Gondola31 hab fesyen moden Ipoh

1
387

MENYUSUR perjalanan pertama kali di persekitaran Bandar Meru Raya, Ipoh membuatkan perasaan berasa sedikit asing. Sudah terbiasa disaji pemandangan neoklasik pusat bandar Ipoh sehinggakan kawasan baru dimajukan itu tampak berbeza berbanding imej signatur Ipoh.

Selain Terminal Amanjaya, stesen bas utama Ipoh, Bandar Meru Raya juga menempatkan pejabat-pejabat kerajaan yang dipindahkan dari pusat bandar. Secara amnya, bandar tersebut merupakan bandar terancang bersistematik yang bakal menjadi satu destinasi pesat Perak Darul Ridzuan.

Taman Tema Animasi (MAPS), yang pertama di Asia juga sedang dalam pembinaan dan dijangka bakal dibuka menjelang pertengahan tahun ini.

Segalanya tentang Bandar Meru Raya masih samar. Tidak ramai yang jelas tentang tarikan bandar serba moden ini dan mengapa ia lokasi praktikal untuk disinggahi warga Perak (dan orang utara)?

Akses beli-belah! Ya inilah antara sebab kenapa orang Perak perlu menjadikan Bandar Meru Raya sebagai tempat berbelanja.

Keletihan dan kebosanan bersesak di pusat beli-belah yang sama sedikit sebanyak membantutkan perkembangan trend semasa di Perak. Jika hendak ke Kuala Lumpur, terpaksa pula merentasi perjalanan sehingga dua jam.

Gondola.jpg-c

Maka atas dorongan memberikan kepelbagaian barangan dan jenama kepada warga Ipoh, terbinalah Gondola31. Butik vendor yang mula beroperasi November tahun lalu itu kini meniti di bibir ramai orang selaku hab fesyen paling bervariasi di seluruh Perak.

Selepas kira-kira enam bulan dibuka kepada umum, Gondola31 berjaya menarik kunjungan luar biasa daripada masyarakat setempat. Bukan sahaja warga Perak, malah ada pelanggan yang datang dari Taiping, Kuala Kangsar, Sungai Siput, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur kerana lokasinya yang strategik (bersebelahan Lebuh Raya Utara Selatan), kelancaran trafik persekitaran dan keramahan para pekerjanya.

Maklum balas positif di luar jangkaan terhadap Gondola31 sememangnya mengejutkan dua pengasasnya, Nizam Baharudin dan Norazura Md. Posdzi yang juga merupakan anak jati Perak.

Berikutan alternatif pembelian dalam talian (online) di Perak masih belum mencapai paras optimum, Nizam dan Norazura memilih untuk menggabungkan medium promosi moden dan tradisional agar capaiannya lebih menyeluruh.

“Butik berkonsep vendor lain banyak bergantung terhadap promosi menerusi Facebook dan Instagram. Kami pula tetap menggunakan khidmat stesen radio dan akhbar setempat bagi menggandakan penghebahan tentang kewujudan Gondola31.

IMG-20151127-WA0065.jpg-c

“Memasuki bulan kedua operasi, kesedaran orang tentang Gondola31 masih belum meluas. Maka kami teruskan dengan kempen di radio, memasang bunting dan mengedar flyer di seluruh Ipoh,” jelas Nizam ketika ditemui Pepatung di Gondola31 baru-baru ini.

Sekelip mata Gondola31 menjadi bualan warga Ipoh dan strategi kombinasi pemasaran yang berhasil telah mencipta landskap cita rasa pembelian baharu dalam kalangan pengguna Ipoh dan sekali gus Perak secara keseluruhan.

Kebanyakan butik vendor sedia ada di Ipoh mengumpulkan jenama lokal yang berada di sekitar Ipoh sahaja. Di Bandar Meru Raya sahaja terdapat empat dan lebih 10 butik vendor di seluruh Ipoh termasuk Gondola31. Namun dari segi himpunan jenama, Gondola31 adalah butik vendor di Perak pertama berjaya menyatukan label-label tempatan ternama dari seluruh Malaysia.

“Kekurangan kepelbagaian barangan memaksa orang Ipoh untuk berpuas hati dengan penawaran sedia ada. Sebagai individu yang dilahir dan dibesarkan di negeri ini, saya dan Norazura berasa terpanggil untuk menyediakan sebuah ruangan beli-belah yang komprehensif  kepada penduduk di sini,” sambung Nizam yang berpengalaman dalam bidang pemasaran.

Momentum

Sebagai pendatang baharu dalam lapangan butik vendor, tidak dinafikan wujud saingan dan budaya ‘copy paste‘ dalam kalangan para usahawan. Memandangkan konsep butik vendor semakin meluas dalam dunia perniagaan tempatan, maka sangat penting untuk setiap pengendali bisnes berbentuk ini untuk sentiasa melancarkan idea-idea baharu bagi menjaga kesetiaan para vendor.

Di Gondola31, jangkaan terhadap persaingan memang telah diramal dan ia dianggap sebagai lumrah dalam perniagaan. Bagi mencipta fenomena kejayaan, setiap usahawan perlu melalui setiap fasa cabaran serta fokus dengan misi perniagaan.

