KALI pertama filem Night at the Museum dikeluarkan adalah pada tahun 2006. Selang tiga tahun (2009), judul kedua, Night at the Museum: Battle of the Smithsonian pula ditayangkan. Tahun ini, cereka ketiga trilogi ini kembali menerusi Night at the Museum: Secret of the Tomb.
Ia merupakan pengembaraan terakhir karakter utamanya, Larry Daley (Ben Stiller) sebagai pengawal keselamatan di Museum of Natural History, New York, Amerika Syarikat (AS) bersama-sama bahan pameran bernyawa di muzium tersebut.
Tidak keterlaluan untuk dikatakan bahawa filem terakhir ini kurang menyegat. Sewajarnya ia menjadi penutup terhebat Night at the Museum kerana segala persoalan yang melingkari misteri tablet emas Ahkmenrah akan terjawab dalam naskhah ini. Biarpun pengaturan jalan ceritanya masih kemas, namun kelemahan transisi babak, dialog, elemen humor dan klimaksnya menenggelamkan keasyikan penonton sepanjang ia dilayarkan selama 98 minit.
Kesinambungan juga agak cacamarba terutama dari segi logik jam penerbangan. Bagaimana Larry dan anak lelakinya, Nick Daley (Skyler Gisondo) dapat pulang ke New York pada waktu tengah malam dari London sebelum terbit matahari di New York? London mendahului lima jam lebih awal berbanding waktu di New York dan penerbangan dari London ke New York memakan masa kira-kira enam jam.
Walaupun jurang masa ini tidak mustahil untuk dikejar, tetapi secara logiknya, Larry perlu membawa pulang banyak bahan pameran semula ke New York dan ia bukan satu urusan yang boleh diselesaikan dalam tempoh pendek. Tiba-tiba Larry dan Nick tiba di New York, lebih tepatnya di muzium tersebut lebih awal sebelum matahari terbit.
Agenda tersembunyi yang cuba diketengahkan menerusi watak Octavius (Steeve Coogan) sebagai homoseksual juga tidak sepatutnya diselitkan. Terdapat beberapa babak melibatkan Octavius dan Jedediah (Owen Wilson) yang menjurus kepada pengumuman terhadap kecenderungan Octavius terhadap lelaki. Mesej sebegini tidak seharusnya ditambahkan ke dalam filem kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan kepada penonton kanak-kanak.
Bagaimanapun, filem ini masih menghiburkan untuk tontonan seisi keluarga. Namun perwatakan Stiller sebagai Larry kali ini lebih serius, jadi usah mengharap jenaka bernas daripada karakternya. Sekiranya anda peminat setia trilogi ini, seharusnya anda pergi menonton filem ini dan Pepatung senaraikan tiga sebab kenapa ia masih perlu ditonton.
1) Lakonan terakhir Robin Williams: Pelakon komedi prolifik antarabangsa, Robin Williams meninggal dunia Ogos lalu pada usia 63 tahun. Sepanjang hayatnya, Williams amat sinonim memegang peranan utama dalam filem bergenre komedi. Penglibatannya dalam ketiga-tiga filem Night at the Museum menyaksikannya muncul sebagai patung lilin Presiden AS ke-26, Theodore (Teddy) Roosevelt yang dipamerkan di Museum of Natural History, New York.
Naskhah ini juga merupakan aksi terakhir Williams di layar perak. Filem terakhir melibatkannya, Absolutely Anything yang dijadualkan untuk tayangan tahun depan hanya meminjam suaranya. Selain berperanan sebagai Roosevelt, trilogi akhir ini juga menyaksikan sumbangan suara Williams sebagai Garuda dalam satu babak.
Selain Williams, filem ini turut didedikasikan kepada Mickey Rooney, pemain watak Gus yang muncul dalam sekuel pertama pada tahun 2006. Gus merupakan salah seorang daripada tiga pengawal keselamatan yang bertugas di muzium New York itu sebelum ia diambil alih oleh Larry. Rooney meninggal dunia April lalu pada usia 93 tahun.
2) Dexter si monyet nakal: Dexter (Crystal the Monkey) ialah bintang kepada ketiga-tiga filem ini. Ia seekor monyet nakal yang suka membuat kacau dan menampar wajah Larry. Namun, sumbangannya membantu menyelesaikan sesebuah krisis dalam setiap naskhah trilogi ini berpuncak dalam karya terakhir ini.
Meskipun sifat nakal Dexter masih kuat, tetapi sisi manjanya dapat dilihat dalam filem kali ini. Selain menggeletek hati penonton, Dexter juga bakal membuatkan anda menitiskan air mata dalam dua babak menyentuh perasaan dan ini satu kenyataan serius.
3) Jenaka Tilly dan Laaa: Nama Rebel Wilson barangkali masih asing dalam kalangan penonton tempatan. Sebelum ini, lakonan hebat Wilson dapat disaksikan menerusi filem Pitch Perfect (2012) sebagai Fat Amy. Sebagai seorang aktres komedi yang sedang meningkat naik, kelibat Wilson sebagai Tilly sebenarnya berjaya mewarnai kehambaran humor filem ini.
Biarpun hanya muncul dalam beberapa babak, tetapi setiap momen pendek melibatkannya mampu menderai tawa penonton. Aksi bersahaja Wilson berserta dialog yang kedengaran agak spontan menyerlahkan keberadaannya walaupun sekadar menjayakan watak sampingan.
Begitu juga peranan kedua Stiller sebagai Laaa, orang zaman batu yang muncul untuk kali pertama dalam trilogi Night at the Museum. Secara rasionalnya, mungkin watak Laaa diwujudkan bagi mengimbangi pesona komedi yang begitu akrab dengan Stiller. Kepompong serius Larry dipecahkan oleh aksi-aksi ‘bodoh’ Laaa yang sebenarnya dilakonkan oleh individu serupa.
*Bintang: 3/5
Kredit foto: fatmovieguy/nytimes/article.wn/collider