Transisi Sedekad Nora Danish

0
87

FRASAkita enjoy‘ memperkenalkan wanita ini kepada mata umum. Karakter gadis manja yang sentiasa positif mengalir sebati dalam dirinya. Meskipun ia hanya lakonan, tetapi pembawaan watak sebagai gadis bernama Puteri juga adalah personaliti sebenar pendukungnya, Nora Danish secara realiti.

“Abang Aziz (Aziz M. Osman) sendiri meminta agar saya menjadi diri sendiri. Maka apa yang penonton saksikan dalam Puteri, itulah karakter saya di luar,” imbas Nora.

Sitkom popular yang pernah bersiaran di TV3 itulah permulaan kepada karier lakonan Nora atau nama sebenarnya, Nora Mohd. Danish Hanif. Sejak itu Nora mula dikenali sebagai artis. Ke mana pun dia pergi, orang memanggilnya dengan nama Puteri.

Penangan populariti sedikit mengejutkan Nora, 33, yang sebelum itu selesa menikmati kehidupan sebagai orang biasa. Nilai privasi mula susut. Apatah lagi apabila mendirikan rumah tangga bersama bekas suaminya, Toh Muda Rizal Ashram Ramli (Jejai) pada tahun 2006, kehidupan peribadinya dipertontonkan kepada khalayak. Tambah mengharukan saat berita perceraiannya dan Jejai pada tahun 2008 dicanang sana sini.

Peralihan status daripada seorang wanita biasa kepada artis yang diketahui sebagai ‘milik masyarakat’ banyak mengubah keperibadian Nora. Jika dulu dia seorang yang ceria, lucu dan suka ketawa, sekarang dia berubah menjadi individu yang lebih serius. Nora bukan lagi Puteri yang hanya mengenal erti gembira dan bijak menghindar aura negatif.

Kematangannya melentur seiring peningkatan usia. Ia dapat dilihat dalam setiap pengucapannya. Apapun kenyataan dari mulutnya kini dikongsikan penuh hati-hati. Malah tahap waspada Nora turut berkait perihal pemilihan gambar untuk sesi-sesi fotografi sebagai wajah penghias majalah.

Nora04 FOTO: PINOGRAPHY | GRAFIK: OMAR BENJAMIN FAHMY | BUSANA: KHOON HOOI (al / ) | SOLEKAN: ARY MUZAMER ()

Sebelum mengatur temu bual bersama Wajah Pepatung edisi April ini, Nora terlebih dulu memohon kebenaran untuk melihat hasil suntingan gambar-gambar daripada sesi fotografi. Selepas berpuas hati, barulah Nora memberi lampu hijau untuk ditemu bual. Barangkali permintaan Nora itu menimbulkan kurang senang kepada beberapa majalah, tetapi Nora mempunyai sebab untuk berpendirian sedemikian.

“Saya bukan mahu menjadi diva. Ketegasan itupun didorong oleh pengalaman lalu. Dulu memang saya meletakkan kepercayaan penuh kepada pengarang sesebuah majalah atau penulis di mana-mana syarikat penerbitan media. Namun selepas foto saya berpakaian seksi disiarkan di dalam sebuah majalah beberapa tahun lepas, saya jadi lebih berhati-hati.

“Sejak awal saya memberitahu bahawa pakaian yang disediakan tidak boleh seksi. Bagaimanapun ada ketika kesemua pakaian pada sesi fotografi tidak menepati syarat Nora. Disebabkan tiada pilihan, saya pakai juga selepas dijanjikan bahawa gambar-gambar tersebut akan disunting.

“Akhirnya, janji itu tidak ditepati dan saya pula dihentam masyarakat kerana berpenampilan menjolok mata. Hal ini turut terjadi kepada beberapa rakan artis lain. Bagi mereka yang pernah bekerja dengan Nora pasti tahu standard pemakaian Nora,” jelas Nora yang kini sedang menjalani penggambaran filem Isteri Untuk Dijual.

Sedekad bergelar anak seni, tempoh yang produktif untuk Nora memacu kerjayanya ke peringkat lebih tinggi. Bermula agak perlahan di awal pembabitannya dengan tawaran kecil melibatkan watak-watak komedi, hari ini Nora sudah terbang tinggi. Drama bersiri Tentang Dhia (2011) yang menggandingkan Nora dan Adi Putra menjadi titik tolak terhadap kerancakan karier seninya masa kini.

