Jalur kronologi seorang Izzue Islam

0
352

MEMULAKAN langkah sebagai pelakon ekstra demi menampung hidup di Kuala Lumpur (KL). Siapa sangka, rezeki terpijak anak muda ini menuaikan hasil demi hasil dalam kehidupannya. Dari hari ke hari, sinar bintangnya digilap, memancar dan terus bercahaya terang membuktikan betapa besar bakat yang mahu dikongsikan lelaki berusia 25 tahun ini.

Dari sebuah kampung di Kota Bharu, Kelantan ke bandar raya besar KL, kemunculan Izzue Islam dalam industri seni secara tiba-tiba bingkas dirisik ramai. Masyarakat terutama golongan wanita mula sibuk menggali perihal diri Izzue atau nama sebenarnya, Muhammad ‘Izzul Islam Mazlan yang wajahnya semakin kerap menghiasi kaca televisyen (TV) menerusi slot-slot drama dan dalam masa yang sama, bergabung menyertai kumpulan Forteen melakar fenomena.

Siapa sebenarnya Izzue? Barangkali ramai yang mengetahui pergelutan hidup anak muda ini di awal kedatangannya ke KL. Kembali memutar kisah tersebut, Izzue yang ketika itu berumur 19 tahun turun ke KL bersama kawan-kawannya dari Kelantan dengan menaiki bas semata-mata mahu menonton konsert KAMI di Stadium Bukit Jalil.

Izzue04FOTO: PINOGRAPHY | GRAFIK: OMAR BENJAMIN FAHMY | BUSANA: AWIN NURIN & PINOPANDA | SOLEKAN: ARY MUZAMER ()

Percaya atau tidak, itu merupakan kali pertama Izzue datang ke KL (walaupun pernah datang bersama Keluarga ke rumah saudaranya tetapi ia tidak dikira kerana Izzue tidak berjalan ke mana-mana) dan pengetahuannya terhadap ibu kota itu hanya berpandukan apa yang ditonton di TV dan dibaca di akhbar.

Maka tergugatlah perancangan kewangannya. Dia tidak mengetahui bahawa setibanya di KL, duit perlu dibelanjakan untuk tambang Transit Aliran Ringan (LRT) dan teksi. Selepas menolak belanja tiket konsert, makan dan minum, akhirnya Izzue tidak memiliki baki yang cukup untuk membeli tiket bas pulang ke kampungnya.

Enggan menyusahkan keluarga, Izzue membuat keputusan untuk menumpang di kedai bundle milik rakannya di Petaling Jaya (PJ), Selangor. Perancangannya adalah untuk mencari pekerjaan sementara bagi mengumpul duit untuk pulang ke kampung. Dalam tempoh sehari, dia diterima bekerja sebagai pembancuh air dan pelayan di sebuah restoran yang terletak di sekitar kawasan perumahan di PJ.

Hampir empat bulan Izzue bekerja di kedai makan itu. Dalam tempoh itu juga dia berkenalan dengan Nurinafilah Waharudin atau mesra dengan nama Awin Nurin, isteri merangkap pengurusnya kini.

“Awin mempunyai salon rambut di sebelah restoran tersebut. Jadi dia sering memesan makanan dan saya akan menghantar ke salonnya,” imbas Izzue ketika ditemui Pepatung.

Perkenalan tersebut telah membuka jalan baharu buat Izzue. Mungkin melihat potensi polos yang dipunyai Izzue, Awin berkali-kali memujuknya untuk mencuba nasib dalam dunia hiburan. Sesudah hatinya lembut, Izzue pun memberanikan diri menghadiri uji bakat sebagai pelakon tambahan. Cubaan pertamanya itu berhasil dan dia diberikan watak sebagai orang kampung bernama Halim untuk sebuah drama berjudul Kampung Jaguh yang disiarkan di Astro Warna.

Gugup yang mengawal dirinya sering mematahkan keyakinan Izzue setiap kali berdiri di hadapan kamera. Namun setiap kali dia diserang rasa takut, pesanan Awin kembali menyemarakkan semangatnya.

