“KALAU menonton drama Korea, bolehkan puan memahami dialognya tanpa sari kata?” soalan mudah saya ajukan kepada wanita yang sedang duduk berhadapan saya.

Jawabnya: “Ya. Sudah tentu. Dahulu saya amat fasih berbahasa Korea. Jika tidak menguruskan perniagaan, kemungkinan besar saya sedang berkhidmat bersama kedutaan Korea Selatan sebagai penterjemah.”

FOTO: MINAZTEAM | PAKAIAN: MINAZ (.my) | SOLEKAN: BEE RAMZA ()
Fakta menarik yang barangkali tidak diketahui sebahagian pengikut jenama Minaz. Hafiza Abd. Hamid, 32, Pengarah Urusan merangkap pereka dan pengasas Minaz, pernah berulang alik ke Korea Selatan sepanjang bergelar pelajar universiti.

Mengambil bahasa Korea sebagai subjek bahasa ketiga ketika menuntut di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, Selangor, Hafiza atau mesra dengan gelaran , sering dihantar UiTM bagi mengikuti kem musim panas dan program pertukaran pelajar di Korea Selatan.

Drama Winter Sonata adalah pemula kepada minatnya terhadap bahasa dan budaya Korea. Ia juga kekal sebagai drama Korea terbaik sepanjang zaman dalam senarainya.

Pengalaman dan pengetahuannya tentang Korea juga disalurkan kepada Minaz. Elemen Korea diterapkan Pija ke dalam penghasilan pakaian Minaz, sejak ia bermula enam tahun lalu.

“Dres labuh dan skirt begitu popular di sana. Namun dres labuh di sana tidak berlengan (sleeveless) atau berlengan pendek. Skirt pula direka paras lutut. Memandangkan kebanyakan wanita di Malaysia bertudung dan berimej sopan, saya olah rekaan tersebut dengan menjadikan dres labuh berlengan panjang dan skirt labuh.

“Begitu juga motif flora yang menjadi signatur Minaz. Inspirasi Korea masih kekal dalam Minaz sehingga hari ini termasuklah penggunaan fabrik renda (lace) lembut,” graduan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan itu menjelaskan.

Minaz hari ini telah mengumpul ribuan pengikut di serata Malaysia. Keunggulan jenama tersebut terbukti apabila para pengikutnya menubuhkan kelab peminat Minaz Lovers (merujuk kepada pengikut setia Minaz) – Minaz Lovers FC sekitar September tahun lalu.

Pencapaian yang mengharukan untuk Pija dan keluarga Minaz. Sejak dua tahun lalu juga, identiti Minaz dengan pakaian bermotif flora mula menjadi ikutan.

Kebanyakan jenama tempatan lain sepakat untuk menjadikan Minaz sebagai penanda aras trend terkini. Apa yang dilancarkan Minaz, itulah yang perlu diikuti demi merancakkan industri, sekali gus mewujudkan budaya persaingan.

“Setiap cetakan flora Minaz dihasilkan khusus untuk pakaian Minaz sahaja. Kami turut mendaftarkan hak cipta ke atas motif flora yang digunakan. Saya tidak sangka ia menjadi ikutan dan mengaggap ia sebagai satu kebanggaan kerana berjaya mencetuskan trend.

“Situasi tersebut membakar semangat saya untuk menubuhkan sebuah pasukan tekstil. Segala proses penyelidikan dan pembangunan, percubaan dan mengenal pasti kekurangan dilaksanakan dengan teliti. Justeru, saya dapat memastikan Minaz sentiasa selangkah di hadapan,” Pija menyusun kata penuh keyakinan.

Membangunkan jenama dari bawah memang tidak mudah, tetapi mengekalkan konsistensi lebih mencabar. Momentum Minaz ditampung oleh formula yang diguna pakai Pija iaitu fokus!

Definisi fokus bagi Pija adalah mengelak daripada mencuba perkara baharu di luar keupayaannya. Tidak dinafikan, terbit idea, perancangan dan peluang bagi mengembangkan prospek Minaz dalam pasaran produk berbeza; kafe misalnya.

