ADAKAH dahagakan perhatian? Mengapa perlakuan jengkel dan mulut celuparnya tiada sempadan? Sengaja membikin kontroversi atau memang fitrahnya sedemikian?
Rantaian persoalan yang ingin kita lontarkan kepada tuan badan. Demi mencari jawapan dan penjelasan saksama tentang figura yang dikenali dengan gelaran Diva AA itu, Pepatung memanjangkan hajat mengatur temu bual dan fotografi istimewa untuk diceritakan kisah Azwan Ali sebagai isi utama Mei 2017.
Mengejutkan apabila ikon penyiaran disegani itu menyambut pelawaan dengan hati terbuka. Apatah lagi apabila dikhabarkan, kami mahu mengembalikan imej maskulin dan raut tampan Azwan Ali ketika era kegemilangannya sebagai pengacara terunggul tanah air.
Seharian Azwan Ali meluangkan masa untuk menjayakan pembikinan Wajah Pepatung. Seharian itu juga kami tidak kering gusi dengan telatahnya. Pada usia 51 tahun, Azwan masih berstamina tinggi. Profesional dalam bekerja dan menepati waktu.
Kredibiliti dan disiplin yang dikekalkan sepanjang hampir 30 tahun bergelumang dalam dunia seni itu yang mempertahankan namanya hingga kini. Sikap dan sifat yang kian menipis dalam kalangan bakat-bakat pengacaraan baharu.
Pengacara sampah
Kelompok pengacara baharu Azwan sifatkan sebagai kelompok ‘patah kandar’. Tiada kelayakan mengacara tetapi dijulang stesen televisyen (TV) sebagai wajah pelaris berbakat hebat. Maka terbitlah sifat ego, lupa diri, perasan dan masalah disiplin yang mendorong terhadap kegagalan tanggungjawab dalam mengacara.
“Kebanyakan pengacara sekarang sampah! Biarkan mereka belajar daripada carutan terpaksa ini,” Azwan berterus-terang apabila diminta mengulas tentang senario pengacaraan masa kini.
“Saya perhatikan lambakan bintang yang mengecap populariti mendadak hanya kerana bergelar pengacara. Suka untuk saya mengingatkan bahawa tugas pengacara penuh dengan adab sopan.
“Sejak lima tahun kebelakangan ini, produk yang ditampilkan sebagai pengemudi acara amat mendukacitakan. Bukan saya sahaja yang mengkritik, malah ia turut diakui masyarakat.
“Kebanyakan siaran langsung atau program yang kononnya berprestij cenderung mengutip semua bintang yang tidak memiliki kepakaran untuk menjadi pengacara. Mereka diangkat bersandarkan populariti dan faktor rupa semata-mata.
“Tambah kritikal apabila mereka tidak disediakan skrip. Mereka diberi kebebasan untuk berjenaka dan merapu sehingga menjejaskan kredibiliti sesebuah rancangan atau acara,” Azwan menilai berdasarkan pemerhatian tajamnya terhadap dunia penyiaran yang disifatkan sebagai tenat.
Industri penyiaran, pengacaraan khususnya di ambang kemusnahan. Pada pandangannya, usaha untuk menyelamatkan kemerosotan industri tersebut sudah terlambat. Kesilapan itu sebenarnya datang daripada stesen TV, penerbit dan produksi.
Keputusan meletakkan pengacara demi nilai rating tidak sepatutnya berlaku. Stesen TV membiarkan budaya sebegitu berleluasa tanpa kawalan.
“Bukan saya benci kepada bakat-bakat baharu. Malah hendak menyalahkan mereka pun barangkali tidak adil. Sebaliknya stesen TV dan pihak produksi perlu peka dan sensitif terhadap penetapan seseorang pengacara.
“Begitu juga dengan bintang-bintang komedi yang mendominasi pelbagai rancangan selaku pengacara. Memang mereka lucu dan menyelitkan jenaka dalam penyampaian, tetapi perlu berpada-pada. Ramai yang membuat lawak bodoh ketika siaran langsung sekali gus meranapkan prestij yang sepatutnya dipersembahkan.
“Impaknya menjejaskan banyak pihak. Anda sendiri dapat melihat kesannya kini. Bayangkan seorang ketua pegawai eksekutif stesen TV terpaksa terbang jauh demi untuk menyatakan permohonan maaf secara terbuka disebabkan kesilapan seorang pengacara.
