BERHARAP ia bukan ledakan sementara, kedua-duanya terus berkarya mengikut kehendak semasa. Mencipta fenomena menjulang nama, tidak salah jika mereka diangkat sebagai ikon generasi muda. Pertaruhan karya meskipun sedikit bertentangan budaya, ada sentimen nyata logik dihadam semua.
Tuah mereka usah disangkal. Rezeki dua anak muda ini juga jangan dipersoal. Mereka hadir selaku penghibur moden. Mendendangkan jenaka di pentas maya. Siapa sangka humor suka-suka itu bertukar menjadi kerjaya. Mengutip perhatian, menggunung sanjungan.
Mencecah kira-kira 500,000 pengikut di Instagram, dua raja media sosial tanah air ini kami pertemukan sempena edisi istimewa untuk komuniti dalam talian (online). Ia merupakan kali pertama Ucop bersemuka dengan Faizdickie. Masing-masing membawa aura dan pesona tersendiri. Cuma kedua-duanya sedikitpun tidak canggung menjadi diri sendiri.
Ucop yang anda lihat ‘gila-gila’ karakternya di media sosial, secara realitinya tidak banyak beza. Sedikit pendiam pada awal perkenalan tetapi berubah mesra dan murah senyuman selepas mula rasa selesa dengan persekitaran.
Pandangannya tentang Faizdickie: “Dia seorang individu bijak kerana dia tahu apa yang diinginkan daripada media sosial. Walaupun saya tidak mengetahui strategi sebenarnya, sebagai salah seorang yang lahir daripada media sosial, saya mengagumi perancangannya bagi mengembangkan identiti Faizdickie. Dia tahu bagaimana untuk mengekalkan pengaruh di media sosial dan ideanya menganjurkan Bazaar Lepak #villagepeople itu sangat bernas.”
Ucop atau nama sebenarnya, Yusof Hashim membina jenama dalam tempoh kurang setahun. Aplikasi dubsmash menjadi pelancar populariti sehingga memungkinkan peluang-peluang besar bergolek kepadanya.
Penari freelance dan pernah menjadi DJ radio selama tiga bulan, Ucop, 21, mengibaratkan pencapaiannya kini sebagai sebuah mimpi. Cuma keindahan itu nyata, dapat didakap dan dirasa serta melarutkan kemanisan tidak terperi.
Baru merangkul dua anugerah; Lifestyle Influencer dan Breakout Influencer of the Year pada 2015 yang merupakan majlis penganugerahan media sosial terbesar Asia di Singapura, Ucop berasa seperti terbang di angkasa apabila rezeki kemenangan berpihak kepadanya.
“Orang Malaysia bergantung kepada trend. Dahulu ketika Keek popular, semua orang mahu bervideo, kemudian muncul dubsmash, ramai pula buat video dengan cara lip-synced, termasuklah saya.
“Sejak awal saya tahu dubsmash itu aplikasi bermusim, sampai masa minat orang terhadapnya akan surut. Saya akan tetap memuat naik video baharu tetapi bergantung pada kelapangan waktu.
“Sekarang inipun terdapat klien yang mahu mempromosikan perniagaan mereka meminta saya menggunakan pendekatan menerusi video dubsmash. Jadi apabila ia melibatkan kerja, saya akan buat,” kongsi Ucop yang berasal dari Kuala Lumpur.
Bertekad untuk mengekalkan kedudukannya dalam radar perhatian masyarakat, Ucop sedang menyusun perancangan bagi memastikan penangannya tidak bersifat sementara. Tahun depan, Ucop akan membuka akaun rasmi YouTube bagi memuat naik video-video miming dan tarian agar pengikutnya tidak terhenti setakat di Instagram.
Anak tari
Permintaan tinggi bagi menghasilkan video tarian juga mendorong Ucop untuk memuat naik sekurang-kurangnya satu video dalam sebulan. Niatnya adalah bagi membantu mengetengahkan bakat-bakat tarian tempatan yang selama ini kurang diberi perhatian serius berbanding bidang lakonan dan nyanyian.