Ia disusuli dengan sambutan menggalakkan filem Aku Terima Nikahnya (2012) yang juga menyatukan Nora dan Adi Putra. Usai disunting Metrowealth International Group (MIG), wajah Nora kerap mengisi pawagam tanah air.

Mungkin lambakan filem melibatkan Nora dianggap segelintir pihak sebagai pendekatan kurang bijak. Ia menggugat kualiti dan nilai eksklusif Nora sebagai pelakon. Pandangan itu bagaimanapun tidak setara dengan perspektif Nora. Baginya, menjayakan banyak filem membolehkan dia menajamkan mutu lakonan di samping dapat mencuba menghidupkan pelbagai watak.

Sebelum ini, penonton tidak memandang serius bakat lakonan Nora dan beranggapan anak bongsu daripada empat adik-beradik ini hanya mahir berlakon sebagai wanita manja, ceria dan lucu. Bersandarkan katalog filem seperti Pengantin Malam, Dua Kalimah dan Bencinta, Nora membuktikan bahawa masih banyak keupayaannya yang belum dicungkil keluar.

Begitupun, tidak seperti kebanyakan pelakon yang mendambakan watak psiko atau ‘orang gila’ sebagai penyempurna definisi pelakon serba boleh, Nora pula mengimpikan watak romantik. Agak menghairankan kehendak Nora itu kerana dia telahpun muncul dalam pelbagai drama dan filem bergenre tersebut.

“Watak romantik yang saya maksudkan adalah seperti karya Ada Apa Dengan Cinta. Saya masih menunggu filem romantik dengan penceritaan dan dialog yang berat. Jiwa saya tetap terarah terhadap genre ini dan saya masih belum puas membawakan watak sebegini,” dedah Nora penuh harapan.

Dalam kesibukan mencipta nama, jika disemak semula kejayaan Nora, satu-satunya anugerah yang diterima Nora adalah Hot Chick Award pada Shout! Awards 2012. Selain itu, dia hanya tercalon dalam kategori-kategori utama untuk beberapa majlis anugerah dominan tanpa sebarang kemenangan.

Tidak menolak betapa pentingnya anugerah kepada seseorang artis, Nora sendiri mengidamkan untuk merangkul trofi pelakon wanita terbaik pada Festival Filem Malaysia (FFM) atau Anugerah Skrin TV3 (sekadar menyebut beberapa). Anugerah pada pandangannya adalah pengiktirafan dan bonus di atas kerja keras si penerima, bukan bertujuan untuk menunjuk-nunjuk kepada orang.

Instagram

Menyelak dunia media sosial pula, semua pun tahu, ibu kepada Putra Rayqal Ramli Rizam Shah ini merupakan pendahulu dari segi bilangan pengikut (follower) Instagram di Malaysia. Dengan 1.7 juta pengikut, Nora berpendapat mungkin masyarakat terutama para peminat gemar untuk mengikuti perkembangan hidupnya menerusi perkongsian gambar di Instagram.

Nora03

Seperti dirinya yang turut mengikuti perkembangan artis antarabangsa dan rakan artis tempatan menerusi Instagram, begitu juga orang lain. Instagram bagaikan jendela untuk pengguna media sosial menjenguk kehidupan seharian individu lain. Dalam konteks artis, peminat mahukan maklumat lebih peribadi berbanding apa yang disaksikan di kaca TV ataupun pawagam. Hanya di media sosial seperti Instagram, sebahagian kecil sisi peribadi seseorang artis dapat diketahui dengan lebih dekat.

Bagaimanapun di sebalik kemudahan medium interaksi moden itu, wujud juga kesan-kesan negatifnya. Paling ketara adalah penyalahgunaan media sosial oleh pengguna kanak-kanak. Selain pernah menerima ancaman rogol daripada seorang pengikutnya di Instagram, Nora kerap menerima komen-komen yang menggunakan bahasa tidak sopan daripada pengikut kanak-kanak.

Hal tersebut amat membimbangkan Nora. Malah dia berasa bahawa media sosial hanya sesuai digunakan orang dewasa dan bukan ruang bagi kanak-kanak menambah kenalan di alam maya. Sebagai seorang ibu, Nora mengerti kepentingan teknologi dan keperluan gajet seperti iPad dalam memudahkan proses pembelajaran.

