FAUZIAH NAWI diibaratkan sebagai cerminan ibu anak-anak di Malaysia. Lakonannya yang bernyawa menjadi peringatan untuk diadaptasi dalam kehidupan realiti. Demikianlah impak lakonan hebat kepada masyarakat.
Ia bukan sekadar bertujuan untuk menghiburkan. Namun mesti menjentik emosi terdalam, sekali gus mempengaruhi pemikiran dan perubahan penonton.
Watak Fauziah dalam telemovie Kembalikan Syawalku sebagai Aishah (Mak Chah) yang bersiaran pada malam hari raya Aidilfitri lalu di Astro Citra misalnya, meninggalkan pesanan yang amat penting kepada anak-anak.
Tiada cucuran air mata berlebihan dipertontonkan. Memadai dengan kepelbagaian ekspresi wajah, bahasa tubuh dan intonasi suara bagi memperihalkan setiap keadaan dan perasaan.
Di akhir cerita, penonton pasti berjaya menyelami gelora dan reda Mak Chah. Ia seterusnya menjadi refleksi kepada kita sebagai anak-anak. Menggetuskan kemusykilan adakah ibu kita di kampung pernah berkecil hati atau memendam rasa bersalah sedemikian?
Mak Chah mengundang serba salah kita sebagai anak. Pantas tangan mencapai telefon pintar dan menghubungi ibu bertanya khabar.
Bukan Mak Chah sahaja mampu mencelikkan hati anak-anak, karakter Mak Jah (Pondok Buruk), Maktom/emak (Daun Ketupat Kering) dan Mak Nen (Ketupat Terakhir) lakonan Fauziah, semuanya berhasil merentap emosi penonton.
Kemunculannya sentiasa dinanti-nantikan penonton. Sekecil-kecil kanak-kanak sehinggalah orang tua, semua mengagumi mutu lakonan Fauziah, 64, yang tidak pernah menghampakan.
Hampir lima dekad meniti jambatan seni, nama Fauziah sudah layak diabadikan sebagai legenda dan primadona. Begitupun sejak akhir-akhir ini, kemunculannya semakin berkurangan.
Karakter ibu tua kini ditampilkan dengan lebih urban, moden dan bergaya. Zaman berubah, mungkin selera penonton juga berubah. Memaksa stesen TV dan pihak produksi menggantikan muka-muka veteran seperti Fauziah dengan pelakon-pelakon wanita berusia lingkungan lewat 30-an dan awal 40-an.
Kejar rating
Khabarnya demi rating, stesen TV perlu akur dengan kehendak semasa. Benarkah pemain drama dan teater seperti Fauziah tidak lagi berdaya melariskan sesebuah karya? Sejauh mana populariti seseorang pelakon dan artis dapat melonjakkan rating serta memberi pulangan besar kepada stesen TV dan produksi?
“Aspek pemilihan pelakon perlu diajukan kepada stesen TV. Bagi saya, pemberian watak kepada pelapis baharu masa kini kurang bersesuaian. Saya tidak tersinggung cuma keliru.
“Rating kini dikatakan disumbangkan oleh pelakon berstatus popular, mengenepikan kualiti dan bakat pelakon tersebut. Saya sentiasa percaya bahawa kejayaan sesebuah karya masih terletak pada kekuatan jalan cerita dan keberkesanan lakonan barisan pelakon,” tegas Fauziah ketika ditemui Pepatung.
Tambahnya, drama-drama TV hari ini juga lebih menitikberatkan penampilan pelakon. Babak-babak di dalam rumah ditampilkan dengan pelakon lengkap berpakaian glamor. Begitu juga babak bangun tidur dengan wajah cantik bersolek.
“Bukan tidak boleh melaram bila berlakon, cuma perlu sesuai dengan keadaan. Kadang-kadang penampilan pelakon tidak logik dengan situasi, lokasi dan karakter mereka.
“Untuk menjual sesebuah karya juga, kita tidak semestinya bergantung kepada pelakon berparas rupa cantik dan kacak sahaja. Tidak dinafikan ia bonus, tetapi saya yakin bahawa pelakon dengan kecantikan dalaman akan lebih menyerlah.
“Bila kita menonton, kita bukan melihat diri sebenar pelakon itu. Kita mahu melihat karakter yang dibawakan pelakon tersebut. Kalau persembahan karakternya cantik, pelakon yang kurang tarikan fizikal pun akan kelihatan cantik,” sambung Fauziah yang menggemari lakonan Nadiya Nisaa, Shukri Yahaya, Izara Aishah, Zara Zya, Zarynn Min, Beto Kusyairy dan Pekin Ibrahim.
Kebanjiran drama adaptasi novel turut disedari Fauziah. Sebagai anak seni, dia mengakui bahawa novel sememangnya mempunyai pengaruh besar untuk memancing penonton. Bagaimanapun, kecetekan tahap berfikir dan kelemahan penyelidikan dalam kalangan penulis novel masa kini banyak mencalarkan imej karya yang dipersembahkan dalam bentuk drama atau filem.
Pelanggaran budaya dan agama banyak ditemui dalam novel-novel moden. Ia kemudiannya diambil pengarah dan stesen TV tanpa tapisan sensitiviti. Kesannya dapat dilihat pada drama-drama terbitan sekarang.
Pemerhatian Fauziah sebagai ‘otai’ industri turut tertumpu terhadap sikap pendatang baharu. Mengakui terdapat beberapa nama yang dilihat berpotensi untuk pergi lebih jauh, tetapi sebahagian besar pelakon muda seolah-olah menjadikan karier lakonan sebagai batu loncatan untuk meraih populariti.
Hanya bina jenama
“Bila di lokasi penggambaran, sibuk bermain telefon pintar dan bergambar. Telefon hanya diletakkan ketika berlakon. Kemudian, sambung semula bermain telefon.
“Belum lagi mengambil kira cara penyampaian skrip. Sebab itu pentingnya menghadiri sesi pembacaan skrip. Sesi tersebut diaturkan untuk semua pelakon saling mengenali watak dan perwatakan. Berbincang dialog apa yang perlu ditambah atau dibuang.
“Skrip bukan dibaca untuk kali pertama di lokasi penggambaran. Itupun ada yang meminta pembantu peribadi membacakan skrip untuk mereka. Adakah pembantu peribadi mereka yang berlakon?
“Sikap-sikap ini membuktikan bahawa mereka tidak respek diri, orang sekeliling dan profesion. Maaf saya katakan, segelintir daripada mereka menjadi pelakon kerana ingin membina jenama. Ramai bukan yang melancarkan jenama dan bergelar usahawan?” tajam tetapi berisi pendapat Fauziah.
Anak kelahiran Ipoh, Perak ini juga aktif menganjurkan kelas-kelas lakonan dan teater. Begitupun, tidak ramai pelakon baharu yang merasakan kepentingan untuk menghadiri kelas lakonan. Akibatnya terjadilah masalah ketika di lokasi penggambaran.
Pelakon yang tidak melakukan kajian watak akan gagal menyampaikan persembahan mengikut kehendak pengarah. Mengajar pelakon untuk berlakon di lokasi bukanlah tugas pengarah.
“Pergi ke kelas lakonan jika hendak gilap bakat dan kemahiran. Tanggungjawab sebagai pelakon adalah memenuhi permintaan pengarah, bukan sebaliknya,” Fauziah menasihatkan.