“Benar masih wujud tanggapan bahawa tarian merupakan cabang seni kelas kedua. Sistem hierarki ini adalah ciptaan kita sendiri sedangkan di luar negara kita dapat melihat betapa tinggi martabat tarian dijulang, misalnya di Amerika Syarikat dan Korea.
“Sebagai anak tari, tanggungjawab saya adalah untuk sama-sama mengubah persepsi tersebut. Sudah tentu saya ingin ia dihargai setara dengan bidang seni lain; lakonan, nyanyian dan muzik. Tarian juga antara elemen penting dalam sesebuah persembahan. Ia bukanlah hal mustahil untuk dicapai kerana buktinya dapat disaksikan di luar negara,” tambah Ucop bersemangat.
Sebelum dikenali di media sosial, Ucop telah bergiat aktif dalam lapangan seni sejak belasan tahun. Pentas adalah rumah keduanya kerana sering terlibat dalam produksi teater dan tarian berskala besar.
“Maka apabila berhasil membentuk pengikut sendiri di media sosial, saya ambil peluang itu untuk ketengahkan kerja-kerja yang selama ini menjadi darah daging saya. Dengan cara ini jenama Ucop tidak hanya terhad terhadap dubsmash semata-mata, malah dapat dikembangkan ke dalam visual berbeza,” jelasnya.
Meminati sesuatu yang teatrikal, Ucop kini telah mengembangkan sayap seninya dalam dunia lakonan. Telemovie Dua arahan Nizam Zakaria menjadi pertaruhan pertama Ucop di layar televisyen (TV).
“Menari merupakan minat terbesar saya. Tidak bermaksud saya mula berlakon, bidang tarian akan dipinggirkan. Sejujurnya saya belum menentukan apa yang ingin dilakukan untuk tempoh jangka panjang. Sekarang saya dalam proses pembelajaran, masih mengenal pasti kelebihan, sama ada lakonan mahupun tarian.
“Memilih untuk menjadi pelakon atau penari profesional itu subjektif. Tahap profesionalisme itu dinilai oleh mata umum,” sambung Ucop yang belum memasang niat untuk menyambung pengajian kerana sedang dahaga untuk berkarya.
Menakluk media sosial membuahkan pelbagai kelebihan kepada Ucop. Bagaimanapun tetap terselit cela-cela yang tidak diketaui orang. Karya (video) terutamanya, bukan lagi milik peribadi, sebaliknya hak perkongsian komuniti online. Jika dibuang daripada akaun asal sekalipun, salinannya mungkin telah dimuat turun dan dikongsikan pengguna media sosial lain.
Begitu juga tanggapan masyarakat terhadap jenaka Ucop. Segelintir menganggap ia keterlaluan tambahan pula melakonkan watak-watak dengan mengenakan pakaian perempuan. Semakin lama, semakin tebal kesabaran Ucop untuk tidak mengendahkan teguran-teguran kasar bersifat menjatuhkan.
Ironinya, kejayaan Ucop dan Faizdickie mengumpul peminat sendiri di media sosial telah mencetuskan trend baharu. Kian ramai pengguna media sosial tempatan menghasilkan video berbentuk parodi yang menjadi hiburan popular dalam kalangan komuniti maya.
Bahkan ada dilihat ‘terlalu mencuba’ dan seolah-olah sengaja mengejar populariti singkat tanpa memikirkan impak jangka panjang. Ramuan karya viral itu bukanlah semata-mata mencipta imej membadutkan diri. Ia perlu ditampung kreativiti dan memiliki pengertian untuk dijadikan peringatan kepada pengguna media sosial lain.
“Tidak kisahlah apapun karya yang kita hasilkan di media sosial, buatlah dengan ikhlas. Kalau niat asal mahu menjadi viral dan mengejar glamor, ia pasti akan kelihatan seperti dibuat-buat. Setiap karya itu mewakili personaliti individu itu sendiri.
“Maka jadilah diri sendiri apabila berkarya. Bukan sahaja di media sosial, malah dunia realiti juga menitikberatkan realisme dalam setiap perkara yang kita kerjakan. Sama ada anda melawak, memasak atau menari, segalanya perlu didasari kejujuran,” pesan Ucop.