“Tuhan beri petunjuk dengan satu insiden. Perlukah ia berulang dengan stesen TV lain baru kita hendak sedar?” pedas tetapi berisi peringatan Azwan.
Permulaan legasi
Kekayaan pengalaman Azwan dalam bidang penyiaran mungkin kurang diketahui generasi baharu. Kepada generasi muda, remaja terutamanya, Azwan ialah bintang media sosial yang terkenal dengan tindakannya memaki hamun orang di laman sosial instagram.
Pernah suatu ketika, blog dan Twitter menjadi medan peperangan Azwan dengan ramai orang. Lama-kelamaan dia mula letih. Kedua-dua platform tersebut ditutup.
Begitupun kecaman kepadanya tidak pernah surut. Netizen umpamanya, pernah melabelkan Azwan sebagai sakit jiwa dan terdesak. Sekali dia ditohmah, bertubi-tubi serangan balas dilancarkan.
“Mereka yang benar-benar mengenali Azwan Ali tahu siapa saya yang sebenar. Bukan sewenang-wenangnya saya mencipta sengketa, jauh sekali mahu menambah musuh. Prinsip saya mudah, jangan dijolok sarang tebuan Azwan Ali.
“Saya tidak akan serang seseorang itu tanpa sebab. Selama inipun tidak pernah sekali timbul kes saya disaman artis,” Azwan berpendirian.
Mengakui dahulu dirinya seorang yang panas baran dan cepat melenting, tetapi lama-kelamaan dia mula belajar mengawal amarah dan melatih diri bersabar.
“Ada juga yang menilai saya berdasarkan kekerapan saya menunaikan umrah. Bak kata mereka, perangai saya tidak berubah meskipun berkali-kali ke tanah suci Mekah.
“Mungkin cara saya menegur orang kasar dan kalau ditakdirkan saya menunaikan umrah 1,000 kali pun, belum tentu sikap semula jadi itu dapat dibuang. Namun, saya yakin perubahan itu akan dikurniakan dengan izin Allah. Cuma ia belum terjadi.
“Mengapa saya perlu hipokrit? Ini adalah diri saya yang sebenar, telus dan jujur,” dedah Azwan yang bakal menunaikan umrah kali ke-10 pada tahun ini.
Tidak kurang menganggap Azwan sebagai pengacara senja yang tidak lagi relevan dalam industri. Kekurangan penampilannya di kaca TV diandaikan kerana dia tidak laku. Begitupun ia tidak menjejaskan legasi Azwan yang mungkin semakin dilupai.
Masih ingatkan anda terhadap rancangan Sambal, Skrin (sebut betul-betul), Lontong, Cit Cat Azwan, Serunding, Lemang Sebatang dan banyak lagi program hiburan ikonik yang kini tinggal kenangan. Kesemuanya adalah buah fikiran kreatif Azwan yang bertindak sebagai pengacara dan penerbit.
Azwan bermula dari bawah dan mendaki tangga karier sehingga berjaya membentuk produksi sendiri; Azwan Ali Production.
Sebelum terjun dalam bidang penyiaran, Azwan terlebih dahulu mengikuti pengajian dalam Diploma Pentadbiran Awam di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Terengganu. Berbekalkan kelulusan sedia ada, Azwan mencuba nasib mencari kerja. Tawaran terbaik yang diterima pun adalah berkhidmat sebagai pegawai daerah.
Kegawatan ekonomi yang melanda negara ketika itu memujuk Azwan untuk menyambung pengajian. Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang di Universiti Malaya (UM) menjadi pilihan. Bukan atas dasar minat tetapi desakan untuk persediaan masa depan lebih terjamin membuatkan Azwan kembali menjadi pelajar universiti.
Undang-undang baginya adalah jurusan paling bertepatan untuknya disebabkan ia lebih menuntut pelajar untuk berfikir dan bersuara, berbanding jurusan yang melibatkan subjek kira-kira.
“Ramai sangkakan saya bercita-cita menjadi peguam. Sedangkan saya terpaksa dan merupakan jurusan yang tidak melibatkan nombor.
“Jurusan Sebaran Am (Komunikasi Media) ketika itu pula tidak begitu meluas seperti sekarang. Saya kurang yakin dengan bidang penyiaran dalam menjamin masa depan. Pada waktu itu, industri penyiaran tidak sepesat kini,” imbas Azwan yang mula berkhidmat di TV3 selepas beberapa bulan mendaftar sebagai pelajar di UM.
