KEKEJANGAN otot pada waktu malam bagaikan mimpi ngeri. Ia mampu mengejutkan diri yang sedang lena dibuai mimpi.
Penguncupan atau tekanan juga mampu berlaku di kaki atau otot. Kekejangan sebegitu kebiasaannya berlaku selama beberapa minit. Walaupun rasa sakit itu akan hilang, tetapi sengalnya mengambil masa untuk hilang.
Setiap individu berpotensi untuk mendapat kekejangan otot. Ia juga tidak terbatas kepada sesetengah individu sahaja. Sama ada warga emas, dewasa dan termasuklah remaja, semuanya terdedah terhadap serangan tersebut.
Kekejangan otot juga sering menyerang golongan remaja dan mereka yang selalu bersenam pada waktu malam.
Menurut kajian, terdapat pelbagai faktor yang memungkinkan berlakunya kekejangan otot.
1 . Dehidrasi
Air meliputi 75 peratus tubuh dan kekurangan air dalam badan akan membuatkan otot-otot tidak relaks.
Justeru, jika air masak tidak diminum dengan cukup setiap sehari, anda mungkin akan mengalami kekejangan otot.
Tanpa air yang cukup, nutrien yang penting akan menyebabkan ketidakseimbangan elektroluk (potasium, magnesium, kalsium dan sodium).
2 . Kekurangan nutrien
Apabila mineral elektroluk tidak seimbang, ia akan menjurus kepada kekejangan otot.
Mineral-mineral tersebut sangat penting kerana ia akan membantu otot relaks. Sodium misalnya, penting untuk memastikan cecair di dalam badan seimbang .
Potasium bersama-sama sodium dan klorida pula akan menjana rangsangan elektrikal di dalam otot dan saraf.
Vitamin B12 juga boleh diambil sebagai makanan tambahan untuk memastikan otot-otot dalam keadaan sihat.
3 . Berdiri terlalu lama
Berdiri dengan terlalu lama serta memakai kasut tinggi juga boleh menyebabkan kekejangan otot berlaku.
Menurut sebuah kajian yang dibuat pada tahun 2012, berdiri terlalu lama boleh menyebabkan kerosakan pada saluran darah serta kekejangan otot.
Selain itu, duduk dan tidur dengan meletak kaki dalam keadaan tidak selesa juga boleh menyumbang kepada faktor kekejangan otot.
4 . Kehamilan
Wanita yang sarat mengandung juga biasa mendapat serangan kekejangan otot pada waktu malam.
Fasa tersebut kebiasaannya bermula dengan sakit biasa sehingga rasa sakit yang tidak tertahan.
Ini berlaku kerana tekanan pada uterus pada sesetengah salur darah lantas membantutkan carta aliran darah pada kaki.
5 . Pengambilan alkohol
Dengan mengambil alkohol secara berlebihan, boleh menyebabkan kerosakan saraf sekali gus memberi kesan kepada otot.
Alkohol mempunyai kesan diuretic, maka dengan meminum secara berlebihan, akan menyebabkan dehidrasi.
Ia juga menyebabkan peningkatan asid laktik yang menjurus kepada terjadinya kekejangan otot.
Cara-cara untuk mengatasinya
1 . Minum air masak dengan banyak untuk mengelakkan dehidrasi.
2 . Meminum air isotonik juga dapat mengurangkan faktor tersebut.
3 . Elakkan pengambilan alkohol, kopi, dan minuman ringan kerana akan menjurus kepada peningkatan risiko kekejangan otot.
4 . Sentiasa pergi berurut untuk melegakan sakit.
5 . Sentiasa membuat regangan setiap otot selama 10 hingga 15 minit.
6 . Menambahkan magnesium dalam diet seharian, misalnya makan lebih kekacang.
7 . Makan lebih makanan seperti buah kurma, pisang, anggur, sayur brokoli, ikan, kambing, buah oren, sayur kobis, dan aprikot.