Bazaar Lepak #villagepeople
Mohd. Nasrul Faiz Abu Azal atau Faizdickie (Faiz) pula bertanggapan, tiada yang salah apabila ada pengguna media sosial yang ‘terlalu mencuba’ apabila menghasilkan karya berbentuk video, foto atau audio. Selagi niat untuk menghiburkan orang, mengapa perlu berasa terkesan dengan kritikan orang lain?
“Terpulang kepada pengguna media sosial untuk menilai sesebuah perkongsian itu sebagai berlebihan atau tidak. Ia bergantung kepada persepsi individu. Cuma kalau boleh video atau apapun karya yang dibuat itu bukanlah setakat membodohkan diri atau untuk gelak kosong, selitkan mesej dan pengetahuan bermanfaat untuk renungan ramai,” Faiz mengupas pendapat.
Dua tahun yang cemerlang buat Faiz. Semenjak namanya melonjak, bertali arus rezeki bertandang dari segenap segi. Bermula daripada media sosial, penciptaan komuniti #villagepeople pula semakin hampir direalisasikan di alam sebenar. Bazaar Lepak #villagepeople pada 19 dan 20 Disember 2015 bakal mencipta sejarah manis kepada seluruh komuniti cetusan Faiz itu.
Itulah antara inisiatif Faiz bagi memberi peluang kepada para pengikutnya untuk merapati individu sebenar di sebalik karakter Kak Leha Bunting, Naabella, Sarabanon, Cik Yam, Qais Wildan, Nurse Puaka dan beberapa lagi watak rekaannya.
Platform suai kenal bersama para pengikut itu turut dijadikan latihan menjinakkan diri dalam dunia keusahawanan. Dianggarkan kira-kira 95 peratus (setakat artikel ini ditulis) tapak jualan (booth) telah dijual. Jika sambutan baik diraih pada dua hari tersebut, Faiz merancang untuk menjalankan road tour acara tersebut di lokasi-lokasi lain di seluruh Malaysia.
Pada Bazaar Lepak #villagepeople yang akan berlangsung di Dewan Raja Muda Musa (DRMM), Seksyen 7, Shah Alam, Selangor kelak, buku #villagepeople terbitan DuBook Press (DuBook) juga akan dilancarkan. Istimewanya, setiap 250 karya Faiz dalam buku kompilasi itu turut dilengkapi kod QR.
“Ia mungkin antara buku pertama tempatan yang dilengkapi ciri sebegitu. Pembaca hanya perlu mengimbas kod tersebut menggunakan telefon pintar atau gajet masing-masing dan ia akan membawa anda terus ke video komik tersebut di dalam Instagram saya.
“Sejak melanjutkan pengajian di United Kingdom (UK) lagi pihak DuBook telah menawarkan peluang ini dan hanya selepas kembali ke tanah air ia dapat diusahakan. Sebanyak 5,000 salinan dicetak untuk jilid pertama ini dan InsyaAllah jilid kedua akan menyusul.
“Istimewa di Bazaar Lepak #villagepeople, buku ini boleh dibeli pada harga RM20 sahaja. Jika di kedai-kedai buku utama dan online, ia dijual pada harga pasaran iaitu RM25.
“Saya dedikasikan buku ini kepada seluruh warga #villagepeople. Selama ini mereka hanya dapat menonton video, komik dan membaca kapsyen saya di Instagram. Namun dengan adanya buku ini, mereka boleh simpan dan jadikannya sebagai kenangan.
“Jangan bimbang, gaya bahasa dalam buku ini tetap sama seperti yang anda baca di Instagram. Sama ada ayat dalam komik ataupun kapsyen yang mengiringi, tiada satupun perkataan diubah bagi memberikan kesantaian kepada para pembaca,” kongsi Faiz yang dalam proses mendaftarkan tanda perniagaan (trademark) ke atas jenama/terma #villagepeople.