IMG_6733.jpg-c

Skil khidmat pelanggan yang dilatih dalam diri setiap staf menjadi kekuatan hab fesyen terkini Ipoh ini. Layanan staf memainkan peranan penting dalam membentuk kelompok pelanggan setia. Malah ada pelanggan yang memohon untuk berurusan dengan staf-staf pilihan mereka sahaja setiap kali berbelanja di Gondola31.

Begitu juga promosi yang tidak pernah dihentikan. Setiap bulan pasti pasukan Gondola31 akan tampil bersama taktik promosi baharu agar kewujudannya diketahui lebih ramai. Konsistensi promosi dapat dilihat setiap bulan dan ia giat menganjurkan pelbagai acara bagi mendekatkan hubungan sesama pelanggan.

“Sejujurnya untuk kekal dalam apapun perniagaan, kita perlu kekal merendah diri dan belajar dari kesilapan sendiri serta kekurangan pesaing,” dedah Nizam.

Begitu juga aspek kesamarataan sesama vendor. Mungkin ada dalam kalangan vendor pernah berasa kecil hati dengan pengurusan beberapa butik vendor yang adakalanya bersikap ‘pilih bulu’. Bagaimanapun hal itu tidak terjadi di Gondola31 yang melayan setiap vendor sama rata.

IMG_4211.jpg-c

“Semua jenama di bawah bumbung Gondola31 menikmati keistimewaan serupa. Tidak bermakna jenama anda popular, anda akan menerima promosi ekstra.

“Terdapat jenama kecil dan masih baharu di Gondola31 dan kami memberikan mereka ruang dan peluang sama seperti vendor lain. Di sini kami mahu semua vendor saling bantu-membantu menaikkan nama masing-masing agar Gondola31 dapat terus menggandakan gerak kerja promosi,” tegas Nizam.

Pelan jangka panjang

Kepesatan butik-butik vendor membangun bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan adakalanya mengundang banyak pertanyaan. Mampukan ia bertahan untuk tempoh panjang atau adakah ia sekadar tarikan bermusim?

Dalam konteks Gondola31, jawapan terdapat pada cogankata yang menjadi simbolik perniagaannya; ‘exclusively under one roof‘ yang bermaksud eksklusif di bawah satu bumbung.

Gondola31 bukanlah butik vendor yang memfokuskan terhadap fesyen muslimah semata-mata. Ia juga tidak mengehadkan pasaran terhadap pelanggan berbangsa Melayu sahaja.

IMG_6478.jpg-c

“Gondola31 bukan pusat sehenti fesyen muslimah. Jadi tidak wajar timbul isu pakaian di sini ada yang tidak menepati syariah atau sebaliknya.

“Fokus kami adalah untuk memberi kepelbagaian kepada pelanggan. Mungkin anda mencari satu produk tetapi apabila tiba di sini, anda akan menemui 70 pilihan produk yang lain.

“Situasi ini benar-benar terjadi apabila pelanggan datang untuk membeli barangan daripada satu jenama. Setibanya di Gondola31 dia turut membeli barangan jenama lain.

“Gondola31 sangat terbuka menerima jenama yang menjual baju-T lelaki, pakaian kanak-kanak ataupun pakaian kasual wanita. Hasrat kami adalah untuk membolehkan pelanggan mendapat semua barangan keinginan mereka di bawah satu bumbung,” jelas Nizam panjang lebar.

Peluasan

Kini terdapat 68 vendor menghuni di dalam ruangan dua tingkat Gondola31. Selain menikmati promosi 101 peratus secara percuma, setakat ini Gondola31 masih tidak mengambil sebarang peratusan keuntungan daripada jualan vendor. Pendapatan yang diraih adalah 100 peratus daripada kutipan sewa bulanan setiap vendor.

“Berbekalan duit sewa itulah kami laburkan untuk pemasaran dan promosi. Kami tidak mengecaj vendor untuk promosi dan ia dikeluarkan terus dari poket kami.

IMG_4114.jpg-c

“Mujur majoriti vendor di Gondola31 bersifat ringan tulang dan mempunyai semangat sahabat perniagaan yang tinggi sekali gus melancarkan pengurusan kami,” kongsi Nizam yang menyasarkan untuk menerima kemasukan sehingga 100 vendor.

Bakal memulakan kerja-kerja pembesaran, aras tiga dan empat Gondola31 akan menjalani pengubahsuaian dan dijangka siap sepenuhnya hujung tahun ini.

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang promosi dan jenama di bawah Gondola31, ikuti Facebook dan Instagram Gondola31.

Info Gondola31:
Alamat: No.31-g, Jalan Meru Bestari B9, Bandar Meru Raya, 30020 Ipoh, Perak
E-mel: info.g
Facebook:
Instagram:

KONGSI
Artikel sebelumnyaSeperti Magic Shae
Artikel seterusnyaAntara beradab dan biadap
Memulakan kerjaya penulisan sebagai wartawan di sebuah akhbar berbahasa Melayu tempatan dan berkhidmat selama empat tahun sebelum menyertai Pepatung sepenuh masa. Berpengalaman dalam penulisan rencana terutama berkenaan gaya hidup, profil, minat ramai, isu semasa, fesyen dan hiburan.

1 KOMENTAR

  1. Salam.

    Saya ingin jadi salah satu vendor. Bagaimana caranya…
    Perniagaan pakaian kanak kanak moden

    Balas

TINGGALKAN RESPONS