Justeru, ibu bapa perlu peka terhadap penggunaan gajet dan telefon pintar oleh anak-anak mereka. Bagi Nora, tujuan peralatan itu adalah bagi mendedahkan mereka terhadap aplikasi berbentuk pendidikan. Membenarkan anak-anak mempunyai akaun Instagram ketika masih di bangku sekolah rendah sangat tidak boleh diterima.

“Bayangkan pada umur yang masih mentah, mereka (kanak-kanak) sudah berani meninggalkan komen tidak sopan. Mungkin ibu bapa di luar sana tidak menyedari hal ini tetapi sebagai artis, saya berdepan dengan situasi ini hampir setiap hari di laman sosial.

“Saya tidak marah kerana memahami betapa akal kanak-kanak masih belum cukup matang untuk membezakan yang baik dan buruk. Ada sesetengah foto yang saya kongsikan ketika menjalani penggambaran bersama aktor lelaki tampak agak mesra dan berkemungkinan ia tidak sesuai serta tidak difahami kanak-kanak.

“Apabila timbul perkara sebegitu, ibu bapa akan menuding jari kepada artis, mempersoalkan mengapa dikongsikan jika tahu ia tidak sesuai? Daripada skop profesionalisme, tujuan saya adalah untuk mempromosikan filem yang saya jayakan, tidak lebih daripada itu.

“Saya tidak perlu mengeluarkan sebarang justifikasi gara-gara sekeping gambar mesra dalam lakonan. Sedangkan yang perlu dibimbangkan adalah akses kanak-kanak terhadap media sosial dan kebebasan mereka mempunyai akaun Instagram atau Twitter sendiri,” begitu pandangan Nora.

Nora02

Bukan setakat foto mesranya bersama pelakon lelaki dipersoalkan, malah gambar anak lelakinya, Rayqal, 6, bergaya dalam kostum Prince Charming turut dikecam segelintir pengikut Instagram Nora. Disebabkan mahkota mainan di atas kepala Rayqal yang didakwa menyerupai lambang salib, Nora dikatakan tidak sensitif.

Teguran tersebut dipandang dari sudut positif dan tidak lama kemudian, Nora membuang foto tersebut. Sebagai manusia biasa, Nora mengaku bahawa dia juga tidak lari daripada kesilapan. Justeru, sebarang komen berbentuk teguran membina akan diterima dengan hati terbuka.

Rayqal

Meskipun dihimpit kesibukan kerja, tanggungjawab Nora sebagai ibu kepada Rayqal tetap diutamakan. Seawal pukul 6 pagi, Nora bersiap-siap untuk menghantar putera tunggalnya itu ke sekolah walaupun sesi penggambaran tamat lewat pada malam sebelumnya. Rayqal yang kini bergelar pelajar darjah satu di sebuah sekolah antarabangsa mula mengadaptasi kehidupan bersekolah.

norarayqal

Hanya apabila Nora menjalani penggambaran di luar Kuala Lumpur, tugas menghantar Rayqal ke sekolah dan menjemputnya pulang diserahkan kepada datuknya (bapa Jejai). Rayqal juga sudah membiasakan diri berganti tidur di tiga buah rumah; kediaman Nora, Jejai dan datuknya. Biarpun Rayqal perlu menjalani kehidupan begitu, Nora tetap berlapang dada kerana keselamatan anaknya sentiasa terjamin di bawah penjagaan dan pengawasan keluarga.

“Saya dapat lihat perubahan karakter Rayqal. Walaupun masih kecil tetapi dia agak matang berbanding usianya. Rayqal seorang yang penyayang dan sangat melindungi dua adiknya (Putra Rayfal Ramli Rizam Shah dan Putri Raysha Jemaima Rizam Shah),” kongsi Nora yang akan merasmikan kafe butik yang diusahakan bersama empat rakannya, Kopi XOXO yang terletak di Bangsar, Kuala Lumpur pada bulan ini.

KONGSI
Artikel sebelumnyaEnam kaedah pengukur keberkesanan senaman
Artikel seterusnya10 kategori pengguna Instagram
Memulakan kerjaya penulisan sebagai wartawan di sebuah akhbar berbahasa Melayu tempatan dan berkhidmat selama empat tahun sebelum menyertai Pepatung sepenuh masa. Berpengalaman dalam penulisan rencana terutama berkenaan gaya hidup, profil, minat ramai, isu semasa, fesyen dan hiburan.

TINGGALKAN RESPONS