JIKA dilihat pada struktur kejayaan kariernya, Shawn Mendes boleh dikatakan agak bertuah. Bermula hanya dengan memuat naik video nyanyian pendek di Vine (yang kini telah ditamatkan perkhidmatannya) ketika berusia 14 tahun, Mendes kemudian ditawarkan kontrak untuk merakam album oleh label muzik popular, Island. Dan sewaktu usianya 16 tahun iaitu pada 2015, Mendes muncul dengan album debut berjudul Handwritten.

Sukses Mendes bukan sekadar memenangi hati para gadis yang barangkali mendambakan dirinya sebagai salah seorang sosok lelaki berwajah tampan, namun, album perdananya itu berjaya menduduki tangga pertama di carta Billboard 200.

Lelaki kelahiran Kanada itu lekas menggapai rentak, menerbitkan album keduanya, Illuminate setahun kemudian. Menerusi album ini, muzik yang diketengahkan Mendes kedengaran sedikit dewasa dan meledakkan beberapa single hits seperti There’s Nothing Holdin’ Me Back dan Treat You Better.

Namun, bagi album ketiga yang baru sahaja dilancarkan, dia memilih untuk menekan butang reset, menjadikan album yang berjudul Shawn Mendes itu sebagai permulaan baharu buat karier nyanyiannya.

Tiada lagi lagu-lagu pop manis yang mampu mencairkan jiwa khalayak, Shawn tampil dengan material yang sangat matang, persis lagu-lagu nyanyian John Mayer, Kings Of Leon dan Bruno Mars.

Menerusi trek Lost In Japan, Mendes mengangkat komposisi muzik sarat dengan bunyian bass seperti Maroon 5 dan kemudiannya menyajikan vokal falsetto mirip Justin Timberlake.

Particular Taste yang ditulis bersama Ryan Tedder pula menampilkan petikan gitar bernuansa jazz sementara Like To Be You pula memperlihatkan Mendes berkolaborasi bersama penyanyi dan penulis lagu Julia Michaels.

Namun, trek yang patut diberi perhatian adalah Youth yang menampilkan Khalid sebagai rakan duetnya. Ia bukan sahaja merupakan antara trek terbaik dalam album ini, tetapi Youth merupakan lagu yang ditulis bagi memperingati tragedi serangan pengganas yang berlaku di Manchester dan London, England tahun lalu.

Biarpun ada beberapa trek filler seperti Perfectly Wrong dan Why, namun, album ini boleh dikategorikan sebagai album yang kukuh.

Mendes meninggalkan jauh muzik-muzik yang terdahulu, menggantikannya dengan penulisan yang lebih segar dan dewasa, sesuai dengan usianya yang kini menginjak ke angka 19 tahun.

The Breakdown

Perjalan Shawn Mendes dalam industri muzik masih jauh. Namun, keberaniannya untuk bertukar haluan harus dipuji memandangkan kepesatan dunia hiburan yang mungkin menyebabkan Mendes senang dilupakan apabila hadirnya penyanyi-penyanyi baharu.
Baik 75%
Previous Skala sederhana SimetriSiti
Next Dunia Warna-Warni Coco

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published.