Siapakah Ahli Kitab dan adakah dihalalkan orang Islam bernikah dengan mereka?

0
572
EGYPTIAN STREETS

TAHNIAH kepada dua anak seni tanah air, Bront Palarae dan Fazura yang bakal menjalani penggambaran sekuel kedua, filem Ayat-Ayat Cinta 2.

Berdasarkan Ayat-Ayat Cinta (AAC) yang pertama, ia mengisahkan seorang pemuda bernama Fahri Abdullah Shiddiq yang taat pada perintah Allah dan sedang menyambung pelajaran di peringkat sarjana di Mesir, telah berkahwin dengan seorang gadis Kristian Koptik, Maria Girgis.

Koptik (atau Kubti) merujuk kepada mazhab Kristian di Mesir dan Rusia. Sebahagian daripada mereka sembahyang tujuh kali sehari, dengan pergerakan rukuk dan sujud menyerupai solat yang dikerjakan umat Islam.

Wanita Koptik juga diwajibkan memakai kerudung (menutup kepala) apabila berada di gereja.

Menerusi AAC, Maria menjadi isteri kedua selepas Aisha Greimas. Situasi tersebut memperlihatkan perkahwinan campuran antara lelaki Islam dan wanita Krisitian.

Jika di Malaysia, orang bukan Islam yang berkahwin dengan orang Islam mestilah memeluk agama Islam.

Terdapat perbahasan dan percanggahan tentang isu ini. Terutama melibatkan perkahwinan Ahli Kitab (Kristian dan Yahudi) dengan Muslim.

Definisi 

CHRISTIAN EXAMINER

Menurut al-Quran, Ahli Kitab merujuk kepada golongan Kristian (Nasrani) dan Yahudi. Mereka digelar Ahli Kitab kerana berpegang kepada salah satu Kitab iaitu Taurat atau Injil. Namun, para ulama memberi pendapat yang berbeza.

Menurut Imam Syafie, Ahli Kitab ialah mereka yang berketurunan Bani Israel dan menganut agama Kristian atau Yahudi. Mereka yang bukan berketurunan Bani Israel, tidak termasuk dalam golongan Ahli Kitab.

Namun pandangan ini berbeza dengan Imam Al-Shahrastani yang menakrifkan Ahli Kitab tidak khusus kepada mereka yang berketurunan Bani Israel, tetapi kepada sesiapa jua yang beriman kepada kitab Taurat atau Injil.

Namun muzakarah majlis fatwa kebangsaan sepakat menakrifkan bahawa Ahli Kitab tertumpu kepada mereka yang berketurunan Bani Israel sahaja.

Perkahwinan Muslimin dan Ahli Kitab

Berikut disenaraikan beberapa pendapat menurut jumhur ulama tentang perkahwinan antara orang Islam dan Ahli Kitab.

1 . Menurut pendapat jumhur ulama (Mazhab Maliki, Syafie, Hanbali dan Hanafi), seorang Muslimin dihalalkan untuk menikahi seorang perempuan Ahli Kitab dan perempuan itu mestilah seorang yang merdeka, menjaga kehormatan.

2 . Berbeza dengan pendapat Abdullah bin Umar, seorang Muslimin diharamkan untuk menikahi perempuan Ahli Kitab.

Pendapat pertama adalah berdasarkan nas al-Quran daripada surah al-Maidah yang bermaksud :-

“Pada hari ini dihalalkan bagimu yang baik-baik. Makanan (sembelihan) orang yang diberi Al-Kitab itu halal bagimu, dan makanan kamu halal (pula) bagi mereka. (Dan dihalalkan mangahwini) wanita yang menjaga kehormatan antara wanita-wanita yang beriman dan wanita-wanita yang menjaga kehormatan antara orang yang diberi Al-Kitab sebelum kamu, bila kamu telah membayar mas kahwin mereka dengan maksud menikahinya, tidak dengan maksud berzina dan tidak (pula) menjadikannya perempuan simpanan. Barangsiapa yang kafir sesudah beriman (tidak menerima hukum-hukum Islam) maka hapuslah amalannya dan ia di hari kiamat termasuk orang-orang merugi.” – Surah al-Maidah, ayat 5.

THE ULTIMATE MUSLIM WARRIORS

Malah, pendapat pertama juga bersandarkan sebuah peristiwa ketika para sahabat dan salah seorang bernama Uthman Radhiyallahu ‘anhu menikahi wanita Ahli Kitab bernama Nailah Binte Al-Gharamidhah Al-Kabiyyah.

Selepas perkahwinan, Nailah akhirnya melafazkan kalimah syahadat dengan mengakui tiada sekutu bagi Allah dan Nabi Muhammad utusan terakhir.

