Nilai Maaf Bella Astillah


ORANGNYA kecil sahaja. Hadir ke studio Pinography, Shah Alam, Selangor ditemani ibunya. Sambil wajahnya disolek Jibs Salim, wanita yang meraih simpati jutaan rakyat Malaysia susulan perceraian dengan penyanyi dan pelakon, Aliff Aziz itu tenang membalas mesej-mesej di telefon.

Sibuk sungguh Bella Astillah sekarang. Setiap hari jadual padat dengan penggambaran dan fotografi.

“Rezeki anak. Dah lama Bella tak sesibuk begini dengan kerja. Dulu sekadar buat review di Instagram. Alhamdulillah sekarang Bella berpeluang untuk kembali aktif menyanyi,” Bella memulakan perbualan.

Sementara Bella berganti pakaian, ibu Bella yang selesa dipanggil mama juga banyak berkongsi kisah anak sulungnya itu. Sejak kecil, mama sering mengikut Bella ke mana-mana, termasuklah aktiviti-aktiviti kesenian di sekolah.

Ketika di sekolah menengah, Bella pernah menjayakan teater muzikal bersama Syafiq Kyle, yang juga merupakan rakan persekolahannya. Mama merupakan penyokong kuat Bella sehingga sekarang.

Di saat Bella melewati waktu sukar, mama mengajar Bella untuk tetap tenang dan reda dengan takdir. Didikan dan perhatian tidak berbelah bagi mama dan ayahnya menjadikan Bella yang kita kagumi seorang wanita hebat dalam mengawal emosi.

Kalau ada anugerah wanita penyabar, Bella pasti menang mudah. Ketabahan yang dimilikinya luar biasa. Mendirikan rumah tangga pada usia 22 tahun, bercerai ketika umur 25 tahun, tempoh perkahwinan tiga tahun benar-benar mematangkan Bella.

Tiga kali rumah tangganya diduga besar, dengan yang terakhir menjadi penamat statusnya sebagai isteri orang. Episod kecurangan bekas suaminya yang berlarutan mendesak Bella untuk melepaskan lelaki itu.

Kemaafan dan peluang telah diberi berkali-kali. Sungguh ia belum cukup untuk mengubah sikap seorang lelaki.

“Ada yang menggelar Bella wanita bodoh kerana mudah memberi maaf. Sebelum buat sesuatu keputusan, Bella perlu mempertimbangkan banyak perkara. Bukan hati Bella seorang yang terkesan, perasaan orang lain juga mesti diambil kira.

“Tak ada orang nak bercerai. Sebelum ini Bella bagi peluang kerana Bella rasa perlu untuk memaafkan dan mencuba sekali lagi. Namun bila akhirnya kami bercerai, Bella reda,” kongsi Bella kepada Pepatung.

Bella atau nama sebenarnya, Dayang Nabellah Awang Astillah menganggap perceraiannya bagaikan mimpi ngeri. Dia pernah mengidamkan rumah tangga seperti ibu bapanya, yang masih bahagia sehingga ke usia emas.

“Sebelum berkahwin dulu, Bella pernah cakap dengan mama kalau Bella kahwin, Bella nak perkahwinan itu menjadi yang satu-satunya untuk Bella. Tetapi takdir pula sebaliknya.

“Tak pernah terbayang Bella akan menjadi ibu tunggal. Dalam hati Allah sahaja yang tahu. Cuma Bella berusaha untuk terima segalanya dengan ikhlas,” sambungnya yang kini mulai sibuk dengan kerjaya seni.

Sementara itu, Aliff menerusi status yang dimuat naik di laman Twitter seolah-olah memberi bayangan mahu kembali bersama Bella sebagai suami isteri.

Begitupun, Bella menjelaskan status tersebut tidak jelas dan mungkin tidak ditujukan kepadanya. Sekiranya benar sekalipun ia untuk dirinya, Bella merasakan masih terlalu awal untuk kembali bersama.

Sekiranya masih ada jodoh dia bersama Aliff, masa yang akan menentukan. Jika tidak, anggaplah perpisahan yang terjadi sebagai teguran Allah untuk dia dan bekas suami memperbetulkan kekhilafan dan menjadi insan yang lebih baik.

Meskipun rumah tangganya hanya bertahan selama tiga tahun, Bella tidak pernah menyesal memilih Aliff sebagai teman hidupnya. Menerusi perkahwinannya itu, dia dikurniakan Ayden Adrean, 2, yang merupakan anugerah terindah dalam hidupnya.

“Tiada penyesalan dalam diri Bella. Masih banyak yang manis untuk Bella kenang dan pengalaman rumah tangga itu juga mengajar Bella tentang sabar dan reda,” tuturnya lembut.

Mungkin imej Aliff kini tidak indah di mata masyarakat, namun ia bukan alasan untuk Bella terus berkomunikasi dengan bekas suaminya. Aliff masih menghubungi Bella untuk bercakap dengan Ayden.

Dia juga mengakui, walaupun ada kelemahan Aliff yang menimbulkan amarah masyarakat, kebaikan yang ada pada Aliff masih dihargai.

“Aliff seorang yang penyayang terutama kepada Ayden. Selain itu dia juga pemurah, tak pernah berkira bila berbelanja untuk keluarga dan kawan-kawan,” Bella merangkumkan sikap Aliff yang kurang diketahui ramai.

Namun untuk waktu ini, hatinya mahu berehat. Kalau pun ingin membuka hati semula kepada orang lain, ia tidak akan sama seperti dulu.

“Bella seorang yang setia. Bukan sahaja dalam perhubungan, tetapi dalam banyak perkara. Kalau Bella sukakan sesuatu, memang Bella akan berikan tumpuan terhadap yang satu itu sahaja. Jadi untuk berubah hati itu tak senang,” ujar Bella.

Dilahirkan di Sabah, membesar di Kuala Lumpur, saban tahun hari raya disambut di dua negara, Malaysia dan Singapura. Aidilfitri tahun ini semestinya berbeza untuk Bella.

Lebaran tahun ini diraikan di kampung halamannya di Sabah. Bella mahu berehat panjang di kampung sekurang-kurangnya dua minggu sebelum kembali ke Kuala Lumpur.

“Memang Syawal kali ini perasaannya tak sama. Tapi Bella bersyukur masih ada keluarga untuk kita raikan bersama-sama,” luahnya tenang.

Selain kembali sibuk dalam bidang seni, Bella turut berhasrat mengembangkan bisnes jeli kolagen yang diusahakan. Kehidupan diteruskan seperti biasa dan Bella memilih untuk memajukan diri.

Sebelum berkahwin, dia pernah menerima tawaran menyambung pengajian di luar negara. Rencana itu tergendala. Hasrat itu tidak hilang, cuma dia sedang mencari masa yang sesuai untuk meneruskan niat tersebut.

“Alhamdulillah di sebalik dugaan hebat ini, Allah bukakan banyak pintu peluang kepada Bella. Ramai juga yang mengirimkan kata-kata semangat kepada Bella.

“Bella berterima kasih kepada semua dan percayalah setiap doa yang dikirimkan itulah menjadi kekuatan Bella untuk tidak tenggelam dalam emosi,” katanya.

Previous Pornhub mungkin beli Tumblr, rancang perkenal semula kandungan porno
Next Pengakhiran sederhana X-Men: Dark Phoenix

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published.