Mohd. Sufie Rashid, dalam usia 25 tahun sedang melakar fenomenanya sendiri. Selepas ditabalkan sebagai juara rancangan realiti nyanyian popular Akademi Fantasia 2015, Sufi kini berada di titik temu yang berat bebannya.

Risau andai tersalah langkah, tersadung menjadi pejuang muzik yang tumpas selepas dijulang gelaran juara. Katanya enggan!

3M4A3678c.jpg-c
TEKS: NIK AMRI NIK HASSAN () | FOTO: SHAKER HANAFI () | GRAFIK: OMAR BENJAMIN FAHMY () | SOLEKAN: RAZZI MUSA ()

Diajak berbicara perihal muzik dan peribadi, anak sulung daripada tiga beradik itu lebih banyak berhati-hati. Mungkin dalam kepalanya berputar sejuta satu musabab atas setiap jawapan. Selaku sang juara, penulis ajukan soalan serius berkenaan definisi muzik baginya.

“Music is emotion; perasaan dalam lagu itu boleh membangkitkan rasa gembira, sedih, marah dan sebagainya. Muzik adalah sesuatu yang boleh menemani kita apabila sunyi,” lentur katanya.

Lanjut bicara Sufi; “Senario muzik di Singapura dan Malaysia tidak banyak berbeza, cuma di Malaysia muzik mempunyai dimensi yang lebih meluas terutama daripada sudut genre manakala di Singapura tidak banyak genre yang boleh dicuba. Muzik di Malaysia lebih kepada elemen serius dan mengutamakan kesempurnaan dalam struktur lagu.”

Sufi menamakan beberapa figura terkenal tanah air sebagai ikon muziknya. Ikon yang diistilahkan Sufi sebagai individu yang telah dan sedang mencorakkan antusias dalam aliran muziknya.

“Inspirasi saya untuk berkarya dalam bidang muzik ialah komposer terkenal Edry KRU, Faizal Tahir, Datuk M. Nasir manakala jika diteliti daripada sudut nyanyian pula saya meminati vokal yang dimiliki oleh Hazama dan Datuk Sheila Majid.

“Jika diletakkan ikon antarabangsa, saya memilih Steven Tyler (Aerosmith) yang sememangnya mempunyai kekuatan vokal dan teknik nyanyian yang luar biasa. Saya pernah sekali berkesempatan menonton persembahannya dan ia benar-benar menakjubkan. Kalau boleh saya ingin memiliki kemahiran yang dia miliki sekarang,” tambahnya.

Sebelum selepas AF

Bagi yang tidak tahu perihal Sufi, penyanyi dari Singapura itu sebenarnya pernah memenangi Lagu Terbaik Singapura dalam Anugerah Planet Muzik 2014 menerusi single Tiada Pengganti. Pembabitan Sufi dalam arena muzik bermula selepas diumumkan menjadi naib juara dalam pertandingan nyanyian SG Mania dua tahun lalu.

3M4A3615c.jpg-c

“Sebelum menyertai Akademi Fantasia 2015, saya baru setahun bergelar penyanyi di Singapura. Apalah sangat usia setahun itu untuk belajar selok-belok dunia seni bukan. Menerusi Akademi Fantasia 2015 saya banyak belajar seni persembahan pentas, bermain instrumen muzik, teknik nyanyian dan vokal serta peluang mencipta lagu sendiri,” katanya yang kini sudah boleh menguasai alat muzik piano, gitar, bass dan perkusi.

Ujar Sufi, selepas memenangi Akademi Fantasia, perspektif hidupnya berubah secara total.

“Kalau dahulunya saya tidak dikenali langsung sekarang saya menjadi seseorang dalam industri di dua buah negara serentak! Kemana-mana saya pergi orang akan kenal.

“Perubahan ketara sekarang adalah cuba mengadaptasi kehidupan dan situasi baharu sebagai figura awam ini. Saya melihat industri seni ini besar dan sedar bahawa saya perlu mempersiapkan diri dengan lebih padu.

“Bagi saya untuk kekal dalam industri sekarang perlu rajin. Sebagai seorang artis, saya tidak boleh hanya bergantung pada syarikat rakaman semata-mata dan perlu boleh berdikari,” katanya.

3M4A3781c.jpg-c

Sufi kini sedang mempromosikan single Kisah Dua Muka yang dihasilkan daripada Akademi Fantasia 2015 di tiga buah negara iaitu Malaysia, Singapura dan Brunei.

“Istimewanya lagu Kisah Dua Muka kerana saya mencantumkan lapisan muzik menjadi klasik pop rock. Ia merupakan satu pembaharuan yang ingin saya ketengahkan dalam arus muzik perdana dan Alhamdulillah maklum balas yang diterima hari demi hari lain daripada lain,” jelas Sufi yang cenderung ke arah muzik balada.

Dalam perkembangan sama Sufi juga sedang merancang untuk membangunkan bisnes Ice Yolo yang sudah diusahakan bersama kenalan rapatnya di Singapura sejak tahun lalu.

Kontroversi

Menjadi figura awam sudah pasti tidak terlepas daripada gangguan peminat fanatik yang adakalanya bertindak melampaui batas. Bagaimanakah Sufi menangani perkara sedemikian?

“Setakat ini tiada gangguan serius yang datang kepada saya selepas bergelar penyanyi. Ramai yang mendekati tapi tiada yang ekstrem hingga mengganggu kehidupan peribadi saya. Pernah juga ada peminat yang sanggup menunggu di luar tandas semata-mata untuk bertemu dengan saya namun  saya sifatkan itu bukan satu gangguan yang serius,” tambahnya.

Ditanya tentang kisah kontroversi yang membabitkan bekas bapa tirinya suatu ketika dahulu yang kembali digembar-gemburkan tahun lalu, Sufi enggan mengulas lanjut dan menyerahkan kes itu kepada pihak berkuasa.

3M4A3567c.jpg-c

“Cerita lama usah diungkit. Memang, di mana-mana saja kita berada kita tidak dapat lari daripada kontroversi dan saya anggap itu sekadar cabaran. Caranya, atasi dengan sabar dan tabah. Asalkan tiada perkara yang menggangu kerjaya saya, maka saya abaikan sahaja cerita-cerita merepek. Seandainya ada kisah yang mengancam keselamatan saya mahupun keluarga, saya serahkan kepada pihak yang lebih arif untuk selesaikannya.

“Saya dipilih memasuki Akademi Fantasia 2015 pun bukan kerana kontroversi terdahulu. Saya buktikan keupayaan dan bakat yang ada dalam diri dan syukur orang ramai menerima kelebihan itu. Sepanjang berada di Akademi Fantasia pun saya langsung tidak ambil pusing tentang hal yang berlaku, tiada apa yang perlu saya takutkan pun!” simpul Sufi kemas.

KONGSI
Artikel sebelumnyaBusana klasik pesona asli gadis Melayu
Artikel seterusnyaMistik kerasukan dalam Munafik
Selepas lima tahun bersama akhbar berbahasa Melayu tempatan, penulis memanjangkan langkah dalam bidang rekaan fesyen bersama label peribadi. Kecintaan terhadap dunia penulisan dilanjutkan bersama Pepatung berbekalkan pengalaman skop hiburan, pelancongan dan biografi.

TINGGALKAN RESPONS