“Awin ingatkan saya bahawa duduk di KL memerlukan banyak duit kerana saya hidup bersendirian. Jika di kampung berbeza kerana ada keluarga yang membantu. Memang kawan-kawan ada menolong tetapi mereka pun bukanlah sepanjang masa dapat menghulurkan bantuan. Oleh itu saya cekalkan diri dan meneruskan usaha dengan menyertai lebih banyak uji bakat.

“Alhamdulillah, tidak lama kemudian tawaran kerja semakin banyak termasuk iklan komersial. Antara iklan yang saya jayakan adalah seperti Nescafe, Kolej Universiti Metropolitan Kuala Lumpur () dan promo Rock of The World 10,” cerita Izzue yang kini merupakan duta dan .

Selama setahun Izzue aktif sebagai pelakon ekstra. Sepanjang waktu itu, dia mula membiasakan diri dengan persekitaran di set penggambaran, membuat kawan baharu, mengasah bakat lakonannya dan semua itu banyak membantu meningkatkan tahap keyakinan dalam dirinya. Malah dialek Kelantan yang pekat dalam perbualan hariannya berjaya dikawal dalam lakonan.

“Susah hendak mengubah dialek namun lama-kelamaan saya boleh menyesuaikan diri, tetapi masih belum lancar sepenuhnya. Disebabkan itu saya tidak boleh bercakap dengan pantas menggunakan dialek biasa.

“Saya juga tidak pernah menyertai kelas lakonan, jadi asas dan pengetahuan saya tentang bidang ini memang kosong. Malah saya sendiri tidak terfikir untuk menjadi artis,” ujarnya yang juga pernah muncul sebagai pelakon tambahan dalam filem Libas dan kemudiannya diberi watak sampingan dalam Songlap.

Biarpun kerjaya lakonannya semakin berkembang, ketika itu Izzue masih mengisi hari Sabtu dan Ahadnya dengan menjadi jurujual sambilan di pasar raya. Kaunter-kaunter kecil yang menjalankan promosi untuk produk makanan atau minuman turut menjadi sumber kewangan Izzue pada masa itu.

Anugerah
Rentetan karier seni Izzue kemudiannya dipanjangkan ke arah lebih stabil. Diberi kepercayaan menggalas watak utama dalam drama 13 episod, Cita dan Cinta ternyata membuka pintu buat Izzue untuk terus melebarkan sayapnya. Peranan sebagai teraju utama turut disusuli dengan drama Bunga Merah Punya (TV9) dan Sebenarnya, Saya Isteri Dia! (TV3).

Izzue-02

Kerja keras Izzue berbayar selepas dia diangkat sebagai penerima trofi Anugerah Pelakon Harapan Lelaki Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-25 (FFM25) menerusi filem 29 Februari. Aksi cemerlang Izzue membawakan watak seorang lelaki buta telah menempatkan Izzue dalam kelompok pelakon baharu yang perlu diberi perhatian serius.

Chikaro dan Hantu Kapcai juga antara filem yang pernah dijayakan Izzue. Variasi watak yang diberikan kepadanya mampu disampaikan dengan baik, membuatkan penonton mudah mengingat setiap karakter bawaannya. Bagaimanapun, kesempatan untuk melakonkan watak antagonis dan lelaki psiko masih didambakan Izzue kerana dia mahu mencabar diri membawa karakter berat.

“Sudah tentu saya mahu menjadi pelakon yang lebih baik, serba boleh dan mampu meninggalkan impak yang besar kepada penonton. Bukan di dalam lakonan sahaja, di luar juga saya perlu menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat kerana sebagai artis, kita akan sentiasa menjadi tumpuan awam dan orang cepat menilai kita,” tutur Izzue ringkas.

Baru selesai menjalani penggambaran filem 7 Dimensi Aliff, Izzue menyatakan bahawa keinginan untuk mengarah itu memang ada. Cuma dia masih mahu menggali pengalaman sebagai pelakon dan mematangkan mutu lakonannya.

Forteen
Sedang mengecap kestabilan karier lakonan, tuah Izzue digandakan pula dalam dunia seni suara. Penglibatannya dalam bidang nyanyian bermula apabila dia dihubungi wakil daripada KRU Studios bagi menjalani uji bakat sebagai pengacara. Namun selepas itu dia ditanya sama ada boleh menyanyi atau tidak?

