DENGAN kebebasan akses tanpa visa ke 176 buah negara, Jerman kekal sebagai pemegang pasport paling berkuasa di dunia. Ia mengekalkan kedudukannya biarpun kehilangan lawatan bebas visa ke atas sebuah negara berbanding tahun lalu.
FOTO/DAILYMAIL
Sweden kekal di tempat kedua dengan 175 buah negara diikuti Denmark, Finland, Itali, Sepanyol dan Amerika Syarikat yang berkongsi tempat ketiga dengan akses bebas visa ke 174 buah negara.
United Kingdom (UK) bagaimanapun, jatuh satu anak tangga, dari kedudukan ketiga ke keempat. Terdahulu, UK pernah berkongsi kedudukan pertama bersama Jerman selama tiga tahun berturut-turut sejak 2013 hingga 2015. Kini ia mempunyai akses bebas visa ke 173 buah negara.
PASPORT PALING BERKUASA DITANDAKAN DENGAN WARNA BIRU MANAKALA WARNA KUNING NEGARA DENGAN PASPORT PALING LEMAH | FOTO/DAILYMAIL
Berdasarkan senarai yang dikeluarkan oleh Indeks Sekatan Visa Henley & Partners, Syria, Pakistan, Iraq dan Afghanistan menghuni kedudukan tercorot. Empat negara tersebut hanya mempunyai akses bebas visa kurang 30 buah negara di seluruh dunia.
Malaysia pula tersenarai di tangga ke-13, berkongsi kedudukan dengan Estonia. Pemegang pasport Malaysia kini boleh ke 164 buah negara tanpa menggunakan visa.