GOBIND SINGH DEO telah pun menjalankan tugas beliau sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Sehubungan dengan itu, beliau berkongsi beberapa perkara yang akan menjadi fokus utama kerajaan baharu untuk dicapai.
Salah satu daripadanya adalah berkaitan dengan kelajuan rangkaian jalur lebar di Malaysia.
Bercakap mengenainya, kerajaan akan berusaha untuk menggandakan penawaran kelajuan jalur lebar, tetapi ditawarkan pada separuh harga berbanding hari ini.

Beliau juga turut menyentuh mengenai pelbagai laporan daripada pengguna mengenai hal kelajuan internet tempatan yang kurang memuaskan. Bagaimanapun, menurut beliau, usaha tersebut bakal dicapai dalam proses berperingkat.
Terdahulu, Gobind mencatatkan sejarah apabila menjadi menteri Persekutuan berbangsa Sikh pertama di Malaysia. Gobind, 45, yang merupakan ahli Parlimen Puchong ialah anak kepada mendiang Karpal Singh.