CUTI semester merupakan waktu terbaik bagi golongan pelajar untuk berehat atau berseronok. Ada juga yang mengisi kelapangan masa itu dengan bekerja separuh masa untuk mengumpul wang saku.
Demikian yang dilakukan seorang pemuda berusia 25 tahun, Muhd. Hazimi atau selesa dengan nama timangan Jim Shamsul. Cuti semesternya sebagai pelajar Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal Teknologi (Automotif), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dimanfaatkan dengan bekerja.
Bagaimanapun, destinasi pekerjaannya berbeza dengan orang lain. Dia mengambil risiko untuk terbang ke Korea Selatan (Korea) pada Jun lalu bagi menimba pengalaman bekerja di negara asing.
Perancangan spontan itu terjadi selepas Jim mendapat tahu bahawa salah seorang rakannya bekerja di Korea. Tanpa berfikir panjang, dia terus bertanya kepada rakannya itu, dan respons yang diberikan positif.
Bagi melancarkan proses ke Korea, Jim dan seorang lagi rakannya dikenalkan kepada seorang agen yang juga berasal dari Malaysia.
“Setibanya di Korea, setiap seorang daripada kami membayar RM2,800 kepada agen untuk caj menjemput di lapangan terbang, sewa rumah dua bulan dan mencarikan broker iaitu tempat kerja.
“Perancangan asal kami adalah untuk bekerja dengan satu broker sahaja sepanjang tiga bulan di sini. Malangnya broker pertama hanya menawarkan kerja selama empat hari. Kemudian kami terpaksa menganggur lebih seminggu.
“Mengenangkan sewa rumah dan belanja harian, kami terpaksa bertukar broker yang menawarkan kerja berbeza. Pelbagai kerja telah kami buat dengan kebanyakannya bekerja di kilang.
“Dari kilang peti ais sehinggalah kilang lori. Semuanya pengalaman berharga yang sebenarnya pahit untuk ditempuhi,” kongsi Jim kepada Pepatung.
Misi Jim ke Korea juga adalah untuk mengumpul modal perniagaan. Apakan daya, hasratnya lebur apabila gaji yang diterima terpaksa dihabiskan membayar sewa rumah berjumlah RM2,000 sebulan.
Tambah menyakitkan hati apabila tuan rumah memberitahu Jim kadar sewa hanyalah RM1,500 sebulan. Situasi itu telah mencetuskan perbalahan antara Jim dan rakannya bersama agen.
“Kami kecewa dan sangat marah dengan tindakan agen. Dia mengambil untung sebanyak RM500 dan menegaskan bahawa wang itu hak dia. Sedangkan sebelum ke Korea tiada penjelasan berhubung bayaran sebegitu. Kemudian mulalah terbongkar penipuannya satu demi satu,” dedah Jim yang akhirnya berjaya mendapatkan semula wangnya daripada agen.
Di sebalik kesulitan yang dialami, Jim tetap menikmati pengalaman bekerja dan tinggal di tempat orang. Sepanjang tempoh itu dia menghargai erti syukur hidup di Malaysia.
“Kalau di Malaysia, apapun terjadi, kita masih ada keluarga. Di sini, nak sakit pun takut sebab ubat dan bil hospital mahal.
“Kadar gaji di sini juga tidak menentu, bergantung pada pekerjaan. Walaupun upah sejam bekerja di sini bernilai 6,470 Won (RM24.44), tapi kerjanya amat meletihkan berbanding pengalaman bekerja sambilan di Malaysia.
“Berbaloi sebenarnya bekerja separuh masa di sini kerana nilai mata wang yang tinggi. Namun, nasib kurang menyebelahi kami kerana terpaksa melompat-lompat broker sehingga rugi waktu bekerja,” tambah Jim.
Pemerhatiannya terhadap budaya kerja orang Korea juga menyaksikan perbezaan ketara dengan cara di Malaysia. Di sana, setiap individu begitu komited terhadap pekerjaan, pantas dan sangat menitikberatkan soal masa. Satu saat amat bermakna bagi mereka.
Selain sistem pengangkutannya yang efisien dan murah, pengurusan pembuangan sampah dan sisa makanan di setiap rumah juga membuktikan tahap disiplin tinggi yang diterapkan dalam diri masyarakatnya.
Menurut Jim, setiap bangunan atau kediaman mempunyai sitem pengasingan sampah tersendiri. Di rumah sewanya, tuan rumah tidak mengupah orang bagi mengasingkan sampah. Maka tugas itu menjadi tanggungjawab penyewa.
Sebuah tong kecil turut disediakan tuan rumah khusus untuk sisa makanan. Kemudian, kesemua sampah dan sisa makanan yang telah diasingkan perlu dibawa keluar rumah dan dimasukkan dalam bekas yang telah ditetapkan mengikut kelas seperti botol, kertas dan lain-lain.
“Peraturan pengasingan sampah di sini amat ketat. Di tempat kerja, kalau ada makanan lebih, kena asingkan siap-siap. Sebelum meletakkan kembali bekas makanan, sisa dan lebihan makanan mesti dibuang terlebih dahulu.
“Kalau sampah tidak diasingkan, kita boleh kena saman. Mereka akan kenal pasti sampah tersebut berdasarkan pemeriksaan kamera litar tertutup (CCTV),” Jim melanjutkan cerita.
Hidup di negara yang sukar mendapatkan makanan halal bukanlah masalah besar kepada Jim. Sebenarnya, terdapat banyak kedai dan pasar raya yang menjual barangan Asia Tenggara memandangkan ramai pelajar Malaysia, Thailand, Vietnam dan Indonesia di sana.
Beras juga boleh didapati dengan mudah. Bagaimanapun, Jim telah mempersiapkan bekalan mi segera dan serunding yang dibawa dari Malaysia. Bagi menjimatkan wang, dia dan rakannya akan bergilir memakan nasi dan mi segera.
Mereka jarang membelanjakan wang untuk membeli makanan. Sekali-sekala mereka akan membeli roti dan air untuk bekalan tambahan.
“Komunikasi merupakan kekangan terbesar di sini. Kalau kita tonton drama Korea, kita masih boleh menangkap sedikit percakapan mereka. Namun bila bercakap secara langsung, pertuturan mereka pantas sehingga sukar untuk memahami perkataan asas.
“Tidak ramai yang fasih berbahasa Inggeris. Jika di Seoul, daripada 100 orang, hanya seorang yang boleh berbahasa Inggeris. Maka, berkomunikasi ibarat itik dan ayam dengan banyak menggunakan isyarat tangan,” tambah Jim yang selamat tiba di tanah air pagi tadi.
Sebelum pulang ke Malaysia, Jim dan rakannya juga sempat mengembara hampir keseluruhan lokasi tarikan pelancongan Korea, dari utara ke selatan. Sekurang-kurangnya masih ada kenangan manis untuk dikenang.