Seorang sahabat bernama Hudzaifah juga telah mendirikan rumah tangga dengan seorang wanita Yahudi.

Pendapat kedua pula bersandarkan dalil daripada surah al-Baqarah yang bermaksud:

“Dan janganlah kamu menikahi wanita-wanita musyrik, sebelum mereka beriman. Sesungguhnya hamba wanita yang mukmin lebih baik daripada wanita musyrik, walaupun dia menarik hatimu. Dan janganlah kamu menikahkan orang-orang musyrik (dengan wanita-wanita mukmin) sebelum mereka beriman. Sesungguhnya lelaki yang mukmin lebih baik daripada orang musyrik, walaupun dia menarik hatimu. Mereka mengajak ke neraka, sedang Allah mengajak ke syurga dan ampunan dengan izin-Nya. Dan Allah menerangkan ayat-ayat-Nya (perintah-perintah-Nya) kepada manusia supaya mereka mengambil pelajaran.” – Surah al-Baqarah, ayat 221.

Malah Ibnu Umar juga pernah mengeluarkan pendapat bahawa: “Saya tidak pernah mengetahui ada kesyirikan yang lebih besar daripada seorang wanita yang mengatakan Tuhannya ialah Isa bin Mariam.”

Saidina Umar Al-Khatab juga pernah memerintahkan para sahabat untuk menceraikan wanita Ahli Kitab yang telah dikahwini kerana beliau bimbang seandainya mereka meninggalkan wanita yang beriman dan menikahi wanita yang tidak baik.

Ini adalah kerana dikhuatiri iman dan akidah bakal anak-anak mereka akan dipesongkan oleh isteri Ahli Kitab.

Namun menurut pendapat ulama termasuk Imam Hanafi dan Imam Syafie, hukum menikahi perempuan Ahli Kitab adalah makruh. Namun pendapat pilihan adalah halal dan pendapat ini dipegang oleh ramai sahabat antaranya Uthman, Talhah, Ibnu Abbas dan Jabir.

FOX NEWS

Ada yang berpendapat golongan Ahli Kitab ini sudah pupus dan tidak wujud lagi namun perlu diketahui bahawa penyelewengan Taurat dan Injil sudah berlaku sebelum zaman Nabi Muhammad lagi.

Bahkan sebelum baginda dilahirkan, populasi yang masih mengamalkan ajaran tulen Taurat dan Injil ketika itu sangat kecil dan kebanyakannya telah dicampuri dengan ideologi bahawa Isa ialah anak Tuhan atau konsep tritunggal.

Rata-rata mereka yang mengamalkan ajaran tulen Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan Nabi Isa selayaknya digelar penganut agama Hanif iaitu agama lurus.

Misalnya sepupu kepada Siti Khadijah yang telah menafsirkan kejadian tatkala Jibril menurunkan wahyu yang pertama kepada Nabi Muhammad merupakan malaikat yang sama pernah bertemu dengan Ibrahim, Isa dan Mariam.

Maka dengan ini jelas mengatakan bahawa Muslim dihalalkan untuk bernikah dengan wanita Kristian ataupun Yahudi. Namun, peraturan ini khusus hanya kepada golongan lelaki dan tidak tertakluk kepada wanita muslimah yang ingin mengahwini lelaki Ahli Kitab.

Ini kerana lelaki merupakan ketua keluarga dan bimbang jika wanita muslimah tersebut terpesong akidah dan meninggalkan ajaran Islam.

Antara syarat-syarat yang perlu diikuti jika seseorang lelaki Islam yang ingin mengahwini wanita Ahli Kitab adalah, si suami perlulah memantapkan akidah dan sentiasa komited untuk membimbing isteri (Ahli Kitab) untuk memeluk agama Islam.

Bakal isteri tersebut juga adalah merupakan wanita suci dan menjaga kehormatan (tidak pernah berzina).

MOViE MOViE

Apabila seorang lelaki Islam dan perempuan Ahli Kitab memenuhi ciri-ciri tersebut, maka dibolehkan untuk mereka melangsungkan pernikahan. Namun haruslah diketahui bahawa, hamba perempuan itu lebih afdal untuk dikahwini daripada perempuan Ahli Kitab.

Umum mengetahui bahawa untuk membimbing isteri yang sememangnya Islam juga kelihatan sukar apatah lagi perempuan yang tidak beriman kepada Allah? perlu diketahui bahawa, seeloknya kita menjauhi perkara-perkara yang kelihatan syubhah dan ragu-ragu. Tepuk dada, tanya iman.

TINGGALKAN RESPONS