Lima perpustakaan menakjubkan di dunia

0
63

WALAUPUN kita berada di era digital, masyarakat hari ini masih menggunakan buku atau bahan bercetak sebagai manual dan sumber maklumat.

Tidak salah jika ketika merantau ke negara orang, ringankan kaki untuk melangkah ke perpustakaan setempat. Kita pasti akan mendapat ilmu baharu dengan bahan bacaan yang tidak terdapat di Malaysia.

Berikut merupakan lima perpustakaan menakjubkan di seluruh dunia.

 

1) Perpustakaan Congress

Perpustakaan ini ditubuhkan oleh John Adams pada tahun 1800 di Washington, Amerika Syarikat. Ia merupakan perpustakaan terbesar di dunia. Terdapat 164 juta bahan bacaan disediakan di kesemua rak buku yang berkeluasan kira-kira 1,348 kilometer.

FOTO / WIKIPEDIA

 

2) Perpustakaan Diraja Portugis

Terletak di Rio de Janeiro, Brazil, perpustakaan ini merupakan sumber bacaan dan manuskrip Portugis yang terletak di luar Portugal. Dibuka pada tahun 1887 oleh tiga pendatang Portugis di Brazil yang baru mengecap kemerdekaan.

Sebelum itu, Brazil merupakan sebahagian jajahan Portugal sejak 1500.

Dikhabarkan bahawa, sumber-sumber manuskrip dari istana Melaka juga tersimpan di sini. Namun, sehingga kini ia kekal misteri.

Reka bentuk dalaman perpustakaan ini dipengaruhi seni bina Gothic-Renaissance yang sangat popular ketika itu. Kini, koleksi bahan bacaan dan rujukan di perpustakaan ini mencecah 400,000 judul.

FOTO / MATEMOLIVARES

 

3) Perpustakaan Beinecke Rare Book & Manuscript

Berwajah moden dan urban, perpustakaan ini terletak di Universiti Yale, Connecticut, Amerika Syarikat. Dibuka pada tahun 1963 dengan seni bina rakaan arkitek Gordon Bunshaft, perpustakaan ini antara perpustakaan yang terbesar di dunia.

FOTO / REDDIT

 

4) Perpustakaan Kolej Triniti

Perpustakaan ini digunakan oleh para pelajar Kolej Triniti dan Universiti Dublin, Ireland. Ia juga merupakan gedung ilmu terbesar di Ireland.

Direka oleh arkitek, Thomas Burgh, perpustakaan ini kini menghimpunkan lebih enam juta naskhah bercetak terdiri daripada jurnal, manuskrip, peta dan muzik sepanjang pembangunan akademik untuk tempoh 400 tahun.

FOTO / BOREDPANDA

 

5) Perpustakaan Awam Stuttgart

Perpustakaan yang menampilkan warna putih sebagai tema ini menjadi pusat rujukan di Stuttgart, Jerman. Direka oleh arkitek Eun Young Yi, perpustakaan ini menjadi lambang urbanisasi penduduk Jerman kerana reka bentuknya yang unik.

FOTO / TOTEMS PROPAGANDA

TINGGALKAN RESPONS