7 jenis individu dalam WhatsApp Group Chat

0
352

v5z7xmk

APLIKASI WhatsApp memang memudahkan komunikasi sesama individu menerusi pelbagai telefon pintar. Fungsi sistematiknya membolehkan mesej dikirim dengan pantas, malah perkongsian audio, video dan foto juga lancar. Selain menghubungkan dua individu, WhatsApp juga menyediakan platform perhubungan berkumpulan (Group Chat).

Seramai 100 orang ahli Group Chat boleh menganggotai satu kumpulan secara maksimum. Namun, anda boleh menyertai seberapa banyak kumpulan tanpa had.

Tidak dinafikan, Group Chat menjadi platform terbaik bagi berkongsi maklumat dalam sesuatu kumpulan. Bagaimanapun, wujud beberapa kelompok yang ‘mencemarkan’ keharmonian Group Chat. Pepatung menyenaraikan kelompok tersebut dan cuba anda kenal pasti, adakah anda tergolong dalam kumpulan di bawah?

1) Konco Pak Jabit. Semua pasti pernah menonton lakonan Man Kadir dalam filem-filem arahan Mamat Khalid khususnya Hantu Kak Limah Balik Rumah. Wataknya sebagai Pak Jabit telah menular dalam Group Chat WhatsApp. Seperti kita sedia maklum, Pak Jabit tidak henti-henti menyampaikan pengumuman kepada penduduk Kampung Pisang pada setiap perjumpaan di balai raya kampung. Nah, dalam Group Chat sahaja ramai ahli yang tidak putus-putus membuat pengumuman. Semua jenis pengumuman dia sapu. Daripada pengumuman skor bola sepak sehinggalah pengumuman reunion selang seminggu yang akhirnya tidak pernah berlangsung.

tumblr_m0usowibGY1qzhvg4o1_500

2) Kaunselor. Dalam ramai-ramai ahli Group Chat anda, pasti ada seorang yang bertindak selaku ‘kaunselor’. Setiap pagi, dia akan berkongsi gambar bertuliskan kata-kata pujangga. Waktu tengah hari pula dia mengirimkan sekeping foto yang menggambarkan penderitaan masyarakat yang kekurangan makanan manakala pada waktu malam, saat mata anda hampir terkatup, dia hantar pula gambar dengan coretan doa-doa kelapangan dan keampunan. Istiqamah sungguh kaunselor seorang ini dalam menyebarkan nilai positif bukan? Akhirnya kita jadi lebih negatif.

3) Kutu Malam. Ahli paling biadab! Tengah-tengah malam, boleh pula berborak dengan dua tiga ahli yang sama biadab dalam Group Chat. Paling menyampah (kalau lelaki) guna ayat seperti “Woi tidurlah, malam ini kan malam Jumaat….”, “Game macam c****i…..”. Helo, kalau mahu berbual tentang hal dalam kelambu sila kongsi sesama sendiri, begitu juga mengulas perlawanan bola sepak yang tamat pukul 4 pagi. Dato’ Hasbullah Awang kalau baca ulasan sebelum Subuh engkau pun akan campak telefon ke muka engkau.

a836de299e49fbcf981be370012d8e264c02dbfd8c6873ca38f4a7b73c26e8c6

4) Bos 7 Eleven. Kenapa namanya bos 7 eleven? Yalah, kedai serbaneka itukan 24 jam operasinya. Begitu juga bos-bos kita. Dalam Group Chat pejabat, selain dibentuk untuk tujuan menyampaikan arahan, ia juga medan pelepas amarah bos kepada pekerja-pekerjanya. Lebih-lebih lagi, bila hari anda bercuti, pantang betul dia dengan anda yang sedang menikmati waktu lapang, pantas jari-jemarinya menaip mesej meminta kerja itu ini. Belum masuk soal menegur anda atau rakan sekerja anda dalam Group Chat sehingga menimbulkan rasa malu dalam kalangan rakan-rakan pejabat. Paling lucu bila staf menjawab, bos emosi sehingga terbawa-bawa ke pejabat. Profesionalnya perangai!

5) Hantu Kubur. Kewujudan hantu kubur ini selalu tidak disedari ahli-ahli aktif dalam Group Chat. Mereka ini hanya muncul apabila namanya diseru atau dipaksa menjawab pertanyaan. Jika tidak, jangan haraplah mereka nak melayan semua perbualan anda.

6) Kaki Sentap. Ini lagi satu spesies normal dalam Group Chat. Asal terasa dengan usikan rakan-rakan dalam grup, terus nekad  exit group atau popular dengan situasi ‘…… has left the group’. Lepas itu, mulalah ahli-ahli lain mengumpat pasal si kaki sentap ini mengomel betapa tipisnya perasaannya.  Selang dua tiga hari, si kaki sentap pun mesej admin grup minta dimasukkan kembali ke dalam Group Chat yang ditinggalkan. Ludah jilat semulalah konsepnya.

tumblr_n42vgpLnrn1ts7f01o1_500

7) Bisu. Golongan ini memang ramai rasanya. Lebih-lebih lagi yang tidak gemar perbualan kosong dalam Group Chat. Mana tidaknya, sedang enak menjamu selera, satu persatu mesej grup masuk tanpa henti. Selepas 15 minit, pilihan mute diaktifkan kerana mahukan kehidupan yang aman tanpa notifikasi tidak penting. Kalau dulu anda boleh ‘diamkan’ notifikasi Group Chat selama 8 jam atau seminggu sahaja, sekarang pilihannya meningkat sehingga setahun. Tapi janganlah kejam sangat, kesian kawan-kawan tidak dengar khabar berita anda selama 365 hari.

Foto/Gif kredit: dailyedge/strangerslovers/behindthebasics/beirut

KONGSI
Artikel sebelumnyaLagu asal bertukar antara penyanyi popular
Artikel seterusnyaMariah Carey hilang bisa
Memulakan kerjaya penulisan sebagai wartawan di sebuah akhbar berbahasa Melayu tempatan dan berkhidmat selama empat tahun sebelum menyertai Pepatung sepenuh masa. Berpengalaman dalam penulisan rencana terutama berkenaan gaya hidup, profil, minat ramai, isu semasa, fesyen dan hiburan.

TINGGALKAN RESPONS