RAMADAN ini, Wajah Pepatung memotretkan wanita berpurdah sebagai cerita utama. Wajah jelitanya dulu pernah menjadi sebutan ramai. Bakat lakonannya juga dipuji dan digemari masyarakat.
Kebijaksanaannya berfesyen juga dijadikan rujukan dan inspirasi wanita pencinta fesyen. Kelibatnya dalam persalinan label antarabangsa dan helaian mewah pereka tempatan menghiasi majalah-majalah fesyen.
Di saat namanya menguntum harum, persona seninya menuju ke puncak, Natasha Liana Hudson mengejutkan industri apabila muncul berhijab. Tiada siapa menduga seruan hijrah akan hinggap kepada anak seni yang menggunakan nama pentas Natasha Hudson seawal itu.
Tambah mengejutkan apabila penghujung tahun lalu, Natasha atau mesra disapa Tasha, 34, muncul berniqab. Penjelasan amnya telah dikongsi Tasha menerusi laman sosial instagram. Berita itu juga pernah dimainkan media-media arus perdana termasuklah blog-blog hiburan tempatan.
Begitupun, Pepatung berhasrat untuk mendalami sebab musabab dan kehidupan sebenar sebagai wanita berniqab di Malaysia.
Mungkin ramai yang tidak tahu, kali pertama Tasha menyarungkan purdah adalah dua tahun lepas. Dugaan mengandungkan anak ketiga membuatkan istiqamahnya lebur. Hasratnya terkandas dan dia tekad membuka purdah dan kembali mengenakan tudung biasa.
Selepas berjaya menggenggam ijazah dalam pengajian Islam, kerinduan Tasha untuk kembali ke landasan ilmu kembali membara. Kali ini, hatinya benar-benar terpanggil untuk mendalami ilmu sanad dalam al-Quran dan tajwid. Berkat kesungguhan dan keikhlasannya, dibukakan jalan kepadanya untuk kembali ke universiti.
“Memandangkan saya dalam tempoh berehat daripada perniagaan, jadi ia adalah waktu yang terbaik untuk menyambung pengajian. Saya anggap ia sebagai satu bentuk peringatan daripada Allah untuk kembali kepadaNya.
“Hidup kita ini sentiasa berkisar tentang pulang kepada Allah. Kita lalai, Dia akan ingatkan. Apabila saya kembali belajar, lebih banyak perubahan mula terjadi.
“Kerinduan untuk berniqab juga semakin menebal. Saya sedar bahawa keputusan untuk berniqab dulu didorong oleh perasaan untuk menyembunyikan wajah supaya orang sekeliling tidak mengenali saya.
“Saya enggan orang mengenali Natasha Hudson dan berharap orang berhenti menegur dan meminta bergambar. Desakan berniqab itu adalah untuk melarikan diri. Itu kesilapan saya,” luah Tasha ketika ditemui Pepatung.
Proses pembelajaran al-Quran telah membuka mata hati Tasha tentang banyak hal, termasuklah kehendak untuk berniqab. Sejak itu, dia mula menjalankan lebih banyak penyelidikan berkenaan sejarah niqab. Begitu juga seminar-seminar Islamik yang dihadiri, banyak membincangkan tentang topik berkenaan.
Kisah Siti Aisyah yang pernah merasai getir fitnah dan hubung kaitnya dengan niqab. Semuanya bagaikan kepingan teka-teki kepada Tasha yang akhirnya menyemai kefahaman baginya untuk kembali menyarungkan niqab berlandaskan keikhlasan serta tawaduk.
“Berniqab atau tidak, orang tetap akan mengenali saya. Mengapa saya perlu lari daripada orang? Kini saya lebih tenang dan yakin. Dulu, masih terbit rasa segan untuk berniqab.
“Begitupun, ia tidak menjadikan saya muslimah yang lebih baik berbanding orang lain. Ia adalah transisi yang saya lalui sebagai muslimah. Satu proses pembelajaran kerana kita sebagai hamba Allah sentiasa lemah dan tetap akan melalui pasang surut kehidupan.
“Dugaan tidak akan pernah berhenti. Saya sentiasa mengingatkan diri supaya dijauhkan daripada sifat riak. Apa yang saya lakukan adalah untuk kebaikan diri dan berbekalkan pengalaman tidak seberapa itu, saya kongsikan kepada orang lain,” tegas tetapi tenang Tasha meluncur kata.
