HAMPIR 20 tahun lalu, drama Cinderella yang bersiaran di TV3 mencetuskan fenomena. Gandingan mantap Ahmad Idham dan Haliza Misbun berjaya menghidupkan watak Salman dan Nurul yang kekal dalam ingatan penonton sehingga ke hari ini.
Lagu temanya, Sehati Dan Sejiwa dendangan Haslinda juga menjadi siulan ramai. Sisa cinta antara Salman dan Nurul kini dipertaruhkan. Cuma ia menjentik memori penonton untuk satu babak yang penuh nostalgia.
Menerusi filem terbaharu Ahmad Idham, Pencuri Hati Mr. Cinderella, watak Salman dan Nurul dihidupkan sebagai buah tangan kepada peminat setia drama asalnya.
Mula ditayangkan pada 10 Ogos lalu, filem yang menampilkan Ahmad Idham sebagai pelakon utama itu turut dibintangi Atikah Suhaimie, Datuk Eizlan Yusof, Faye Kusyairi, Hairul Azreen, Cat Farish dan Kuza.
Menceritakan tentang Salman, seorang ahli perniagaan berjaya. Bagi mengisi kesunyian, dia mengupah seorang wanita yang bekerja sebagai Guest Relation Officer (GRO) bernama Amira sebagai peneman harian.
Lama-kelamaan mereka jatuh cinta. Namun, perbezaan usia membuatkan cinta mereka berdepan pelbagai dugaan.