SITI SALEHA MOHD. BAHARUM pula mahukan pelayaran bersulam rintangan, dihujani bebanan serta diasak cabaran. Tahun ini adalah tahun risiko kepadanya. Sebuah eksplorasi untuk membawa diri ke peringkat lebih tinggi, menuju kemuncak mimpi seraya memasak satu paksi realiti.
“Selama ini saya berjaya mengekalkan konsistensi karier. Sudah tiba waktunya untuk mempercepatkan langkah dan berdiri di puncak. Saya perlu keluar dari lingkaran selesa,” hasrat seriusnya diungkap penuh kelembutan.
Masyarakat mengenali Siti Saleha sebagai pelakon berbakat besar. Watak-watak yang dijayakan sentiasa berhasil mengundang simpati dan air mata penonton. Dia antara anak seni yang tidak hanya bergantung kepada bonus paras rupa. Skil lakonannya digilap dari masa ke masa sehinggakan terus diberi kepercayaan kebanyakan pengarah bagi mendukung peranan utama.
Siapa Siti Saleha dalam lima pengertian? Jawapannya: “Sederhana, berdikari, mudah didekati dan amazing!”
Mula dipandang serius selepas drama Nora Elena (TV3), bergandingan dengan Aaron Aziz pada 2011, penglibatan Siti Saleha, 26, dalam drama TV berkembang sehinggakan berjaya membolot kedua-dua trofi; Pelakon TV Wanita Popular dan Pelakon Filem Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) pada 2013. Kemenangan tersebut diulang menerusi kejayaan meraih trofi Pelakon Filem Wanita Popular pada ABPBH 2014 yang dianjurkan tahun lalu.
Pada tahun lalu juga Siti Saleha sekali lagi membuai perasaan penonton menerusi peranannya sebagai Amyza dalam telemovie Cinta Paling Agung (Astro First) juga menampilkan gandingan serasinya, Aaron Aziz.
“Mencipta keserasian tidak mudah tambahan pula industri seni kini kekurangan pelakon lelaki. Saya senang berlakon di sisi Aaron dan tahun ini juga penonton akan saksikan gandingan saya bersama Zul Ariffin dalam drama 65 episod, Uda dan Dara yang bakal bersiaran di Astro Mustika HD menjelang Februari depan.
“Ia merupakan drama panjang berepisod pertama saya jayakan. Penggambaran bermula pada Jun sehingga November tahun lalu dan selama lima bulan tersebut, pelbagai pengalaman baharu saya perolehi.
“Meskipun terpaksa menolak beberapa tawaran filem dan projek menarik atas dasar komitmen, saya tidak kesal kerana dapat melibatkan diri dengan sebuah produksi untuk tempoh panjang,” kongsi Siti Saleha yang memegang watak Siti Mariam dalam drama adaptasi novel tulisan Aisya Sofea tersebut.
Tahun lalu juga Saleha terlibat dalam bermacam program yang tidak berkaitan dengan lakonan. Mendalami dunia saham di bawah program anjuran Bursa Malaysia telah membuka dimensi baharu kepada Siti Saleha tentang sektor perdagangan.
“Perancangan tahun ini terarah pada filem. Terdapat beberapa filem dan projek yang sangat menarik telah ditawarkan kepada saya dan ia sungguh mengujakan. Saya akan menjalani penggambaran untuk satu super telemovie di Jakarta, Indonesia dan jika segalanya lancar, saya juga bakal terlibat dalam sebuah filem yang memberikan cabaran perwatakan terhebat pernah saya terima.
“Jadi tahun ini segalanya tentang risiko tetapi masih dirasionalkan dengan kebijaksanaan dalam berkeputusan. Ia tahun eksplorasi saya untuk mencungkil lebih banyak keupayaan diri. Saya mahukan kelainan watak dan hasil lakonan yang lebih mengesankan.
