BINTANG pop (bergenre asal country) berpengaruh dunia, Taylor Swift menghangatkan industri apabila melancarkan single pertamanya, Look What You Made Me Do (LWYMMD) beberapa hari lalu.
Lagu itu menjadi bayangan terhadap mood album studio keenamnya, Reputation yang dijadualkan menjengah pasaran pada 10 November 2017.
Hari ini, muzik video lagu itu disiarkan secara eksklusif menerusi MTV Video Music Awards (VMA) 2017. Seperti yang dijangka, Swift tidak menghampakan.
Visual yang mendukung LWYMMD dipersembahkan dengan penuh dramatik. Diarahkan oleh Joseph Kahn, muzik video tersebut membogelkan sisi gelap Swift yang selama ini menjadi bualan ramai.
Selepas kontroversi bersama Kanye West, Kim Kardashian, Katy Perry dan bekas teman lelakinya, Calvin Harris, imej wanita baik Swift musnah sekelip mata. Dia bukan lagi idola pop berperwatakan sopan. Hashtag #TaylorSwiftOverParty juga pernah trending apabila identiti Swift yang sering berlakon sebagai mangsa keadaan terdedah.
Tiada penjelasan, pengakuan atau pembelaan daripada Swift berhubung isu-isu negatif yang melingkari namanya. Lantas simbol ular (snake) diberikan kepadanya. Perlambangan tepat Swift sebagai orang lidah bercabang dan licik mengatur pergerakan serta serangan.
Jika dulu, Swift masih menagih simpati peminat. Mengeluarkan kenyataan berapikan semangat. Menempatkan diri dalam kelompok teraniaya. Kini segala yang keluar dari mulutnya sudah tidak dipercayai majoriti peminat muzik, pop khususnya.
Keadaan itu dijadikan platform untuk Swift menggerakkan kempen promosi album baharunya. Menerusi Reputation, Swift bebas menjadi diri sendiri. Tanpa topeng wanita baik, Swift mengisytiharkan kepada semua bahawa dirinya yang dulu telah mati.
Swift yang baharu, lebih agresif dan bongkak kini mengambil alih. Menerusi babak awal video LWYMMD, Swift bangkit dari pusara, menjadi zombi dan disusuli karakter-karakter gelap Swift.
Tambah mengejutkan apabila Swift turut mengundang karakter-karakter lampaunya, sepanjang kariernya sebagai penyanyi. Swift menggunakan cemuhan orang ramai kepadanya secara terbuka.
Gelaran plastik, berpura-pura dan menjengkelkan, semuanya diserapkan dalam video tersebut. Naratifnya menarik untuk ditonton dan Swift sekali lagi berjaya mengadaptasi kisah peribadi sebagai paparan utama muziknya.
Jika sebelum ini, kisah cinta kilatnya dijadikan pelaris album 1989, menerusi Reputation, Swift mempertaruhkan identitinya sebagai ‘ular’ dan bintang pop penuh kepura-puraan sebagai formula.
Barangkali ramai yang tidak menggemari Swift kerana sikapnya, tetapi tidak dinafikan, Swift mempunyai pasukan pemasaran dan penjenamaan yang hebat!