“Menyanyi itu memanglah boleh cuma tidaklah hebat. Jadi apabila disuruh menyanyi, saya sampaikan lagu Kebahagiaan Dalam Perpisahan dendangan Shahir AF8. Kemudian mereka terus menawarkan saya untuk menyertai kumpulan Forteen. Selepas berfikir panjang dan melalui proses perbincangan, saya bersetuju,” dedah Izzue yang bersama-sama Forteen menyampaikan lagu pada persembahan pertama mereka di Sg. Wang Plaza.

Beranggapan bahawa penyertaannya dalam Forteen merupakan satu permulaan yang baik, Izzue menyifatkan kepuasan nyanyian sebenarnya sama seperti yang dirasai ketika berlakon. Kedua-duanya seiring kerana mengalir dalam rumpun serupa berakarkan seni.

Dalam lakonan, vokal memainkan peranan yang amat penting. Penguasaan teknik lontaran vokal, pengawalan pernafasan dan intonasi suara hampir mirip dengan yang diterapkan dalam nyanyian. Apabila menyanyi pula, vokal juga perlu ‘dilakonkan’ bagi meniupkan jiwa dan menghidupkan emosi. Justeru, barulah pendengar mampu mendalami komposisi muzik dan lirik mengikut mood lagu tersebut.

Memasuki lima tahun bersama Forteen, kumpulan yang terdiri daripada Izzue, One, Ameer dan Ariz ini telah pun berjaya meraih trofi Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik Di Dalam Lagu menerusi lagu pada Anugerah Industri Muzik ke-19 (AIM19). Perjalanan Izzue bersama Forteen diharapkannya akan terus berpanjangan. Berbekalkan lagu-lagu popular yang tidak pernah gagal menambat hati pendengar, Forteen dijangka mampu untuk bertahan lama dalam industri.

Ikan rebus goreng
Sementara itu, meskipun nama Izzue kian memekar dalam industri seni, namun kesederhanaan dan perwatakan dirinya masih sama seperti dulu. Setiap kali pulang ke kampung, nasi putih bersama ikan rebus goreng dan budu menjadi santapan paling digemarinya. Sejak kecil, sajian ringkas itu disediakan neneknya dan sehingga kini, ia tetap hidangan paling enak buat Izzue.

Izzue-03

Sepertimana orang Kelantan lain yang sinonim dikaitkan dengan budu, Izzue juga tidak terkecuali menggemari sos dominan di Pantai Timur itu. Cuma dia bukanlah tergolong dalam kategori yang mesti makan nasi dengan budu. Hanya apabila tekaknya teringin, dia akan mencari restoran yang menyediakan pilihan tersebut.

Selain itu, Izzue juga pernah menubuhkan band bersama rakan-rakannya di kampung. Malah mereka pernah membuat persembahan di Shah Alam, Selangor untuk sebuah majlis bernama Selangoria. Memegang posisi sebagai gitaris, minat Izzue terhadap muzik bermula sejak di bangku sekolah . Tamat sesi persekolahan, dia dan band-nya akan berkumpul dan berlatih bermain muzik.

Usai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pula, Izzue sempat memohon untuk memasuki ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dalam jurusan teater dan seni lakon. Bagaimanapun, tawaran temu duga yang diterima hanya diabaikan kerana berasa belum mahu untuk menyambung pengajian.

Maka dia pun mencuba melakukan pelbagai kerja untuk mencari wang. Dua bulan sebagai penyambut tetamu hotel sehinggalah kepada peniaga warung burger, keseronokan menjana pendapatan telah mempengaruhi Izzue untuk terus menangguhkan pendidikannya. Dia juga rajin menyertai kerja bankuet setiap kali berlangsung kenduri atau majlis besar di sekitar Kota Bharu.

KONGSI
Artikel sebelumnyaKaka Azraff tidak takut dicop penyanyi ‘kolaborasi’
Artikel seterusnyaFenomena budaya berjambang
Memulakan kerjaya penulisan sebagai wartawan di sebuah akhbar berbahasa Melayu tempatan dan berkhidmat selama empat tahun sebelum menyertai Pepatung sepenuh masa. Berpengalaman dalam penulisan rencana terutama berkenaan gaya hidup, profil, minat ramai, isu semasa, fesyen dan hiburan.

TINGGALKAN RESPONS