Begitupun, Pija setia dengan prinsipnya untuk fokus. Dalam konteks konsistensi Minaz, Pija tidak berasa perlu untuk terikut-ikut cara orang lain.

Minaz yang bermula dengan pakaian wanita adalah keutamaannya. Ibu kepada tiga cahaya mata ini ingin terus belajar mendalami corak urus beli pelanggan agar Minaz mencapai kelangsungan dalam industri.

Berkat fokus Pija, Minaz berjaya melahirkan subsidiari pakaian; Minaz for Kids dan Minaz Casual. Haruman Minaz juga telah dilancarkan tahun lalu dan berhasil membentuk peminat tersendiri. Minaz untuk lelaki pula dikhabarkan sedang dalam perancangan.

Kereta Kelisa

Memutar masa di awal penubuhan Minaz, Pija mengenang saat dia dipertemukan dengan seorang tukang jahit di Masjid India. Bermula dengan hobi, Pija mula membeli kain secara kecil-kecilan di gedung Kamdar. Ketika itu, Pija menghasilkan dua hingga tiga helai pakaian sahaja.

Jumlah pakaian meningkat dari hari ke hari. Bazar jualan disertai di sana sini. Dengan sebuah kereta Kelisa, Pija mengangkut barangan jualannya ke sana ke mari. Stok yang semakin banyak menggesa Pija meminjam kereta ibunya. Lama-kelamaan dia terpaksa menyewa lori.

Permintaan terhadap fesyen Muslimah ketika itu juga tidak sehebat kini. Blog juga menjadi medium urus niaga Pija.

Fenomena Hana Tajima pada tahun 2012 memberi impak kepada perniagaannya. Kemunculan kelompok hijabista membuatkan jualannya merosot. Gara-gara tidak mengikuti trend semasa, Minaz hampir tenggelam. Stoknya tidak terjual.

Solusi dicari. Dengan sedikit modal, Pija terbang ke Indonesia dan tekad menggunakan fabrik yang tidak ada di Malaysia. Baju kurung, dres labuh dan skirt labuh masih menjadi taruhan Minaz. Kali ini, Pija berurus niaga menerusi facebook.

Saban hari, dia melayani mesej pelanggan. Daripada 100 hingga 200 helai pakaian sebulan, Minaz berkembang dengan jumlah pesanan menjangkau 3,000 hingga 4,000 helai. Sahabat baik Pija antara tulang belakang di sebalik pelancar kejayaan Minaz.

Butik pertama akhirnya dibuka di Seri Bangi, Bandar Baru Bangi, Selangor. Kemudian Minaz berpindah lokasi di sekitar Seksyen 8, masih di Bandar Baru Bangi. Kini ia bertukar ke hab fesyen Muslimah, Bangi Sentral.

Cawangan kedua dibuka di Bandar Baru UDA, Johor Bahru (JB), tetapi telah ditutup. Terkini, Minaz telah melebarkan sayapnya di Seksyen 7, Shah Alam, Selangor.

“Keputusan untuk membuka butik merupakan satu langkah yang besar untuk pengusaha pakaian. Kami terpaksa menutup butik di JB kerana jualan harian yang kurang memberangsangkan. Malah jualan menerusi personal shopper lebih tinggi berbanding jualan di butik.

“Berdasarkan pengalaman sepanjang enam tahun, saya mengingatkan kepada peniaga yang berminat untuk membuka butik agar mengkaji kemampuan produksi terlebih dahulu. Kenal pasti lokasi pilihan, adakah ia akan membangun atau dapat menarik pengunjung untuk tempoh tiga hingga lima tahun?

“Pastikan juga keupayaan produk anda untuk berdaya saing dengan jenama lain. Demografi juga memainkan peranan. Barangan yang anda jual dan harga yang ditetapkan mesti bersesuaian dengan corak perbelanjaan penduduk sekitar,” Pija berpesan.

