ramai agar tidak mengabaikan penggunaan flos selepas memberus gigi dan lidah. Flos perlu diamalkan setiap hari, sebaik-baiknya pada waktu malam sebelum tidur.

“Berus gigi yang canggih sekalipun tidak dapat mencapai celahan kecil di antara gigi dan gusi. Mereka yang mempunyai masalah gusi berdarah setiap kali memberus juga digalakkan untuk memflos gigi. Lama-kelamaan pendarahan itu akan terhenti.

“Namun, jika gusi masih berdarah walaupun selepas anda mula memflos untuk suatu tempoh tertentu, anda perlu ke klinik untuk scaling,” pesan Raja Noor Shazleen.

Kesemua cawangan Dr.Smile menerima kunjungan secara walk-in. Temu janji pula adalah untuk pesakit yang memerlukan rawatan yang lebih kompleks.

Info Dr.Smile:
Laman web: www.drsmile.webs.com
Facebook:
Instagram: / / /

TINGGALKAN RESPONS