Syawal terakhir Salikin Sidek di Ampang Park

0
216

BUTIK di aras satu, Ampang Park, Kuala Lumpur itu tidak putus-putus dikunjungi orang. Biarpun kedudukannya agak tersembunyi, pelanggan tetap setia menuju ke butik yang telah beroperasi selama 15 tahun.

FOTO/TAUFIQ NADZRI ()

Pereka tempatan yang terkenal dengan busana tradisi itu juga sibuk melayani setiap permintaan pelanggan. Sementara seorang pelanggan mencuba baju Melayu, seorang lagi pelanggan meminta pergelangan tangan baju kurungnya dikecilkan.

Belum selesai menguruskan dua pelanggan tadi, tiga lagi pelanggan melangkah masuk untuk membeli baju raya sedia pakai (ready-to-wear). Meskipun mempunyai beberapa pekerja, Salikin kelihatan selesa berkomunikasi secara langsung dengan para pelanggannya.

“Sejak saya berumur 10 tahun, ayah membawa kami sekeluarga menempah baju Melayu di sini. Butik inilah yang menjadi lokasi wajib kami menjelang perayaan.

FOTO/TAUFIQ NADZRI ()

“Bukan sahaja baju raya, malah pakaian tradisional untuk majlis-majlis lain juga kami tempah di sini,” kongsi seorang pelanggan lelaki yang kini berusia 33 tahun.

Selama 15 tahun membuka pintu di pusat beli-belah pertama tanah air itu, bulan ini, pintu tersebut akan ditutup secara rasmi.

Keputusan Mahkamah Persekutuan pada awal Jun lalu menyaksikan permohonan kebenaran untuk merayu terhadap penolakan semakan kehakiman oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan oleh pemilik strata dan tuan punya serta penyewa Ampang Park ditolak.

FOTO/TAUFIQ NADZRI ()

Tiada lagi alternatif perundangan yang boleh diambil bagi mencabar pengambilan tanah sekali gus merobohkan pusat beli-belah tersebut untuk tujuan projek stesen Sistem Pengangkutan Gerak Cepat (MRT) Lembah Klang Ampang Park.

Slogan ‘Save Ampang Park’ (Selamatkan Ampang Park) yang diperjuangkan sebahagian pekedai pusat beli-belah yang dibuka pada Mac 1973 itu menemui kegagalan.

FOTO/TAUFIQ NADZRI ()

Bagi Salikin, dia mempunyai perpesktif yang berbeza. Barangkali ia tidak dipersetujui segelintir pekedai di situ, tetapi kemudahan pengangkutan awam yang bakal dibina kelak lebih menguntungkan orang ramai. Malah, dia sendiri akan menggunakan kemudahan tersebut.

“Demi kemudahan masyarakat dan pembangunan negara, saya reda. Ada hikmah di sebalik setiap kejadian. Sebagai usahawan, saya bersedia untuk meneroka persekitaran baharu.

“Memang berat hati untuk meninggalkan tempat ini. Di sinilah saya membina nama. Masyarakat mengenali Salikin Sidek menerusi Ampang Park.

FOTO/TAUFIQ NADZRI ()

“Tempoh 15 tahun yang memberangsangkan. Rezeki di sini yang membolehkan saya untuk membuka beberapa cawangan di tempat lain. Jasa Ampang Park akan saya kenang sehingga bila-bila,” luah Salikin yang memulakan perniagaan di Jalan Gurney, Kuala Lumpur kepada Pepatung.

Menjelang awal Ogos depan, Salikin menjangkakan butik baharunya di pusat beli-belah Wangsa Walk, Kuala Lumpur akan mula beroperasi.

Perpindahan tersebut juga mungkin mampu membuka peluang kepada Salikin untuk meluaskan demografi pasarannya yang selama ini didominasi generasi berusia 30 tahun ke atas.

FOTO/TAUFIQ NADZRI ()

“Kalau diberi pilihan memang saya tak mahu pindah. Semuanya ada di Ampang Park. Ia lokasi strategik. Hampir dengan tempat makan seperti Kg. Baru dan Keramat. Mahu ke KLCC juga mudah.

“Apatah lagi untuk bertahan selama 15 tahun dalam sebuah pusat beli-belah bukannya mudah. Ia merupakan satu pencapaian untuk saya,” sambung Salikin yang berjaya membuka butiknya di Ampang Park di bawah Projek Usahawan Bumiputera dalam Bidang Peruncitan (PROSPER) anjuran Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB).

TINGGALKAN RESPONS