Orkestra muda pelentur apresiasi muzik klasik

0
74

MELANGKAH ke Dewan Filharmonik Petronas (DFP) di KLCC tidak pernah segugup ini. Sejujurnya ini kali kedua saya menonton pertunjukan di pentas berprestij itu tetapi ini yang pertama membabitkan persembahan orkestra bergenre berat.

P1280819_RESIZE.jpg-c

Menatap pamplet mini berkisar keterangan persembahan petang 1 November lalu sahaja sudah menggetuskan bimbang. Mozart in Paris yang dijayakan barisan pemuzik orkestra muda di bawah Orkestra Filharmonik Remaja Malaysia (MPYO) semestinya satu pertunjukan serius yang bukan untuk hiburan santai.

Ulasan ini dibuat berbekalkan pengetahuan cetek saya tentang dunia orkestra mahupun muzik klasik. Ia adalah penyampaian yang mewakili individu yang membesar dengan kecenderungan genre pop, rock dan irama Malaysia sebagai hiburan telinga dalam kehidupan harian.

Sepanjang perjalanan pertunjukan selama 56 minit (menolak sela rehat 20 minit), saya tidak hanya dihidangkan dengan kelunakan muzik klasik antarabangsa malah mengawasi tatacara konsert yang agak janggal. Pengalaman tersebut telah membuka pintu kepada keagungan dunia orkestra dan mengisi pengetahuan baharu yang menarik untuk dikongsikan.

Pembukaan persembahan menyaksikan kemasukan para pemuzik dan mengambil posisi masing-masing penuh tertib. Concertmaster yang juga merupakan pemimpin seksyen violin duduk di barisan hadapan di sebelah kanan konduktor (kiri dari pandangan audiens) kemudiannya berdiri menghadap orkestra, memainkan note sound dan seterusnya disahut keseluruhan orkestra.

Konduktor kemudiannya membuat kemunculan dan mengambil tempat di tengah-tengah orkestra. Ketika ini, tepukan penonton memenuhi dewan sehinggalah konduktor berjabat tangan bersama concertmaster.

P1280802_RESIZE.jpg-c

Dewan kembali sepi. Maka bermulalah rentetan muzik penuh mistikal yang membuai emosi. karangan komposer United Kingdom, Edward Elgar menjadi pemula persembahan. Berbanding dua lagi simfoni yang dipersembahkan MPYO hari tersebut, Sospiri (Sigh) yang sekadar menjadi muzik pengenalan tetap menjadi pilihan peribadi saya.

Biarpun hanya selama 5 minit, karya Elgar yang digubah pada 1914 itu berhasil menyentuh jiwa. Didedikasikan untuk sahabat baiknya; Lord Northampton, Julia Worthington dan William Henry Reed (komposer dan concertmaster Orkestra Simfoni London), tidak mustahillah garapan jujur Elgar berjaya menterjemahkan rintihan dan kesedihan secara semula jadi.

Simfoni pertama menyusul. Mempersembahkan Simfoni dalam D major, keupayaan MPYO menyampaikan karya klasik kelas pertama sebegini sewajarnya disaksikan lebih ramai warga tempatan. Biarpun sukar untuk menghadam definisi muzik yang dimainkan, tidak bermakna anda tidak mampu menikmati keindahan bunyi-bunyian gah orkestra di DFP.

Permulaan simfoni pertama diawali oleh bahagian allegro assai yang merujuk kepada muzik yang dimainkan dalam tempo yang sangat laju. Memasuki bahagian andante (tempo sederhana perlahan), terus-terang saya katakan mata mula melayu.

Saya cuba celikkan mata dengan meliar ke sekeliling dewan, ternyata memejamkan mata itu bukan kesalahan. Ada sebahagian penonton memilih untuk menikmati orkestra tersebut dengan mata terkatup, membiarkan telinga dibasahi keserasian alunan muzik.

P1280808_RESIZE.jpg-c

Memandangkan persembahan orkestra bersifat statik, di mana pemainnya hanya duduk di posisi sama tanpa ada pergerakan ataupun iringan tarian yang dapat mengalih perhatian penonton, maka usah berasa bersalah sekiranya anda berasa mengantuk.

Cuma dalam keletihan mata itu, anda akan terperanjat dengan tahap celik telinga yang kekal mencerna muzik tanpa digugat kecelaruan perasaan. Bahkan apabila bahagian allegro (tempo agak laju dengan suasana muzik girang) mengambil giliran, tumpuan saya tetap terpelihara sehinggalah selesai simfoni yang dikarang Wolfgang Amadeus Mozart di Paris pada 1778 itu selama 19 minit.

Persembahan berehat seketika selama 20 minit. Sejurus rehat, pentas kembali berkumandang menerusi simfoni kedua; Simfoni dalam C major karya Franz Peter Schubert pada 1818. Gubahan tersebut diberi gelaran ‘Little‘ bagi membezakannya daripada hasil kerja terakhir Schubert dalam genre dan key yang serupa (C major).