“Jika saya menolak watak selamat bergenre cinta sekalipun, bukan bermakna saya tidak suka. Cuma saya perlu beri peluang kepada diri untuk mewarnai cabang lakonan dengan melakonkan watak-watak berbeza,” besar harapan Siti Saleha yang akan muncul dalam filem seram, Tujuh tahun ini.
Anugerah
Memasang angan-angan untuk meletakkan nama dalam senarai pendek pencalonan setiap majlis anugerah, Siti Saleha turut bersedia untuk memulakan minatnya dalam bidang penulisan skrip. Azam yang dipasang tahun lalu itu tergendala dek kesibukan komitmen penggambaran. Maka tahun ini dia siap untuk memotivasikan diri melatih skil menulis agar dapat mengembangkan ilmu dalam dunia lakonan.
Bidang seni adalah kecintaan Siti Saleha, semestinya dia mahu kekal untuk waktu panjang. Biarpun kelak wajahnya tidak lagi di depan kamera, tetapi biarlah keberadaannya kekal walaupun di sebalik tabir. Justeru dia sangat memandang berat tentang kepentingan pembelajaran berdasarkan pengalaman.
Beralih daripada seorang pelakon kepada pengarah semestinya cita-cita ramai anak seni. Begitupun Siti Saleha ada prinsip tentang hal tersebut. Dia enggan sewenang-wenangnya menjaja pengalaman berlakon dengan bertukar menjadi pengarah dalam tempoh sekelip mata.
“Kerjaya lakonan saya bermula dari bawah, tanpa jalan singkat. Begitu juga hasrat untuk duduk di kerusi pengarah, saya mesti melalui satu proses panjang sebelum benar-benar layak meraih gelaran tersebut. Ketika ini saya ingin orang menghormati lakonan saya dan mengenali saya atas hasil kerja bukan populariti semata-mata. Kemudian barulah saya berasa yakin untuk menerokai fasa lebih tinggi dalam industri seni lakon,” ujar Siti Saleha yang mengidolakan Sherie Merlis, Vanidah Imran, Sharifah Amani, Beto Kusyairy, Azhan Rani dan Namron.
Watak ibu
Pada usia yang masih muda, kebolehan Siti Saleha membawakan watak seorang ibu bolehlah dikategorikan membanggakan. Dia merupakan bukti terhadap kesilapan tanggapan pemerhati industri seni lakon tentang watak ibu sebagai ‘pembunuh’ karier aktres muda.
Penampilan sulung Siti Saleha sebagai ibu kepada anak perempuan berumur lingkungan 7 tahun dalam telemovie Luth Mahfuz (TV3) pada 2014 tidak langsung melumpuhkan kariernya. Malah ia berjaya melonjakkan Siti Saleha ke tahap lebih tinggi berbanding pelakon wanita semasa.
Stereotaip itu disedari Siti Saleha dan pernah dinasihati untuk tidak mengambil watak ibu. Menurutnya, pengalaman pertama dahulu memang meletuskan debaran hebat apatah lagi kebimbangan sekiranya cakap-cakap orang itu bertukar menjadi nyata.
“Tanggapan itu jauh meleset. Alhamdulillah penonton memuji persembahan lakonan saya dan mematikan ketakutan tersebut. Saya tidak bersetuju dengan perspektif lapuk itu kerana kelangsungan karier bergantung terhadap banyak aspek. Bukan watak sahaja memainkan peranan, malah jalan cerita juga sama penting.
“Sebagai pelakon tanggungjawab saya adalah berlakon. Kalau watak ibu yang diberikan itu mempunyai plot dan penceritaan mencabar, mengapa perlu saya menolak? Pemikiran lama seperti itu tidak boleh ada dalam diri seorang pelakon.
“Tidak lama kemudian, datang tawaran untuk membawakan watak ibu sekali lagi daripada Sheila Rusly untuk drama TV (Ramadan Jangan Pergi) sebanyak 15 episod. Mula-mula saya khuatir kerana ia akan bersiaran selama sebulan tetapi selepas diyakini pihak produksi dan stesen TV, saya terima dan Alhamdulillah ia meraih sambutan memberangsangkan.
