MENGHARUNGI ombak dan badai ketika menunaikan ibadat haji suatu ketika dahulu sungguh menginspirasikan. Seawal abad ke-15, telah wujud jemaah-jemaah haji yang bermusafir ke Mekah menggunakan kapal layar.
Detik perpisahan sebelum menaiki kapal pasti menerbitkan suasana sebak sehingga para penumpang dan ahli keluarga menitiskan air mata.
Ketika itu, nasib para jemaah yang pergi masih sukar diketahui perkembangannya. Mungkin kapal akan karam akibat ribut taufan atau meninggal dunia kerana wabak penyakit.
Jenazah jemaah yang terkorban di atas kapal semasa perjalanan pergi atau pulang akan disemadikan di laut sahaja.
Kapal Mendam Berahi dan Subulus Salam adalah antara kapal yang pernah membawa jemaah haji. Perjalanan mereka memakan masa berbulan-bulan. Tidak seperti sekarang, yang hanya memakan masa sekitar lapan hingga sembilan jam untuk sampai ke Jeddah, Mekah atau Madinah.
Semua lapisan umur, tua, muda, perempuan dan lelaki, bersesak-sesak di atas kapal dan antara risiko yang terpaksa dihadapi adalah terjangkit wabak penyakit.
Suatu ketika dahulu, untuk seseorang yang ingin mengerjakan haji, mereka perlu berurusan dengan ejen-ejen yang dikenali sebagai Sheikh Haji yang juga bertanggungjawab menguruskan penginapan hotel di sana.
Pada tahun 1936, syarikat Blue Funnel Line bekerjasama dengan Pejabat Hal Ehwal Haji untuk membawa jemaah menggunakan 21 buah kapal laut.
Namun pada tahun 1951 sehingga 1952, urusan tersebut telah dipindahkan kepada syarikat kapal laut China Navigation Line bernama Anshun dan Anking.
FOTO/
FOTO/
Harga tambang juga bergantung kepada jemaah mengikut perbezaan kelas. Untuk tambang kelas 1, bayaran adalah sekitar RM1,150; mempunyai satu bilik untuk dua orang di tingkat satu, kelas 2 pula berharga RM1,063; mempunyai satu bilik dan mampu memuatkan empat orang, manakala penumpang kelas 3 membayar RM941 untuk kamar berkonsep dormitori (dorm).
Sebelum Lembaga Tabung Haji ditubuhkan, sebahagian bakal jemaah terpaksa menggadaikan tanah, harta dan haiwan ternakan bagi membiayai tambang perjalanan serta menampung kos perbelanjaan sepanjang mengerjakan haji.
Selepas beberapa tahun, Perbadanan Wang Simpanan Bakal-Bakal Haji (PWSBH) ditubuhkan. Ia bertujuan untuk menguruskan kewangan dan simpanan bakal-bakal jemaah supaya mereka tidak perlu lagi menggadai harta benda dan sebagainya.
FOTO/
FOTO/
Ketika itu, PWSBH menggunakan tiga jenis kapal laut untuk membawa para jemaah. Kapal-kapal tersebut terdiri daripada Malaysia Kita, Kuala Lumpur dan Malaysia Baru/Ratu Timur yang boleh memuatkan sekitar 2,000 penumpang dalam satu-satu masa.
Akhirnya, bagi melicinkan lagi pengurusan jemaah, Pejabat Hal Ehwal Haji telah bekerjasama dengan PWSBH yang membawa kepada penubuhan Lembaga Urusan Tabung Haji (LUTH) pada 1969 sebelum ditukar kepada Lembaga Tabung Haji pada 28 Ogos 1997 dengan menggunakan singkatan TH.
Pencapaian cemerlang TH turut meraih pengiktirafan dan pujian kerajaan Arab Saudi sekali gus menjadi agensi pengurusan haji terbaik di dunia.
FOTO/
FOTO/
Peredaran zaman turut menyaksikan perubahan corak perjalanan jemaah haji. Bermula dengan kapal layar, kemudiannya kapal wap sehinggalah kini para jemaah hanya menaiki pesawat dari Kuala Lumpur ke Arab Saudi untuk tempoh yang singkat.
Jemaah juga sentiasa dipantau dan dijaga kebajikan sepanjang mengerjakan ibadat. Kecanggihan teknologi masa kini dengan kehadiran aplikasi seperti Whatsapps, Telegram, Wechat dan sebagainya juga memudahkan para jemaah berhubung dengan keluarga di Malaysia.