BERSEMPENA pameran reka cipta Salone del Mobile 2017 di Milan Itali, jenama pakaian antarabangsa, COS telah berkolaborasi bersama Studio Swine menjayakan projek istimewa bergelar New Spring.
Pada edisi kali ini, COS memilih Studio Swine yang terdiri daripada duo artistik menampilkan arkitek dari Jepun, Azusa Murakami dan artis Britain, Alexander Groves.
Menerusi New Spring, Studio Swine mahu mengetengahkan pengalaman deria yang luar biasa sekali gus menjadi refleks terhadap optimistik serta pembaharuan yang hadir secara bermusim.
“Kami mahu menghimpunkan jangka hayat emosi dengan segera bagi mencipta pengalaman bersifat sejenak, tetapi dapat membangkitkan kegirangan dan semangat, biarpun sekadar menjadi memori,” demikian definisi inspirasi yang dijelaskan Studio Swine.
Pameran tersebut akan memberi tumpuan terhadap arca berbentuk sebuah pohon, menggugurkan bebola-bebola putih yang pecah membebaskan kabut (wap) apabila bersentuhan dengan kulit dan menghilang meresapi fabrik bertekstur.
New Spring bakal dipersembahkan di Cinema Arti, melalui Pietro Mascagni, 8, 20122 Milan, bermula 10 pagi hingga 6 petang pada 4 hingga 9 April 2017.