SEBELUM Hantu Kak Limah (HKL), Ropie sebagai pelawak kurang dipandang serius. Bukan beliau tidak berbakat, cuma rezeki belum berpihak kepadanya. Hanya selepas HKL, kelucuan Ropie disanjung jutaan rakyat Malaysia. Karakter Nayan dijayakan begitu bersahaja. Tidak keterlaluan kejayaan luar biasa HKL disumbangkan keberkesanan komedi Ropie sebagai Nayan.

FOTO: AQO IMRAN | STUDIO: 7PIXEL | SOLEKAN: SARAHMUA_SERA

Untuk generasi muda, Ropie lebih dikenali sebagai Pak Kodi dalam sitkom Jenaka Kampung Kalut (JKK). Namun kepada mereka berumur lewat 20-an ke atas, Ropie Cecupak merupakan panggilan yang lebih sinonim.

Ropie atau nama sebenarnya Zahid Tajuddin, 51, mencuba nasib sebagai pelawak ketika menyertai Sinaran Pasport Kegemilangan (SPK) musim pertama pada 1994. Bergandingan bersama adik saudaranya, Ucop (Cecupak), mereka menggelarkan diri ZZ Puchong mempertaruhkan bakat komedi.

“Kami tewas pada musim pertama. Tetapi kami kembali menyertai SPK musim kelima pada 1998 menggunakan nama ZZ Two. Alhamdulillah percubaan kali kedua itu memberikan rezeki untuk kami mendapat tempat keempat,” imbau Ropie ketika ditemui Pepatung di Studio 7Pixel, Bangi Sentral, Bandar Baru Bangi, Selangor.

Sebelum bergiat aktif dalam bidang seni, Ropie pernah bekerja di kilang tayar di Taiping, Perak. Sejak dulu, beliau aktif menyertai pelbagai pertandingan. Sehinggalah seorang kenalan mencabarnya untuk menunjukkan bakat di kaca TV.

“Niat asal saya menyertai SPK kali pertama itu adalah kerana ingin melihat muka keluar TV. Percubaan kedua memang saya fokuskan untuk berjaya. Sebab dulu saya pernah berangan, kalau jadi artis, saya nak dua perkara; ada nama selain nama sebenar dan menjadi pelawak. Alhamdulillah kedua-duanya menjadi kenyataan,” tambah Ropie yang yang mengidolakan Allahyarham Datuk Aziz Sattar (Pak Ajis) dan Imuda.

Terdahulu, Ropie bergandingan dengan Pian, Yassin, Pak Lah, Pak Jaih dan Ucop di bawah grup Cecupak. Sitkom terbitan TV3 itu bersiaran selama tiga musim sebelum masing-masing meneruskan kerjaya secara solo.

Bagi Ropie, perjalanan 21 tahun sebagai pelawak banyak warnanya. Pernah ditawarkan pengarah membawakan watak serius, Ropie menyifatkan ia sebagai pengalaman yang sukar. Jiwa komedinya begitu tebal sehingga kru penggambaran terpaksa menahan gelak melihat ekspresi muka seriusnya.

“Saya lebih seronok berlakon genre komedi. Teringin juga untuk menjadi pelakon versatil tetapi mungkin ini rezeki yang ditetapkan untuk saya. Sehinggakan ada pengarah memberitahu Rugi kalau panggil Ropie untuk berlakon karakter serius,” kongsinya.

Saingan pelawak muda tidak menjejaskan peluang Ropie untuk terus menerima tawaran berlakon. Baginya, untuk bertahan lama dalam bidang seni, seseorang artis mestilah sentiasa merendah diri, tidak meminta-minta (demand) dan paling penting, menghormati masa.

Beliau memegang nasihat Pak Ajis dan Allahyarham Zami Ismail (Pak Uda) untuk sentiasa menepati waktu.

“Biar kita tunggu orang, jangan orang tunggu kita. Dalam bidang seni, tak pandai berlakon atau berlawak boleh belajar. Kalau kita berbakat besar dan hebat berlakon tetapi tidak ada disiplin, lama-kelamaan orang akan bercakap dan akan menyusahkan diri sendiri,” pesan Ropie yang mengakui HKL adalah pencapaian tertingginya sepanjang bergelar anak seni di samping kejayaan JKK yang kini memasuki musim kelima.

TINGGALKAN RESPONS