Persinggahan singkat Pekan Lama Ipoh

2
355

JIKA memandu masuk ke Ipoh, Perak, semestinya lokasi-lokasi mengisi perut yang akan didahulukan. Berstatus sebuah bandar raya, walaupun rancak melewati pembangunan seiring pemodenan, nilai sentimental era lama masih elok terpelihara di sesetengah kawasannya.

Pekan Ipoh Lama terutamanya, menjadi tumpuan pelancong yang ingin menyelami sisi klasik Ipoh sama ada dari segi reka bentuk bangunan lamanya mahupun penawaran gastronomi lokal.

Bukan orang luar sahaja perlu merasai keistimewaan Pekan Lama Ipoh, malah warga Malaysia juga tidak boleh terkecuali. Biarpun ia sekadar persinggahan singkat sebelum meneruskan perjalanan sama ada pulang ke Kuala Lumpur atau ke Utara mahupun Selatan tanah air, Pekan Lama Ipoh menjanjikan pelbagai keseronokan menarik di sekitar radiusnya.

21-ipoh

Tugu Peringatan Birch
Menara jam empat penjuru yang siap sepenuhnya pada 1909 ini dibina oleh British bagi memperingati Residen pertamanya di Perak, J.W.W Birch yang mati dibunuh oleh Dato’ Maharaja Lela. Lukisan manusia yang menghiasi dinding menara ini merupakan 44 tokoh utama dalam sejarah dunia.

2-ipoh

Jika diamati, ilustrasi salah seorang daripada tokoh tersebut telah hilang pada dinding menara ini. Mengikut cerita orang tempatan, tokoh yang lukisannya hilang secara misteri itu sering ditemui berlegar-legar di kawasan menara ini pada waktu malam. Mungkin ia sekadar kisah rekaan bagi mewujudkan ‘keunikan’ lokasi ini. Entah-entah lukisan itu ditoreh secara sengaja ataupun dikerjakan oleh remaja nakal?

Sekeping Kong Heng
Trend bermalam atau bersantai di lokasi berpangkalkan nama ‘Sekeping’ kini semakin popular. Barangkali ramai kurang mengerti konsep unik ala pusat peranginan di sembilan cawangan Sekeping. Seperti di Sekeping Kong Heng, Ipoh, ia ‘didirikan’ di dalam sebuah bangunan neoklasik tiga tingkat yang turut menempatkan kedai kopi popular, Kong Heng di tingkat bawah.

5-ipoh

Sekiranya bercadang untuk menginap di sini, anda akan diberikan pilihan sama ada bermalam di kamar standard, empat jenis bilik mengikut arah jam (1 o’clock, 2 o’clock, 3 o’clock atau 4 o’clock) atau kamar keluarga (sekiranya anda datang dalam kumpulan besar).

7-ipoh

Projek pembaharuan bangunan ini dilaksanakan dengan penuh teliti bagi mengekalkan ambien, susun atur dan konsep asalnya. Kong Heng dahulunya merupakan hostel bagi menempatkan pelakon-pelakon teater yang melakukan persembahan di bangunan teater bersebelahan. Bangunan teater itu terbakar pada sekitar 1950-an.

Bits & Bobs
Ipoh memang terkenal dengan cuacanya yang panas. Lebih-lebih lagi apabila anda berjalan kaki di sekitar Pekan Lama Ipoh, bahang mentari semestinya membuatkan anda berpeluh. Bagi yang sekadar bersinggah di Sekeping Kong Heng untuk bergambar bak seorang hipster, jangan lupa untuk melencongkan langkah ke  yang terletak di Dataran Kong Heng.

3-ipoh

Gerai kecil ini menghidangkan ais kepal! Bukan ais batu campur (ABC) tetapi ais kepal yang amat ringkas penyediaannya. Redakan kehangatan tubuh dengan memesan ais kepal di sini yang rasanya juga tidak mengecewakan. Dalam masa kira-kira seminit, gumpalan ais yang disiram pemanis seperti sarsi atau laici siap untuk dinikmati.

9-ipoh

Sambil duduk di atas bangku kayu menikmati ais kepal, layangkan pandangan ke sekeliling kawasannya. Anda dapat melihat satu sudut dinding yang digantungkan dengan bingkai berjeriji besi besar berwarna hitam. Pada setiap jeriji pula terkatup kemas mangga-mangga kecil berwarna-warni dengan pelbagai nama dan tulisan.

15-ipoh

Simbolik dinding Selalu Locks itu adalah bagi membolehkan pasangan kekasih ataupun suami isteri (sahabat juga tidak terkecuali) mengabadikan memori mereka di ruangan tersebut. Jadi selepas enak menikmati ais kepal, pastikan anda ‘mengunci’ kasih anda di dinding tersebut, barulah romantik!

Burps & Giggles
Sebenarnya ketika artikel ini ditulis, barulah penulis tahu bahawa Coffee to Go yang menjadi perhentian sebentar ketika melewati lorong belakang Sekeping Kong Heng merupakan bahagian belakang kafe . Begitu bijak strategi pemasarannya dengan menjadikan jendela di belakang kedai sebagai ruang bagi pejalan kaki membeli kopi segera.

18-ipoh

Justeru, kalau anda kesuntukan masa untuk pulang tetapi dahagakan kopi berkualiti, maka inilah tempatnya. Menikmati kopi hitam berais pasti menyegarkan mata ketika memandu ke destinasi masing-masing.

Nota: Kesemua foto merupakan milik mutlak Pepatung dan sebarang penggunaan atau penerbitan semula perlu dikredit termasuk menyertakan pautan alamat portal ini.

  • TAG
  • bits & bobs
  • burps & giggles
  • Featured
  • pekan lama ipoh
  • sekeping kong heng
  • tugu peringatan birch
KONGSI
Artikel sebelumnyaEnam persediaan sebelum ke salon
Artikel seterusnya
Memulakan kerjaya penulisan sebagai wartawan di sebuah akhbar berbahasa Melayu tempatan dan berkhidmat selama empat tahun sebelum menyertai Pepatung sepenuh masa. Berpengalaman dalam penulisan rencana terutama berkenaan gaya hidup, profil, minat ramai, isu semasa, fesyen dan hiburan.

2 KOMENTAR

  1. gambar tokoh yg hilang tu adalah dikatakan gambar nabi muhammad..setelah dibantah oleh org ramai gambar itu akhirnya dipadamkan.

    Balas

TINGGALKAN RESPONS