Tidak bersolek
Selepas selamat melahirkan puteri ketiga dua tahun lalu, Tasha kembali aktif berblog, berkongsi subjek-subjek fesyen wanita muslimah. Ketika itu, dia mula merasakan konflik selaku muslimah yang bergiat aktif dalam industri fesyen.
Dalaman Tasha memberontak dan mula mempersoalkan kehendak hatinya. Kod pakaian apakah yang dapat memuaskan hatinya? Adakah dia perlu berpakaian atas dasar kerja atau untuk kepuasan orang lain? Segalanya serba tidak kena dan Tasha mahukan penampilan yang mudah, sesuai dan selesa.
“Islam itu mudah dan memang manusia itu yang menyukarkan konteks tersebut. Ia agama yang mendamaikan, melindungi lelaki dan perempuan daripada sebarang bentuk kemungkaran, fitnah dan sebagainya.
“Ini bukan masanya untuk saya mengulangi kesilapan lampau. Ini masanya untuk saya melindungi masa depan anak-anak. Berpakaian cantik untuk santapan mata siapa? Perhatian siapa yang ingin saya tagih?
“Jadi saya membuat keputusan untuk tidak lagi melibatkan diri dalam dunia berkisar fesyen dan fabrik. Saya sedang menikmati kemanisan hidup yang lebih indah.
“Bayangkan pada usia mencecah 60 atau 70 tahun, masihkah kita akan mengenakan lipstik, bulu mata palsu, rambut palsu atau seluar jean ketat? Saya sendiri tidak boleh membayangkan diri bertudung dan berimej sedemikian.
“Ia membuatkan saya berasa seperti hipokrit kerana bahagian kepala boleh ditutup, di bawah pula masih tidak dipelihara. Kena tanamkan rasa malu depan anak-anak dan diri sendiri,” Tasha berpesan yang juga peringatan untuk diri sendiri.
Bukan bermakna apabila wanita berniqab, keinginan untuk berhias, bersolek dan tampil cantik perlu dihentikan. Bagi Tasha, bersederhana dalam fesyen itu akan membuatkan seseorang itu lebih cantik.
Kini, dia selesa tanpa mengenakan sebarang solekan. Tiada secalit celak atau maskara yang dipakai ketika keluar rumah. Tujuan berhias diri di luar rumah tidak lagi relevan kepadanya.
Namun, sebagai wanita, dia tidak lari daripada keinginan untuk kelihatan lebih ceria. Kadang-kadang dia akan mengenakan pakaian berwarna lain selain hitam. Cuma masih berpada-pada dan tidak keterlaluan.
“Bagaimana anda membawa diri itu lebih menjadi keutamaan kerana persepsi orang sekeliling sukar dibendung. Tidak salah untuk bergaya tetapi ketahui batasannya. Kalau tujuan kita bergaya dengan niat untuk menarik perhatian orang itu salah.
“Saya juga akan berhias dan berpakaian cantik tetapi hanya di rumah, untuk pandangan suami,” Tasha memberitahu jujur.
Tidak terkongkong
Pandangan sinis orang sekeliling terhadap wanita berpurdah juga bukanlah asing kepada Tasha. Dia belajar untuk mengabaikan termasuklah tuduhan tidak berasas yang diterima menerusi instagram.
Antaranya adalah komen yang menyatakan bahawa dia terikut-ikut amalan niqab yang diajar dalam mazhab Hambali. Tasha tidak melatah dan merasakan masyarakat khususnya orang Islam perlu mempelajari terlebih dahulu kesemua empat mazhab utama dalam agama.
Biarpun kita tidak mengikuti mazhab tertentu, tidak bermakna kita boleh menghukum amalan mazhab lain itu sebagai salah atau menyanggah hukum. Sebagai umat Islam, kita perlu hormati kesemuanya, apatah lagi sebagai insan kerdil yang masih banyak perlu dipelajari.
“Anda perlu faham, niqab bukan budaya Arab. Ini adalah Islam dan merupakan pemakaian yang disunahkan. Ia ibarat kita mengelaskan surah An-Nur khusus untuk orang Arab sahaja.
“Banyak fakta tentang Islam yang kita tak tahu. Meskipun dilahirkan sebagai Islam, tetapi adakah kita benar-benar mengenali Islam?
“Dari segi berpakaian, ramai yang menyifatkan jubah sebagai budaya Arab. Ia tanggapan yang tidak benar. Banyak bukti dalam surah An-Nur menjelaskan tentang tatacara berpakaian. Ia mestilah besar dan longgar. Ciri tersebut diterjemahkan dalam jubah yang menjadi pakaian rutin masyarakat Islam.
