KANAK-KANAK sekitar era 1960-an hingga 1990-an barangkali lebih mengenali karakter beruang bertopi merah dan berkot dufel yang tinggal bersama sebuah keluarga manusia di London. Sejak buku pertamanya diterbitkan pada 13 Oktober 1958, Paddington Bear telah meniti populariti mengagumkan sepanjang hampir lima dekad ini.
Fiksyen fantasi karya Michael Bond itu menceritakan tentang seekor beruang muda yang terpaksa berhijrah ke London selepas kediamannya di Darkest Peru musnah akibat ribut. Bapa saudaranya, Pastuzo terkorban dalam bencana tersebut memaksa ibu saudaranya, Lucy menghantar Paddington menaiki sebuah kapal yang dalam perjalanan ke London.
Mereka yang tidak pernah membaca mana-mana siri buku tersebut atau menonton kisahnya di kaca televisyen kini boleh berbuat sedemikian di pawagam. Jelajah awal Paddington ke London dan tekadnya menemukan pengembara manusia yang mengenali ibu dan bapa saudaranya dapat diikuti menerusi filem Paddington.
Naskhah kekeluargaan itu berkisar tentang permulaan hidup Paddington, hijrahnya ke London, penyesuaiannya untuk hidup dalam peradaban manusia dan usahanya menyekat niat jahat Millicent (Nicole Kidman) ke atasnya. Pepatung senaraikan lima sebab kenapa Paddington seronok untuk ditonton.
1) Ben Whishaw: Memang wajah kacak Whishaw tidak dilihat dalam mana-mana babak filem ini. Namun, suaranya sebagai watak utama, Paddington sahaja mampu memberi roh kepada keseluruhan cereka ini. Bakat lakonan Whishaw sebelum ini banyak dipertontonkan dalam karya berat. Mungkin Paddington adalah watak paling comel dan unik pernah dimainkan Whishaw. Aura Whishaw ditumpahkan sepenuhnya ke dalam vokal Paddington, sehingga kita terbayang-bayang bahawa Whishaw sebenarnya menyarungkan kostum beruang itu, walaupun sebenarnya Paddington dalam filem ini adalah animasi 3D.
2) Nicole Kidman: Pada usia 47 tahun, wajah klasik Kidman masih terserlah anggun. Mendukung peranan antagonis sebagai Millicent dalam filem ini, sifat ‘jahat-jahat baik’ karakternya membuatkan penonton sekejap kasihan sekejap benci dengannya. Sebagai satu-satunya watak jahat dalam filem ini (selepas menolak watak Mr. Curry), Kidman begitu menyerlah dalam lakonan bersahajanya. Sebagai Millicent, Kidman menjalankan tugas sebagai pemburu spesimen (haiwan) terancam untuk diawetkan dan dipamerkan di sebuah muzium. Apabila mendapat khabar tentang kunjungan Paddington ke London, dia bersungguh-sungguh untuk menangkap Paddington. Ada sebab mengapa Paddington amat dikehendaki Millicent, jawapannya perlu anda bongkarkan sendiri dengan menontonnya di pawagam.
3) Keluarga Brown: Mr. dan Mrs. Brown, Judy, Jonathan serta Mrs. Bird menjadi famili yang terbaik buat Paddington di London. Selepas dipertemukan di Stesen Keretapi Paddington, keluarga Brown membantu beruang yatim piatu itu mencari seorang pengembara bernama Montgomery Clyde. Biarpun kehadiran Paddington pada awalnya kurang disenangi Mr. Brown dan Judy, tetapi selepas mengenali kejujuran dan kebaikan beruang tersebut, mereka mula menyayangi Paddington seperti ahli keluarga sendiri.
4) Marmalad: Jem yang diperbuat daripada buah oren ini merupakan kegilaan Paddington. Ia merupakan pemanis mulut kegemarannya sejak ia diasuh ibu (Lucy) dan bapa saudaranya (Pastuzo). Jem ini pada asalnya diperkenalkan oleh Clyde ketika menjalankan misi kembaranya ke Darkest Peru. Keenakan jem tersebut telah menambat hati Lucy dan Pastuzo sehinggakan Paddington turut terbawa-bawa ketaksuban itu ke London. Malah, sandwic dengan sapuan marmalad sentiasa disimpan di dalam topi merahnya untuk kegunaan ketika kecemasan. Ya, memang sandwic marmalad itu membantu Paddington pada saat genting.
5) Kawanan merpati: Kemunculan seekor burung merpati dalam babak Paddington di stesen kereta api adalah permulaan kepada penampilan berterusan burung tersebut sepanjang filem berdurasi 95 minit ini. Kawanan merpati itu sentiasa menghampiri Paddington dengan harapan dapat memujuk beruang itu berkongsi sedikit sandwic marmalad yang disimpan di dalam topi merahnya. Jangan memandang rendah fungsi kawanan merpati itu kerana mereka turut menjadi hero dalam filem ini.
Foto kredit: cilentodesignerwear/theguardian/filmoria/blackmorevale