JIKA dilihat pada struktur kejayaan kariernya, Shawn Mendes boleh dikatakan agak bertuah. Bermula hanya dengan memuat naik video nyanyian pendek di Vine (yang kini telah ditamatkan perkhidmatannya) ketika berusia 14 tahun, Mendes kemudian ditawarkan kontrak untuk merakam album oleh label muzik popular, Island. Dan sewaktu usianya 16 tahun iaitu pada 2015, Mendes muncul dengan album debut berjudul Handwritten.

FOTO/ITUNES

Sukses Mendes bukan sekadar memenangi hati para gadis yang barangkali mendambakan dirinya sebagai salah seorang sosok lelaki berwajah tampan, namun, album perdananya itu berjaya menduduki tangga pertama di carta Billboard 200.

Lelaki kelahiran Kanada itu lekas menggapai rentak, menerbitkan album keduanya, Illuminate setahun kemudian. Menerusi album ini, muzik yang diketengahkan Mendes kedengaran sedikit dewasa dan meledakkan beberapa single hits seperti There’s Nothing Holdin’ Me Back dan Treat You Better.

Namun, bagi album ketiga yang baru sahaja dilancarkan, dia memilih untuk menekan butang reset, menjadikan album yang berjudul Shawn Mendes itu sebagai permulaan baharu buat karier nyanyiannya.

Tiada lagi lagu-lagu pop manis yang mampu mencairkan jiwa khalayak, Shawn tampil dengan material yang sangat matang, persis lagu-lagu nyanyian John Mayer, Kings Of Leon dan Bruno Mars.

Menerusi trek Lost In Japan, Mendes mengangkat komposisi muzik sarat dengan bunyian bass seperti Maroon 5 dan kemudiannya menyajikan vokal falsetto mirip Justin Timberlake.

Particular Taste yang ditulis bersama Ryan Tedder pula menampilkan petikan gitar bernuansa jazz sementara Like To Be You pula memperlihatkan Mendes berkolaborasi bersama penyanyi dan penulis lagu Julia Michaels.

Namun, trek yang patut diberi perhatian adalah Youth yang menampilkan Khalid sebagai rakan duetnya. Ia bukan sahaja merupakan antara trek terbaik dalam album ini, tetapi Youth merupakan lagu yang ditulis bagi memperingati tragedi serangan pengganas yang berlaku di Manchester dan London, England tahun lalu.

Biarpun ada beberapa trek filler seperti Perfectly Wrong dan Why, namun, album ini boleh dikategorikan sebagai album yang kukuh.

Mendes meninggalkan jauh muzik-muzik yang terdahulu, menggantikannya dengan penulisan yang lebih segar dan dewasa, sesuai dengan usianya yang kini menginjak ke angka 19 tahun.

ULAS KESELURUHAN
Bintang
  • TAG
  • Shawn Mendes
KONGSI
Artikel sebelumnyaFasha Sandha sedia berdamai dengan Nora Danish
Artikel seterusnyaWaran tangkap ke atas Jamal Yunos dikeluarkan Mahkamah Majistret Ampang
Memulakan karier sebagai pembantu editorial untuk sebuah majalah bertemakan perkahwinan sekitar empat tahun yang lalu, langkah jejaka ini dalam bidang penulisan semakin berkembang tatkala idea untuk membina empayar kandungan digital Pepatung tercetus olehnya.

TINGGALKAN RESPONS