Dipecahkan kepada empat bahagian, Little dimulakan dengan adagio-allegro (rangkap yang dimainkan perlahan berlatarkan suasana girang) yang memberikan kenyamanan perasaan dengan peranan muzik lebih terarah terhadap instrumen woodwind (klarinet, flut, obo, saksofon dan basun). Ia diselang-seli dengan sahutan keseluruhan orkestra menjadikan ia satu pembuka simfoni yang megah.

Andante seperti bahagian dalam simfoni pertama, bertempo perlahan yang sempurna untuk jiwa-jiwa mendambakan ketenangan, kedamaian dan kelapangan.

P1280828_RESIZE.jpg-c

Bahagian scherzo: presto (tempo amat laju) kemudiannya menyusul dengan aliran penuh dramatik namun masih diimbangi nada-nada tenang. Pengakhir simfoni ini, allegro moderato (tempo sederhana laju menghampiri tempo allegro) disudahkan dengan saduran muzik penuh gah menamatkan sebuah kembara muzik berdurasi 32 minit yang membuatkan penonton berasa seperti berada di zaman kegemilangan muzik klasik.

Tamatnya persembahan bertenaga MPYO dirai dengan tepukan gemuruh seisi dewan. Konduktor yang mengepalai orkestra pada hari tersebut, Ciaran McAuley memberi tunduk hormat kepada penonton dan melangkah keluar dari pentas. Selang beberapa saat dia kembali ke tengah pentas dan sekali lagi menunduk hormat dan berjabat tangan bersama concertmaster.

Dewan yang masih gamat dengan tepukan ditinggalkan McAuley buat kali kedua. Namun sekali lagi dia kembali ke tengah pentas membuatkan penonton lebih bertenaga memberi tepukan. Tangan concertmaster dan beberapa pemuzik barisan hadapan dijabat sang konduktor sebelum memberi tunduk hormat kepada penonton buat kali terakhir.

Menyaksikan tindak-tanduk konduktor yang keluar-masuk pentas beberapa kali sememangnya menerbitkan rasa pelik kepada saya yang pertama kali merasai pengalaman menonton orkestra muzik klasik. Selepas dikaji menerusi pencarian sendiri, sebenarnya ia merupakan ritual normal dalam sesebuah persembahan orkestra.

Konduktor akan kembali ke tengah pentas sekiranya tepukan penonton masih bergemuruh biarpun dia telah melangkah keluar beberapa kali. Sesudah ia diulangi beberapa kali, barulah konduktor meninggalkan pentas sepenuhnya tanda berakhirnya sebuah pertunjukan ataupun memberi laluan untuk persembahan berikutnya.

P1280833_RESIZE.jpg-c

Banyak dapat dipelajari hasil daripada pengamatan sulung dalam pertunjukan sebenar orkestra muzik klasik. Selain dapat menonton kemahiran tinggi pemuzik muda MPYO yang berusia sehingga 18 tahun, ia membuka ruang untuk rakyat Malaysia seperti saya mengenali cabang muzik klasik yang selama ini sangat tidak diminati masyarakat tempatan.

Sekali-sekala membenarkan diri melayan genre muzik sebegini dan dipentaskan menerusi orkestra secara langsung pasti akan melahirkan apresiasi terhadap karya agung yang terus meniti kegemilangan merentasi zaman. Usah risau dengan perspektif orang lain, jangan cipta alasan bahawa ia bukanlah cup of tea anda ataupun tidak terdaya menyingkap erti genre muzik klasik; cuba rasai sendiri kemudian nilaikan pengalaman itu berpandukan terjemahan tersendiri.

Anda tidak perlukan ratusan atau ribuan ringgit bagi menikmati persembahan ‘berkasta tinggi’ sebegitu di DFP. Harga tiketnya amat berpatutan dan ada pertunjukan yang dapat anda tonton pada harga serendah RM30. Tidak perlu juga khuatir tentang tatacara berpakaian, tidak wajib untuk bersut formal malah memadai mengenakan pakaian kemas mengikut garis pemakaian yang ditetapkan.

Bagi mengikuti persembahan menarik yang bakal dipentaskan di DFP, ikuti kalendar persembahan 2015/16 DFP atau pilih daripada 10 senarai persembahan yang disarankan Pepatung untuk anda.

  • TAG
  • dewan filharmonik petronas
  • dfp
  • Featured
  • klcc
  • mozart in paris
  • mpyo
  • muzik
  • orkestra
  • orkestra filharmonik remaja malaysia
KONGSI
Artikel sebelumnyaMeraikan 40 juta pengikut, Kendall Jenner tayang puting dada di Instagram
Artikel seterusnya7 petanda teman lelaki anda mahu putuskan hubungan
Memulakan kerjaya penulisan sebagai wartawan di sebuah akhbar berbahasa Melayu tempatan dan berkhidmat selama empat tahun sebelum menyertai Pepatung sepenuh masa. Berpengalaman dalam penulisan rencana terutama berkenaan gaya hidup, profil, minat ramai, isu semasa, fesyen dan hiburan.

TINGGALKAN RESPONS