“Jangan takut untuk mengambil watak yang lari dari perwatakan asal kita, cuma ia perlu dihadkan. Bukan sahaja watak ibu, tetapi watak lain juga perlu ada had. Cuba seimbangkan pemilihan watak supaya kita dapat menjadi pelakon serba boleh,” tajam Siti Saleha berkongsi pendapat.
Lelaki idaman
Sementelah meniti kegemilangan karier, laluan 2015 tetap mencoretkan kisah jelik yang pahit untuk dikenang Siti Saleha. Perkara bersangkut cinta dan persahabatan bukanlah episod wangi direntasinya tahun lalu. Dikhianati insan paling dipercayai telah menyiat-nyiat kepercayaan Siti Saleha terhadap erti setiakawan.
Peristiwa tersebut menjadikannya untuk meningkatkan tahap hati-hati dalam memilih rakan, walaupun selama ini dia sememangnya seorang yang cerewet dalam berkawan.
“Sejujurnya saya tidak ramai kawan yang benar-benar rapat. Jadi apabila ada dalam kalangan kelompok kecil yang saya percayai ini mengkhianati kepercayaan, ia benar-benar meluluhkan hati. Namun saya perlu jadi lebih cekal dan sangat berwaspada,” tambahnya yang menyifatkan 2015 sebagai tahun dramatik dari segi perasaan.
“Jatuh cinta memang membahagiakan tetapi cinta bukan segalanya. Saya mahukan lelaki yang mempunyai personaliti menawan kerana ciri-ciri dalaman itu yang akan membuatkan kita bahagia.
“Pasangan hidup perlu dinilai berdasarkan kriteria yang dapat menyenangkan perasaan kita; adakah ia mampu melekukkan senyum di bibir kita, dapatkan dia berjenaka menggembirakan kita dan matangkah dia apabila diajak berbual secara intelektual?
“Lelaki itu mestilah kelakar, menyeronokkan dan penyayang kerana saya seorang yang sangat penyayang. Dia perlu bijak memberi dan menerima cinta. Tidak lupa, asas agama kerana ia adalah latar belakang terpenting sebagai seorang umat Islam,” Siti Saleha mengupas ciri lelaki idamannya.
Langit Cinta
Baru ditayangkan di pawagam bermula semalam (7 Januari 2016), filem menampilkan Fazura dan Keith Foo sebagai teraju utama turut melibatkan Siti Saleha sebagai pelakon pembantu. Memegang karakter Suzanna, kemunculan Siti Saleha dalam filem arahan Osman Ali itu biarpun hanya dalam beberapa babak, tetap membekas ingatan.
Membawakan peranan Suzanna dengan bersahaja, boleh disimpulkan Siti Saleha ibarat melakonkan diri sendiri tanpa perlu menjadi orang lain. Feminin, berkarisma, bijak berkata-kata, ceria dan penyayang adalah karakteristik asli Siti Saleha yang dikekalkan bagi menghidupkan wanita bernama Suzanna.
Setia menagih cinta biarpun ditolak, Suzanna dalam Langit Cinta terus ikhlas memberi kasih tanpa mengharap ganti perasaan serupa. Rela kecewa, mengenepikan kemahuan hati asalkan insan disayangi mengecapi cinta hakiki.
Langit Cinta memberikan pengalaman pertama Siti Saleha bekerjasama dengan Osman Ali dan semua pelakon yang terlibat. Selain cabaran penggambaran yang dilakukan pada musim monsun, mainan emosi juga menjadi intipati penting filem ini yang perlu dijelmakan setiap pemain watak.
“Penonton pasti menangis apabila menonton filem ini kerana hampir setiap babak memaparkan konflik emosi yang mengusik perasaan. Ia sebuah filem cinta melankolik dan harapan saya agar penonton jatuh cinta dengan watak-watak dalam naskhah ini,” ujarnya.
Suitnya