Penari balet lelaki juga maskulin

0
129

GAMBARAN tentang balet sinonim merujuk kepada gadis berskirt tutu menari gemalai diselang-seli dengan aksi menjengketkan ibu jari kaki.

Hakikatnya, persembahan tarian yang muncul sekitar era pembaharuan Itali pada abad ke-15 dan kemudian dipentaskan sebagai tarian konsert di Perancis dan Rusia itu menjangkaui stereotaip tipikal sebegitu.

Pengaruh globalnya dapat dilihat dalam banyak genre tarian yang mengadaptasi teknik asasnya. Bagi bergelar penari balet, seseorang itu perlu menjalani latihan profesional bertahun-tahun lamanya.

Di Asia khususnya, perkaitan balet lebih cenderung dikaitkan sebagai seni persembahan perempuan. Jurulatih balet di Rockstar Gym, Nadiia Chekhovska, menentang tanggapan tersebut.

“Jika anda membandingkan bilangan penari balet lelaki (ballerino) dengan perempuan (ballerina), puratanya adalah seimbang.

FOTO/DAILY TELEGRAPH

“Satu lagi mitos berhubung penari balet lelaki adalah mereka akan berubah menjadi lebih feminin. Suami saya sendiri seorang penari balet dan dia tetap berperwatakan seperti lelaki lain,” kongsi Chekhovska yang berasal dari Ukraine.

“Pergerakan dan fungsi penari balet lelaki dan perempuan adalah berbeza. Penari balet perempuan berkemahiran kerap menjengketkan ibu jari kaki dalam persembahan, manakala lelaki lebih banyak melakukan aksi melompat dan mengangkat penari lain.

“Pergerakan tersebut sekali gus membantu mereka membentuk otot dan kekuatan fizikal, selain sering melakukan jump split dan piroutte,” tambahnya.

Khabar angin yang mendakwa amalan balet berpotensi tinggi mencederakan tubuh penari juga tidak benar. Tegas Chekhovska, jika penari melakukan setiap pergerakan dengan tepat, mereka tidak akan tercedera. Justeru, penting untuk setiap pelajar mengikuti tunjuk ajar jurulatih balet profesional.

Vaganova (berpakaian gelap) melatih pelajar di Imperial Ballet School of Ballet, Rusia./FOTO: CAPITALCITYONEDANCE

“Di Rockstar Gym, pelajar diajar berpandukan silibus Vaganova iaitu rujukan terbaik dalam memastikan kualiti optimum setiap kelas,” tutur Chekhovska.

Vaganova diperkenalkan oleh Agrippina Vaganova, seorang guru dan pakar balet sekitar lewat abad ke-19. Silibus tersebut merangkumkan ilmu balet era baharu yang lebih komprehensif.

Sekiranya seseorang didedahkan kepada balet pada usia muda, mereka tidak hanya mempelajari teknik tarian. Bahkan, melatih pembangunan disiplin, aspirasi, diet yang seimbang, sosioemosi dan kemahiran kognitif.

“Tiada batasan usia di dalam balet. Di Rockstar Gym, pelajar termuda kami berusia 2 tahun. Kelompok pelajar yang masih kecil ini akan mula berlatih dengan muzik menyeronokkan sambil menggunakan peralatan bersesuaian.

“Kelas pelajar berumur 7 hingga 8 tahun pula akan bermula dengan rutin memanaskan badan melibatkan latihan menjengketkan ibu jari kaki, regangan, membongkok (bend) dan melentur tubuh sebelum kelas sebenar berlangsung,” kongsi Chekhovska.

FOTO/

Rockstar Gym merupakan pusat pembangunan untuk kanak-kanak dan remaja berumur enam bulan hingga 16 tahun yang direka bagi memperkasakan fizikal, sosioemosi dan kemahiran kognitif dalam persekitaran sejahtera, menyeronokkan dan selamat.

Ia menawarkan program balet menyeronokkan (kelas percuma – berdasarkan kategori usia) dan akademi (kelas bertahap – berdasarkan kategori usia dan kemahiran) yang melatih kanak-kanak mempelajari postur yang betul, ketertiban, disiplin, koordinasi, teknik balet, kreativiti, ekspresi dan muzikal.

Info Rockstar Gym:
– Laman web: www.rockstar-gym.com.my
– Facebook:
– Instagram:

  • TAG
  • balet
  • rockstar gym
  • seni
KONGSI
Artikel sebelumnyaMemilih kanta lekap paling ideal untuk kelembapan mata berpanjangan
Artikel seterusnyaSailor Moon Rusia tawan gelanggang luncur ais Tokyo

TINGGALKAN RESPONS