Nurse Puaka
Dua minggu lagi 2015 akan berlabuh, menyinsing 2016 tanda permulaan baharu. Tahun demi tahun, Faiz berterusan menghiburkan pengguna media sosial. Tugasnya sebagai penglipur lara belum menunjukkan tanda-tanda akan terhenti. Bertahan selama dua tahun cukup menjadi bukti bahawa dia bukan sensasi pengisi cerita bermusim.
Idea dalam setiap karyanya segar, direka mengikut perkembangan isu semasa agar masyarakat tidak jemu dan dapat menikmati hiburan berinformatif secara percuma. Kaedah itulah yang membuatkan Faiz terus relevan sebagai idola media sosial tempatan.
Terdapat juga permintaan ramai agar Faiz mengembangkan nama dalam dunia hiburan arus perdana seperti berlakon. Bukan tidak mahu tetapi Faiz, 27, enggan nilai eksklusif itu lenyap apabila kelibatnya kerap muncul di kaca TV. Hanya tawaran tertentu dipertimbangkan dan dipersetujui.
“Lagipun saya sedar bahawa populariti itu bukanlah selamanya. Maka saya persiapkan diri dengan pelbagai kemahiran. Hasil pembelajaran dalam bidang pemasaran dan pengiklanan saya gunakan bagi bertatih dalam dunia perniagaan.
“Mungkin ada pengikut tidak suka apabila saya mula memuat naik komik atau video berbentuk iklan. Memang niat asal dahulu untuk menghiburkan orang tetapi apabila permintaan semakin bertambah, ia berubah menjadi sebuah pekerjaan.
“Tidak salah saya jadikan ia satu medan bagi menjana pendapatan memandangkan banyak masa saya luangkan bagi menghasilkan setiap karya yang orang tengok di Instagram. Bagaimanapun jangan anggap keutamaan saya telah berubah, fokus Faizdickie masih terhadap menceriakan orang,” luah anak Selayang, Selangor ini yang kini mempunyai seramai 547,000 pengikut di Instagram.
Tarikan karya Faiz didukung watak-watak ikonik sehingga setiap daripadanya mempunyai pengikut masing-masing. Nurse Puaka antara karakter awal dicipta Faiz tetapi jarang diselitkan terutama dalam video. Tahun depan, Faiz berhasrat untuk menghidupkan watak itu dan memaparkannya dengan lebih kerap, dengan syarat; dia perlu mendapatkan kostum jururawat terlebih dahulu.
Faiz juga kini aktif memenuhi undangan majlis-majlis perkongsian ilmu dan motivasi. Selain dapat berkongsi pengalaman dan menginspirasi orang, ia juga menjadi satu cara baginya mendekatkan diri dengan para pengikut.
Tentang karier sebagai pensyarah, Faiz tidak menolak kemungkinan untuk menyertai keluarga pendidik. Sejak dahulu dia bercita-cita bergelar pensyarah, cuma kekangan masa menyulitkannya memilih untuk mengajar secara sepenuh masa. Tidak mustahil dia akan memohon sebagai pensyarah separuh masa.
“Perancangan itu banyak tetapi buat masa sekarang saya perlu fokus dengan apa yang sedang dikerjakan. Apa yang saya jalani sekarang juga adalah pilihan sendiri dan saya menyenangi kehidupan sekarang.
“Kerinduan terhadap dunia kewartawanan itu kadang-kadang timbul juga apabila membaca surat khabar. Namun saya masih menulis (kapsyen panjang di Instagram), jadi sedikit sebanyak kemahiran menulis itu dapat diteruskan,” ujarnya yang pernah berkhidmat bersama sebuah akhbar kompak berbahasa Melayu tempatan sebagai wartawan sebelum melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana di UK.
Pandangannya tentang Ucop: “Ramai menganggap video dubsmash mudah dihasilkan sedangkan sebenarnya ia sangat susah. Lihat sahaja video-video dubsmash Ucop, dia hasilkan dengan usaha yang tinggi. Bukan video sekadar melepaskan batuk di tangga, malah disertai kesungguhan dan kemahiran. Skilnya menggerakkan bibir (lip-synced) juga hebat.”
INDAH nya susun bahasa di 3 para pertama. Kagum!