ALBUM TKO: Pejamkan Mata menjadi penyempurna trilogi album berbahasa Melayu daripada Malique Ibrahim. Selepas melancarkan album OK (2008) dan K.O The Mixtape (2009), TKO: Pejamkan Mata akhirnya menemui peminat Malique sejak Disember lalu.
Berdasarkan kenyataan yang diterbitkan di laman web rasmi Qarma Musiq, TKO: Pejamkan Mata merupakan sebuah album kompilasi lagu-lagu yang pernah diterbitkan dengan hanya tiga buah lagu baharu.
Ia juga dirujuk sebagai album ‘selamat tinggal’, babak terakhir kepada album trilogi bahasa Melayu Malique. Difahamkan, Malique bakal menyusul dengan album berbahasa Inggeris pada tahun ini.
TKO: Pejamkan Mata sememangnya sebuah album hip hop berkelas tinggi. Kehebatan Malique bermain kata-kata dan menyusun bahasa menjadi cerita berpuitis di dalam sebuah lagu membuatkan album ini kedengaran agung.
Kesemua 11 lagu memiliki magis dan formula tersendiri. Pendengar akan terbuai, terdodoi dalam karya syahdu seperti Bukan Mudah, Teman Pengganti dan Pejamkan Mata. Bersoraklah dan rasai gegak-gempita irama bersama Salut, 2010 Masih Hip Hop, Muzik Buatku High dan Senyum.
Nukilan pembakar semangat, khusus untuk jiwa-jiwa yang berputus asa, mohon dengarkan Cuba Lagi. Tiada satu pun lagu di dalam album ini yang akan anda langkaui. Malique menyajikan santapan rohani dalam bentuk muzik yang bertujuan mengenyangkan nurani.
Pepatung juga memilih beberapa bait lirik daripada kesemua 11 lagu daripada album ini yang membuktikan bahawa Malique sememangnya seorang karyawan yang menulis berpandukan pengetahuan, bukan kata-kata kosong buat penyedap irama.
1) Warkah Dari Perbatasan
'Peluru keras memecah gelas, Warkah dari perbatasan harap dibalas.'
2) Salut (feat. Ariz)
'testosterone testarossaku dipanggil untuk sapu rapper lembut berestrogen kancil hamil.' 'lirik malique bukan teks tapi kodeks macam hammurabi atau nag hammadi jangan kupas mesti carigali.'
3) Perang Dah Tamat (feat. Rabbani)
'Tiada lagi askar-askar luka main kejar-kejar, Kerna dunia tidak lagi perlukan pendekar.' 'Piagam Madinah dihidup dan dijana, Semua agama Ibrahim aman hidup bersama.'
4) 2010 Masih Hip Hop (feat. Joe Flizzow)
'rakit-rakit sekarang kita dah berlayar, sakit-sakit sekarang kita dah dibayar.'
5) Muzik Buatku High
'lain citarasa, generasi dan sejarah, saya lahir merdeka, pakcik lahir dijajah.' 'kata-kataku boleh menghidup dan memati, sungguh ajaib kerna itu ku dihormati.'
6) Senyum (feat. Najwa)
'cantik luar cantik dalam cantik dengar sini, Kalau cantik senyum cantik mesti cantik lagi, Senyum sikit nak tengok ada tak lesung pipit, Kalau tak ada pun aku masih mahu cubit.'
7) Cuba Lagi (feat. Lah Ahmad)
'Lepas cakap besar tanam pokok, Pasti belum boleh berteduh besok, Dan kalau tak berbuah doa sehari lagi, Tuah akan sampai dengan Taming Sari sekali.'
8) Bukan Mudah (feat. Nukilan)
'Sentiasa dihakim, dihukum darah sendiri, Berjasa pun dihakim, dihukum jasa dicuri.' 'Walaupun terbuang, dampar dasar cerun curam suram, Kalau hati bercahaya pasti temui jalan pulang.'
9) Aku Maafkan Kamu (feat. Datuk Jamal Abdillah)
'Ini bukan lagu rindu ini madah dendam, Ku ditimbang tanpa neraca di awal usia, Ku dihukum masuk neraka oleh manusia.' 'Guna hak berfikir sebelum hak untuk bersuara, Kalau terpelajar sila guna hak Miranda.'
10) Teman Pengganti (feat. Black)
'Hanya kau yang tahu kodeksku yang kompleks, Dalam disleksia cuba kekal dalam konteks.'
'70 000 hijab harus ku singkap, Ku sorok kitab balik tingkap penjara hinggap.'
11) Pejamkan Mata (feat. Dayang Nurfaizah)
'tenagamu kencanaku katanya fitrah gawai, kedanamu ketawaku dekahnya hingga sawai.' 'dalam tafakur, akur, sadur mimpi yang dikabur, karektor kartun kantor dan karikatur diktator.'
Penghibur disalut ilmu bkn neraca perak gangsa semata, gelak tangis tawa leka, gelak tangis tawa belaja, pilih mana embrio yg dh dewasa?? Salute..