Lima cara untuk berhenti menjadi overthinker

1
634

OVERTHINKING atau terlampau memikirkan tentang sesuatu hal sebenarnya boleh menjejaskan tahap kesihatan khususnya psikologi seseorang. Dalam kehidupan seharian, kita tidak terlepas berdepan situasi yang memerlukan kita memerah otak untuk berfikir secara terperinci. Kadang-kadang sampai tidak tidur malam bukan?

Sebagai seorang overthinker, anda sebenarnya sedang mengalami masalah menapis, membeza dan mendefinisikan analisis sesuatu perkara. Walaupun hal itu kecil, apabila ia diperhalusi lapisan demi lapisan, akhirnya menjadi besar, sekali gus menjejaskan kewarasan akal anda. Sama ada hal berkisar kerja, persahabatan, cinta atau kekeluargaan, bagaimana anda boleh mengatasi masalah ini? Apa kata ikuti lima cadangan yang Pepatung senaraikan ini.

1) Tarik nafas banyak-banyak
Cara termudah bagi membendung situasi overthinking adalah dengan menarik dan menghembus nafas seberapa banyak yang diperlukan. Bernafas mampu menenangkan anda dengan segera. Teknik pernafasan yang diperlukan pada momen seperti ini adalah dengan berbaring dan menarik nafas dalam-dalam dalam tempoh dua saat menerusi hidung. Kemudian, bebaskan nafas dengan pelepasan panjang selama empat saat menerusi mulut.

Ulangi teknik pernafasan ini selama 10 minit ataupun sehingga ia berupaya meredakan kekusutan fikiran anda. Langkah ini dapat membantu meningkatkan karbon dioksida di dalam saluran darah yang bertujuan menenangkan sistem adrenal sebagai satu respons terhadap pemikiran secara berlebihan.

2) Luahkan perasaan menerusi penulisan
Berkongsi perasaan dengan sahabat atau ahli keluarga tentang isu yang sedang difikirkan adakalanya akan menjadikan masalah anda lebih serius. Apabila kedua-duanya saling menganalisa hal tersebut, ia berpotensi menyebabkan anda berfikir dengan lebih mendalam. Jadi, apa patut anda buat?

Jangan memendam perasaan. Muntahkan perasaan yang bersarang di fikiran anda di atas kertas ataupun notepad / Microsoft Word di dalam komputer peribadi anda. Tulis segala perkara tidak menyenangkan itu, percayalah meskipun ia tidak dikongsikan untuk bacaan umum, ia pasti melapangkan dada. Mana tahu, luahan perasaan anda itu kelak akan diolah ke dalam bentuk novel kemudiannya diadaptasi untuk terbitan filem? Menulislah mengikut cara anda, sama ada coretan ala diari, puisi ataupun cerpen.

3) Sibukkan diri
Apabila anda mempunyai banyak masa terluang, potensi untuk anda bertukar kepada overthinker akan lebih tinggi. Maka bagi mengelakkan emosi anda kacau-bilau, isi masa dengan melakukan pelbagai perkara. Buatlah apa sahaja aktiviti asalkan ia mampu mengalih fokus anda daripada berfikir perkara bukan-bukan. Setiap kali ia ‘menyerang’, segera bangun dan gerakkan fizikal melakukan sesuatu kerja bagi mematahkan serangan tersebut.

Anda boleh mengemas dapur, mencuci bilik air, menggosok baju untuk kegunaan seminggu (pastikan ia dilakukan sambil menonton televisyen), memasak, keluar bersiar-siar bersama rakan-rakan ataupun menonton wayang. Penuhi jadual anda dengan benda yang anda suka lakukan dan menjelang malam apabila tubuh letih, anda akan terus tertidur.

4) Cipta hobi baharu
Individu overthinking juga dipengaruhi oleh rutin hariannya. Jadi apabila aktiviti harian diulangi sehingga ia menimbulkan rasa bosan, anda secara tidak langsung akan mengambil kesempatan untuk mendalami perkara yang tidak menyenangkan sebagai pelepas kebosanan. Akhirnya ia memakan diri dan menukar anda menjadi lebih emosional serta tertekan.

Apa kata cari hobi baharu dan ubah rutin anda. Mungkin ada perkara yang ingin anda cuba tetapi belum berkesempatan dilakukan seperti belajar membuat kek, berkebun, menjahit atau belajar bermain gitar. Inilah masanya untuk merealisasikan impian terpendam itu. Selain dapat melupakan masalah ‘khayalan’ itu, anda malah memperoleh skil baharu bagi memajukan diri.

5) Berhenti menjadi stalker
Dalam zaman media sosial ini, pengaruh yang diberikan platform media baharu ini cukup besar. Instagram misalnya, membolehkan kita melihat momen sahabat-sahabat kita. Namun, kesannya juga boleh melukakan perasaan orang lain. Apabila anda kerap menghendap atau istilahnya ‘stalk’ kekasih / bekas kekasih / skandal teman anda, sebenarnya anda sendiri yang mencari nahas. Apatah lagi apabila mereka memuat naik gambar bergembira bersama, berkecai hati sampaikan anda menangis.

Mungkin situasi itu tidak seperti yang anda sangkakan. Media sosial tidak mewakili penjelasan rasional terhadap sesuatu hal. Ramai penggunanya gemar menjadikan naluri bagi membentuk prasangka yang sekali gus diiyakan sebagai satu fakta. Perkongsian picisan begitu tidak penting kepada anda. Mengapa perlu ‘meroyan’ disebabkan sekeping gambar yang tidak disahihkan kisah di sebaliknya?

Untuk tidak sakit hati atau berfikir bukan-bukan, elakkan diri menjadi stalker media sosial. Setiap kali tangan anda gatal hendak ‘menjenguk’ orang yang bikin hati anda kacau, cepat-cepat sedarkan diri. Lebih baik bermain game melekakan seperti ataupun Candy Crush.

  • TAG
  • Featured
  • overthinker
  • overthinking
  • terlebih fikir
KONGSI
Artikel sebelumnyaEmpat kelab (peminat) artis berpengaruh di Malaysia
Artikel seterusnyaKemaluan lelaki kini menjadi trend di atas pentas peragaan
Memulakan kerjaya penulisan sebagai wartawan di sebuah akhbar berbahasa Melayu tempatan dan berkhidmat selama empat tahun sebelum menyertai Pepatung sepenuh masa. Berpengalaman dalam penulisan rencana terutama berkenaan gaya hidup, profil, minat ramai, isu semasa, fesyen dan hiburan.

1 KOMENTAR

TINGGALKAN RESPONS