“Jangan malu untuk memakai pakaian yang lebih labuh dan longgar. Begitu juga niqab, ia bukan hak mutlak orang Arab. Kalau kita hendak memakai baju kurung sekalipun, tidak menjadi masalah selagi ia memelihara aurat dan menjaga kesopanan berlandaskan syariat,” kongsi Tasha.
Pendiriannya untuk berniqab juga menimbulkan kata-kata kurang enak yang melabelkannya sebagai pengikut Wahabi. Tidak kurang pula melihat dia sebagai cerminan Islam yang mengongkong kebebasan wanita.
Bagi Tasha, dia sendiri tidak mahir tentang Wahabi, jauh sekali untuk mempromosikan atur cara hidup pengikut-pengikutnya. Sikap masyarakat yang mudah terikut-ikut dan melihat sesuatu yang tidak diketahui dengan jelas dari perspektif negatif sangat mendukacitakan.
Termasuklah persepsi masyarakat kepada wanita berpurdah. Misalnya, perasaan kasihan kepada kebanyakan wanita Arab yang melancong ke luar negara yang masih patuh mengenakan niqab. Bagi kita, kebebasan mereka untuk mengekspresikan diri dari sudut berpakaian disekat oleh kepercayaan dan mazhab ikutan mereka.
Sedangkan sebenarnya, mereka sedikitpun tidak berasa terkongkong, jauh sekali menangisi nasib dilahir dan dibesarkan sebagai muslimah.
“Situasi mereka itu saya adaptasi dalam kehidupan sendiri. Ketika bercuti dan timbul keinginan untuk berenang, saya mula menyedari betapa beruntungnya saya sebagai wanita berniqab. Biarpun tidak boleh berenang, tetapi ia melindungi saya daripada bercampur dengan lelaki bukan muhrim di dalam kolam renang yang sama.
“Ia mengelakkan saya daripada meletakkan diri dalam situasi yang boleh mengundang fitnah. Ada sebab kenapa agama tidak membenarkan kita bergaul bebas sebegitu. Walaupun kini ada pakaian renang muslimah, tetapi perasaan malu itu akan terbit secara automatik dalam diri. Tidak pula saya rasa terkongkong,” Tasha berterus terang.
Enggan gadai istiqamah
Harapannya agar tanggapan negatif kepada wanita berniqab dapat dikikis secara berperingkat. Ia termasuklah penerimaan media arus perdana dalam membenarkan wanita berniqab untuk muncul di kaca televisyen (TV) sama ada sebagai pengendali atau tetamu program.
Berkongsi kekecewaannya, Tasha berasa sedikit tersinggung apabila sebuah program TV Islamik yang berhasrat mengundangnya sebagai tetamu meletakkan syarat yang tidak relevan.
Untuk muncul di kaca TV, Tasha diminta untuk membuka niqab. Dia terkejut dan menolak dengan baik tawaran tersebut. Baginya, pendekatan tersebut seolah-olah memperkecilkan imejnya.
“Ia seperti anda menyuruh wanita bertudung untuk menanggalkan tudung mereka. Bagaimana untuk saya bersetuju dengan permintaan sedemikian? Saya tidak akan menggadaikan istiqamah saya demi kepentingan dan kehendak orang lain,” Tasha teguh berprinsip.
Biarpun selesa berniqab, Tasha masih menghormati mereka yang tidak berpenampilan sepertinya. Sama ada wanita itu bertudung labuh atau singkat, Tasha tidak merasakan dia memiliki imuniti atau lesen untuk memandang rendah kelompok sedemikian.
Dia juga pernah melalui tempoh sebegitu. Sekejap bertudung labuh, kemudian muncul pula gaya bertudung pendek. Ia adalah proses berbeza yang dilalui wanita Islam yang sedang mencari perubahan dalam menjadi muslimah yang lebih baik.
Hanya doa dan kesungguhan dapat membimbing seseorang meniti jalan kebenaran, sekali gus mendakap kemanisan bergelar muslimah sejati.
Sejak kembali mengenakan purdah, Tasha turut menyedari betapa ramainya muslimah Malaysia yang mula terbuka untuk berniqab. Hampir setiap hari dia menerima mesej di instagram tentang langkah-langkah beristiqamah.
