SUSULAN putus tunang dengan Elfira Loy, single terbaru Sufian Suhaimi, Di Matamu meraih populariti luar biasa. Bahkan muzik videonya berjaya mencecah 2.5 juta tontotan dalam dua hari sahaja.

Bukan Sufian sahaja yang berjaya melonjakkan namanya, malah gadis berhijab di dalam muzik videonya turut menerima tempias populariti.

Nur Shakira Shah Kirit, atau selesa dengan panggilan Ayra, berusia 21 tahun dan merupakan pelajar semester akhir Diploma Pengurusan Perniagaan di Kolej Islam Antarabangsa (di bawah seliaan Universiti Islam Antarabangsa).

A post shared by () on

Anak sulung daripada tiga adik-beradik ini mula berjinak-jinak dengan dunia peragaan ketika di bangku tingkatan 5 (2014). Begitupun dia lebih menumpukan terhadap pelajaran berbanding terlibat secara aktif sebagai model sambilan.

Tamat SPM, Ayra terus bekerja separuh masa di Aquaria KLCC dan dalam masa yang sama menerima tawaran kecil sebagai model pakaian.

“Ayra terkejut apabila Sufian sendiri DM Ayra di instagram. Tak sangka pula jadi watak utama, ingatkan watak sampingan sahaja. Memang Ayra berdebar sangat sebelum muzik video itu keluar sebab bimbang dengan penampilan dan pandangan orang.

“Alhamdulillah setakat ini tak ada komen negatif. Semuanya memuji dan memberi sokongan kepada Ayra untuk terus pergi lebih jauh. Rezeki juga bertambah terutama fotografi untuk jenama-jenama popular tanah air,” kongsi Ayra yang amat meminati bintang bola sepak, Lionel Messi.

Mungkin gadis seusianya yang mempunyai pengikut yang ramai di instagram akan lebih berminat untuk melakar populariti. Sebaliknya Ayra fokus untuk menyambung pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang perniagaan (keusahawanan) pada Julai depan.

“Cita-cita Ayra adalah untuk menjadi usahawan yang berjaya dan dapat menjadi sumber inspirasi yang baik untuk generasi muda,” tambah Ayra.

TINGGALKAN RESPONS