Jatuh bangun

Di sebalik kemegahan Minaz mencipta kejayaan, pasti diuji dengan kegagalan yang hadir sebagai pengajaran. Tahun lalu, Minaz diduga hebat. Apatah lagi cabaran tersebut membadai mereka di waktu paling kritikal untuk industri pakaian – musim perayaan.

Minaz memperkenalkan sistem pra pesanan (pre-order) untuk baju raya mereka. Biarpun bahagian produksi menepati jadual, kelewatan ketibaan fabrik mengundang terhadap kemunculan masalah lain. Terdapat kerosakan pada pakaian sekali gus mencemaskan pelanggan.

Kerana mengejar masa menyiapkan pesanan, Minaz terlepas pandang perihal kualiti. Instagram menjadi tempat pelanggan meluah kekecewaan dan rungutan.

Pija tenang menangani keadaan. Para pekerja yang berurusan dengan pelanggan dilatih untuk bersabar dan memohon maaf. Pija sentiasa mengingatkan bahawa masalah yang timbul berpunca daripada pihak mereka.

Episod hitam itu berjaya diharungi. Sebagai tanda kemaafan kepada pelanggan, Minaz menganjurkan rumah terbuka dan jualan gudang. Kesetiaan pelanggan amat dititikberatkan Pija.

“Lambakan stok itu juga adat dalam perniagaan. Bagi mengatasi masalah tersebut, saya sentiasa tetapkan beberapa rancangan. Jika rancangan pertama tidak berhasil, saya gunakan rancangan kedua dan begitulah seterusnya.

“Persekitaran ekonomi yang kurang baik juga memberi kesan. Tahun ini, saya ambil pendekatan dengan memperbanyakkan rekaan, tetapi mengurangkan kuantiti. Trend pelanggan menggemari rekaan eksklusif dilihat mendominasi tahun ini.

“Saya telah mencuba formula ini dan ia berjaya. Pelanggan saya khususnya Minaz Lovers berasa lebih dihargai dan istimewa,” kongsi Pija yang menjadikan Dior, Elie Saab dan Zuhair Murad sebagai inspirasi.

Canting batik

Anak sulung daripada empat adik-beradik ini dibesarkan dalam persekitaran berkisar tekstil. Keluarga Pija mempunyai latar belakang perniagaan dalam mengeluarkan batik. Bapa saudaranya menjadi pelopor bisnes keluarga apabila membawa batik Terengganu sehingga ke Brunei.

Lantas ia berkembang dengan pembukaan kilang di Cheras dan Kajang, Selangor. Pendedahan awal itu membuatkan Pija begitu tertarik terhadap seni halus. Sejak kecil, dia mengasah bakat seni yang diperoleh daripada ibunya dengan melibatkan diri dalam kerja-kerja mencanting batik.

Kemahiran seni Pija ditumpahkan sepenuhnya kepada Minaz. Maka tidak mustahil sekiranya lima tahun akan datang, butik pertama Minaz di luar negara akan dibuka di London.

Demikianlah impian terbesar Pija, menyaksikan detik Minaz menembusi pasaran United Kingdom. Sememangnya tawaran telah hadir menjemputnya.

Begitupun, Pija sedar tahap kemampuannya. Minaz masih belum berkemampuan untuk diperkenalkan di peringkat antarabangsa, khususnya Eropah.

“Rekaan dan produksi di sana amat berbeza dengan Asia. Penetapan fabrik dan warna sangat dititikberatkan. Sekiranya perancangan itu dapat dilaksanakan, saya perlu menubuhkan pasukan khas untuk bisnes di luar negara.

“Buat masa sekarang, saya lebih menumpukan terhadap mengeluarkan barangan yang dapat melengkapkan gaya pelanggan Minaz. Sudah tentu, saya berhasrat untuk melancarkan barang kemas, beg tangan dan kasut kelak,” Pija menamatkan perbualan sambil menguntum senyum.

TINGGALKAN RESPONS