Tarikh keramat, 13 Mac 1988 tersemat kemas dalam memorinya. Itulah kali pertama wajahnya muncul di kaca TV secara rasmi sebagai pengacara. Ketika itu Azwan diberi tanggungjawab mengendalikan program Sampaikan, sebuah program permintaan lagu.
Terjebaknya Azwan dalam dunia penyiaran adalah kerana Wan Zaleha Radzi. Bekas personaliti TV3 ternama itu merupakan individu yang mengesan bakat pengacaraan Azwan.
“Ketika menuntut di UM, saya bertindak sebagai pengacara untuk sebuah program kemanusiaan untuk Palestin. Disebabkan keinginan untuk bergandingan mengendalikan acara bersama Wan Zaleha, saya sanggup ke TV3 dan berusaha untuk merealisasikan hasrat tersebut.
“Bagaimanapun TV3 menggantikan Wan Zaleha dengan seorang pembaca berita lain. Biarpun hajat saya tidak kesampaian, Wan Zaleha tetap hadir ke majlis tersebut dan memuji penyampaian saya sebagai pengacara. Kami bertukar nombor telefon dan dialah yang menghubungi saya menjemput untuk menghadiri sesi uji bakat.
“Ketika datang ke Studio TV3 di Jalan Liku, Bangsar, dia juga yang menunggu dan membantu melancarkan proses uji bakat. Alhamdulillah, tidak sampai sebulan, saya menerima panggilan daripada penerbit, Nik Ramzi Nik Hassan menawarkan tugas sebagai pengacara sambilan.
“Jasa Wan Zaleha akan saya kenang sehingga akhir hayat,” telus Azwan berterima kasih.
Membahagikan waktu sebagai pelajar dan pengacara sambilan TV3 benar-benar menduga Azwan yang ketika itu di awal usia 20-an. Hampir dua tahun mengacara rancangan Sampaikan, Azwan kemudiannya dipertanggungjawabkan mengemudi rancangan Muzik-Muzik, menggantikan N.D. Lala.
Transformasi pertama yang dilalui Azwan di TV3 itu nyata membawa namanya ke tahap lebih tinggi. Masih bergegas di antara UM dan Studio TV3, populariti Azwan memekar selepas dia muncul sebagai pengacara Anugerah Juara Lagu (AJL) 1989.
Tujuh edisi AJL (1989 – 1995) menampilkan Azwan sebagai pengacara, berganti gandingan bermula dengan Charmaine Agustine, Melissa Saila, Intan Rozila, Fauziah Ahmad Daud, Datuk Aznil Nawawi dan Salih Yaacob. AJL 1996 merupakan sentuhan terakhir Azwan. Edisi yang dijuarai Jerat Percintaan (Datuk Siti Nurhaliza) itu menyaksikan Azwan bertindak sebagai penerbit.
Tahun berikutnya (1997), Azwan meninggalkan TV3 secara rasmi. Ekoran konflik dalaman melibatkan pihak atasan stesen tersebut ketika itu, Azwan tekad berkhidmat secara bebas. Selepas lapan bulan menganggur, Azwan ditawarkan Astro untuk mengacara dan menerbitkan program Cit Cat Azwan.
Perjalanan seninya meluncur lancar sepanjang 15 tahun bergerak bebas. Tidakkah dia rindu untuk kembali menjejakkan kaki secara tetap di mana-mana stesen TV?
“Saya telah puas menyumbang kepada semua stesen TV sebagai pembekal rancangan. Jika ditawarkan bekerja sepenuh masa saya akan menolak dengan baik. Biarkan saya bekerja dengan cara tersendiri.
“Tidak semestinya saya jarang muncul di kaca TV, Allah tidak tolong. Rezeki itu ada di mana-mana. Saya pernah melewati era kesusahan dan saya reda. Namun saya mulai merasai hikmah di sebalik keadaan tersebut.
“Semakin ramai yang menyatakan kerinduan untuk menyaksikan saya mengacara program-program besar. Mereka rindu melihat Azwan Ali yang dulu,” luah Azwan.
Keluarga berantakan
Pada 18 Februari lalu, ibu Azwan, Che Tom Yahaya meninggal dunia pada usia 82 tahun akibat serangan angin ahmar. Berita pemergian ibunya kembali memusatkan Azwan dan keluarga sebagai tumpuan. Azwan sekali lagi dicerca netizen sehingga timbulnya gelaran anak derhaka.
