Kenali Dennis Verbaas, pengarang jantung Tunku Tun Aminah

0
904

PUTERI tunggal Sultan Johor, Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Ibrahim bakal bernikah pada 14 Ogos ini bersama pilihan hatinya, Dennis Muhammad Abdullah.

Dennis atau nama asalnya Dennis Verbaas merupakan seorang warga Belanda yang kini menetap di Johor. Namun, siapakah sebenarnya Dennis Verbaas?

Pepatung kongsikan 5 perkara menarik tentang jejaka yang dipercayai cinta hati Tunku Tun Aminah, Dennis Verbaas!

1) Anak kedua daripada tiga adik-beradik

Dilahirkan pada 1 Mei 1989 di Lisse, sebuah bandar berdekatan Amsterdam, Belanda. Dennis merupakan anak kedua daripada tiga adik-beradik.

Permata hati pasangan Martin dan Henriette Varbaas itu memiliki ketinggian 185 sentimeter.

2) Lulusan Kejuruteraan Mekanikal

Pernah menerima pendidikan di Floretti College Hillego The Netherlands dan menyambung pelajaran vokasional dalam bidang kejuruteraan mekanikal di ROC Leiden, The Netherlands.

3) Sudah memeluk agama Islam

Dennis Muhammad telah memeluk agama Islam pada 31 Mei 2015 di Pejabat Kadi Johor Bahru dipimpin oleh pegawai agama untuk mempelajari Islam seperti solat, berpuasa, mengaji al-Quran, pengajaran akhlak dan tulisan jawi.

Selain itu dia dididik dalam bahasa Melayu, budaya, etika dan protokol istana.

“Mulai tahun ini, Dennis Muhammad diasuh dan dipimpin oleh keluarga angkat yang diperkenan tuanku. Jadual pelajaran agama ditambah dan prestasi beliau sentiasa dipantau oleh panel guru dan pendidik Jabatan Agama sehingga mencapai taraf yang diperkenankan.

Dennis Muhammad lulus cemerlang dalam ujian tulisan, lisan dan praktikal,” kata Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli.

4) Minat bola sepak

Dennis, yang juga gemarkan bola sepak, pernah bekerja dengan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor sebagai Pengurus JDT Concept Store dan Cafe. Dia kemudiannya bekerja sebagai Pengurus Pemasaran Kelab Bola Sepak Tampines Rovers di Singapura.

5) Pernah menjadi model

Memulakan kariernya di bawah agensi Touche Models sekitar tahun 2013, Dennis pernah menghiasi editorial beberapa buah majalah terkenal antarabangsa.

 

Sumber: Kosmo!, Harian Metro, The Fashionisto, Touche Models

TINGGALKAN RESPONS