Pesanannya mudah. Usah berniqab kerana dirinya atau terinspirasi dengan tindakannya. Tasha mahu orang tahu bahawa dia bukan sesiapa. Mereka yang ingin berniqab perlu bersedia merentasi pelbagai peringkat. Melengkapkan diri dengan ajaran Islam yang betul dan belajar tentang sejarahnya.
Dalam masa yang sama, tetapkan dalam hati dan tanya kepada diri, adakah anda bersedia untuk berserah segalanya kepada Allah? Refleks diri itu penting dalam memutuskan kerelaan hati sama ada ikhlas atau sebaliknya.
Menerima mesej berbentuk sebegitu sememangnya melapangkan. Namun, bagi Tasha, adakalanya ia meletihkan kerana dia enggan orang meletakkan harapan yang tinggi.
Tidak terdetik di hatinya untuk meletakkan diri sebagai pendakwah, penceramah atau ahli akademik. Dia sentiasa berpesan kepada mereka yang meminta nasihatnya agar tidak melihat dirinya sebagai pendakwah.
“Dakwah itu memang dituntut dan setiap orang bebas untuk berdakwah. Berkongsi sepotong ayat juga dikira dakwah. Namun dalam dunia serba moden sekarang, ramai yang salah guna medium berdakwah. Media sosial antaranya, menjadi cabang dakwah yang mempengaruhi kehidupan masyarakat urban.
“Kita kini hidup di akhir zaman. Semakin banyak individu mendakwa mereka arif dan bijak tentang penjelasan ayat al-Quran dan hadis. Penting untuk kita sebagai orang Islam, mengikut jalan yang betul, individu yang betul dan mereka yang benar-benar membimbing ke jalan Allah.
“Bukan semua ilmu dan dakwah boleh kita kutip di media sosial. Jangan terlalu bergantung kepada teknologi dan kemodenan. Kita juga kena belajar secara tradisional. Rujuk buku-buku dan al-Quran yang terpelihara kandungannya,” berisi dan tepat perkongsian Tasha.
Sedia berlakon
Ibu kepada tiga cahaya mata itu kini juga sibuk menyusun perniagaan produk organiknya. Perniagaan kecil-kecilan yang akan kembali diusahakan sepenuhnya di rumah itu menjadi mata pencarian Tasha di samping jemputan perkongsian pengalaman hijrah dan mengajar anak-anak kecil.
Dia menikmati setiap masa yang diperuntukkan mengajar kanak-kanak dalam pendidikan Islam. Cuma cabaran terbesarnya ialah mendidik darah daging sendiri.
Melihatkan puteri-puterinya yang semakin membesar, Tasha dapat mengesan bakat seni mereka yang kian ketara. Darah seni Tasha kini mengalir dalam diri anak-anak. Mereka mula meminta kebenaran Tasha untuk meneroka cabang kesenian.
Timbul rasa berbelah bagi, antara memenuhi keinginan anak-anak dan memberikan peluang untuk mereka berekspresi atau mendidik mereka mengikut acuan pilihan sebagai ibu bapa. Tasha masih merancang yang terbaik untuk anak-anak dan berdoa diberikan bimbingan menentukan keputusan yang tepat.
Kerjaya seni Tasha sebagai pelakon pula disaksikan penonton buat kali terakhir dalam filem Mamak Cupcake pada 2014. Sejak itu, Tasha lebih selesa memperuntukkan masa dalam ilmu pengajian Islam, perniagaan dan kerja-kerja berbentuk kerohanian.
“Sebenarnya saya tidak pernah membuat kenyataan bahawa saya akan bersara daripada industri seni. Ketika hamil anak ketiga, saya berehat sebentar untuk fokus kepada keluarga. Namun, apabila saya bersedia untuk berlakon, tidak ada tawaran yang muncul.
“Saya anggap ia sebagai takdir untuk saya menjadi Natasha Hudson seperti hari ini. Kerinduan untuk berlakon itu memang ada. Jika diberi peluang dengan skrip yang bagus, menepati penampilan saya dan untuk tujuan yang baik, saya akan pertimbangkan.
“Di luar negara, pelakon wanita berniqab bukanlah sesuatu yang asing. Bagi saya, jika ia dapat menyebarkan mesej positif dan tidak menjejaskan keluarga atau mendorong terhadap hal negatif, saya terbuka untuk kembali berlakon,” dedah Tasha yang terkenal dengan ketelitiannya dalam kerja.