Pendiriannya untuk tidak melawat jenazah dan mengucapkan ‘salam terakhir’ kepada ibunya menimbulkan kemarahan segelintir pihak, tidak kurang pengikutnya yang kecewa dengan sikap Azwan.
Menerusi satu temu bual yang disiarkan sebuah rancangan hiburan, Azwan menolak untuk mendedahkan punca sebenar keengganannya melawat dan mengiringi jenazah ke pusara.
Selepas hampir tiga bulan ibunya kembali ke Rahmatullah, Azwan jujur memberitahu dia masih belum pergi melawat pusara ibunya. Selagi dia masih bernyawa, dia juga tidak akan membuka mulut tentang kejadian yang menimpa dirinya dengan arwah ibunya.
“Ibu saya sudah tiada dan saya sentiasa doakan yang terbaik untuknya di alam sana. Biarlah ibu saya tenang di sisi Allah. Krisis keluarga saya tidak perlu dipanjangkan. Seboleh-bolehnya saya mahu mengelak daripada membusukkan pihak lain dan mendoakan agar mereka menjadikan kejadian ini sebagai iktibar serta bermuhasabah.
“Dahulu memang saya rapat dengan arwah ibu. Ketika menyertai program MasterChef Selebriti, hampir semua sajian yang disediakan saya selitkan nama ibu. Begitu juga bisnes rendang yang sedang saya usahakan, ia bermula dengan nama rendang Mak Tom.
“Ilmu memasak yang diperturunkan amat saya hargai. Biarpun agak lewat belajar memasak iaitu sekitar umur 30-an, saya berjaya menguasai banyak resipi istimewa ibu,” kongsi Azwan.
Anak kelima daripada enam adik-beradik itu juga sering terpalit kontroversi akibat perbalahan terbuka sesama darah dagingnya. Sengketa lama bersama abangnya yang juga Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pernah mencuri perhatian. Kemudian kecoh pula isu perkelahian saudara antara Azwan dan adik perempuannya, Ummi Hafilda Ali.
Hubungan Azwan dan Azmin dispekulasi dan dilaporkan dalam bermacam versi. Azwan sendiri letih dengan cerita-cerita palsu yang tersebar.
“Mohon agar tidak mensensasikan perkara yang anda sendiri tidak tahu hujung pangkalnya. Masalah keluarga kami ada sempadan untuk tidak dihebohkan.
“Pemergian ibu merupakan noktah keluarga bagi saya. Selepas ini saya harap kisah keluarga akan berkurangan. Tentang hubungan saya dengan Azmin, saya tegaskan bahawa walaupun dicincang seribu kali, dia tetap saya hormat sebagai abang,” Azwan mengakui bahawa keluarganya pernah merentasi fasa berantakan yang lebih dahsyat.
Pertelingkahan keluarga membuatkan Azwan selesa bersendiri. Dia tinggal seorang diri tanpa ditemani sesiapa pun. Tidakkah dia sunyi atau mengimpikan sebuah keluarga untuk meneman hidup?
Pantas Azwan memberi jawapan bahawa dia tidak pernah berasa sunyi. Memang benar dia sering mengeluarkan kenyataan ‘leave me alone’ tetapi ia bukanlah bermaksud dia kesepian. Hidupnya diwarnai dengan keindahan bertemu pelbagai orang termasuklah pelanggan yang membeli rendangnya.
Ramai juga tidak tahu bahawa Azwan sukakan kanak-kanak. Dia mempunyai ramai cucu angkat, malah hampir berjaya mengambil anak angkat.
“Sunyi itu mungkin dirasai ketika pulang ke rumah. Sehingga kini saya masih mencari dan mempunyai keinginan untuk mengambil anak angkat. Jika ditakdirkan jodoh saya berumah tangga pada usia ini juga saya reda. Perancangan Allah itu tidak kita ketahui,” ujar Azwan yang kini mengendalikan segmen Why Bother? by Diva AA menerusi aplikasi Ais Kacang.
Azwan yang kini terkenal dengan bisnes rendang Chef Diva AA juga menerima pesanan yang semakin menggalakkan. Sekiranya anda teringin untuk menikmati air tangan Azwan Ali, bolehlah memesan dengan menghantarkan SMS kepada .
Salam Hormat.
Terima Kasih untuk artikel ini ya.
Kepada Diva AA a.k.a Azwan Ali semoga success selalu dengan apa jua dilakukan.
Terbaek & Terima Kasih sekali lagi 🙂