Mendalami dunia belon bersama Glowing Party House

1
1955

PELANGGAN selalu beranggapan belon itu murah. Majoriti masyarakat menyifatkan dekorasi penyeri majlis keraian itu sebagai barangan biasa yang sama jenisnya. Ironinya jika anda benar-benar mendalami dunia belon, ia sebenarnya item yang sangat kompleks.

GPH-8ANTARA JENIS BELON DI GPH ADALAH SOLID, METALIK DAN FOIL. FOTO/NIK AMRI NIK HASSAN

Belon yang dibeli di kedai-kedai runcit atau pasar malam tidak sama kualitinya dengan yang dibeli di kedai pembekal barangan parti. Pengetahuan tentang perbezaan belon, penggunaan gas, ketahanan dan perbandingan harganya perlu dipelajari setiap orang.

Kedengaran remeh tetapi sangat berguna memandangkan belon menjadi barangan hiasan paling popular dan sering dibeli biarpun sekadar untuk menggembirakan anak-anak.

Pasangan suami isteri, Muhamad Nasron Muhamad Nasir dan Mastura Muhamad antara pengusaha kedai pembekal barangan parti yang mahir tentang belon. Memasuki empat tahun operasi Glowing Party House (GPH), perusahaan yang bermula secara dalam talian (online) milik Nasron dan Mastura itu kini telah berkembang dengan tiga cawangan kedai di sekitar Selangor.

GPH-15TERDAPAT KIRA-KIRA 50 WARNA BELON LATEKS DAN 30 WARNA BELON METALIK DI GPH. FOTO/NIK AMRI NIK HASSAN

“Bergelumang dengan belon ini ada cabarannya, adat dalam apapun perniagaan. Kami sering berdepan dengan reaksi pelanggan yang terkejut dengan harga belon sehingga mereka bandingkan dengan harga belon-belon di kedai runcit atau pasar malam.

“Kami selalu kongsikan maklumat kepada para pelanggan tentang perbezaan gas yang digunakan belon di kedai pembekal barangan parti dan di pasar malam. Di sini kami gunakan gas helium, sumber asli yang kian terhad penawarannya, justeru harganya lebih tinggi.

“Belon pasar malam diisi gas hidrogen. Mengapa ia murah? Gas tersebut boleh dihasilkan sendiri menggunakan ekstrak tin aluminium, soda dan air. Suka untuk kami mengingatkan belon yang dipam hidrogen membahayakan keselamatan orang sebab ia boleh meletup sehingga mengeluarkan api (seperti bom) jika terkena sumber api walaupun bara puntung rokok,” jelas Mastura panjang lebar yang merupakan Pengarah Urusan di GPH.

GPH-18BELON HELIUM MAMPU TERAPUNG DI UDARA SELAMA LAPAN HINGGA SEMBILAN JAM. FOTO/NIK AMRI NIK HASSAN

Sejarah pernah membuktikan hidrogen menjadi punca kepada beberapa malapetaka besar. Ketika era kegemilangan kapal udara (airship) atau popular dengan gelaran Zeppelin, banyak tragedi membabitkan pengangkutan tersebut berpunca daripada letupan sehingga mengakibatkan kebakaran.

Pada tahun 1930, kapal udara tentera British R101, terhempas dan membunuh kesemua 48 nyawa. Ia diikuti dengan kemalangan paling tragis apabila kapal udara tentera laut Amerika Syarikat (AS), USS Akron terhempas di persisiran New Jersey selepas meredahi ribut pada 4 April 1933. Kejadian itu meragut 73 nyawa dan hanya tiga penumpang terselamat.

Bagaimanapun insiden paling popular tentulah tragedi belon udara Hindenburg yang terbakar ketika melakukan pendaratan di Lakehurst, New Jersey pada 6 Mei 1937. Daripada 97 penumpang, 62 terselamat dengan 36 kematian yang turut membabitkan seorang kru di daratan.

Sekiranya pereka Hindenburg tegas dengan cadangannya bagi menggantikan hidrogen kepada helium, tentu impak kemalangan itu tidak sedahsyat seperti yang terjadi. Namun ketika itu, AS selaku monopoli pembekal helium bimbang gas tersebut akan digunakan untuk kegunaan ketenteraan sehingga sanggup melaksanakan sekatan eksport.

Hanya selepas kemalangan Hindenburg, eksport helium ke Jerman dibenarkan selepas pindaan undang-undang dilakukan dengan syarat ia tidak digunakan dalam fungsi ketenteraan.

GPH-13CETAKAN PADA PERMUKAAN BELON BOLEH DITEMPAH MENGIKUT REKAAN PELANGGAN. FOTO/NIK AMRI NIK HASSAN

“Kalau dulu penjual belon di pasar malam bawa tong besar yang diisi hidrogen. Namun kini selepas para pengusaha kedai pembekal barangan parti giat menjalankan kempen kesedaran tentang perbezaan helium dan hidrogen, mereka tidak lagi mengusung tong tersebut dan hanya membawa belon yang telah siap dipam,” tambah Mastura.

Pengguna boleh mengenal pasti gas hidrogen daripada baunya yang busuk sedangkan helium tidak berbau. Tong gas hidrogen berdiameter besar, lebih lebar dan kebiasaannya berwarna hitam manakala saiz tong helium lebih kecil.

Ujian suara juga sebahagian daripada kriteria perbezaan hidrogen dan helium. Apabila anda menyedut gas helium menggunakan mulut, frekuensi suara akan menjadi tinggi (seperti suara animasi Chipmunks). Kesan itu tidak akan terjadi apabila anda menyedut gas hidrogen, itupun jika anda tahan baunya yang busuk.

GPH-27MASTURA (KIRI) DAN NASRON (KANAN) MENCEBURI INDUSTRI BELON DAN BARANGAN PARTI HAMPIR LIMA TAHUN. FOTO/NIK AMRI NIK HASSAN

Peniaga belon hidrogen dianggarkan mampu meraih keuntungan berlipat kali ganda berikutan kos pembuatannya yang rendah. Biarpun merisikokan keselamatan, hidrogen masih dibenarkan untuk kegunaan belon dan banyak pihak yang menganjurkan majlis besar memilih belon hidrogen kerana harganya yang murah.

“Kebiasaannya apabila ada acara korporat, mereka mahu menggunakan belon dalam kuantiti banyak mencecah 200 biji. Harga sebiji belon helium adalah RM3.50 dan apabila didarab dengan 200 biji, kos keseluruhannya agak mahal berbanding belon hidrogen yang boleh jatuh pada harga RM2 sebiji, misalnya.

“Sukar untuk bersaing dengan harga belon hidrogen kerana kalau kami letakkan harga sebegitu rendah, memang perniagaan akan rugi,” tegas Mastura yang memulakan perniagaan berseorangan sebelum suaminya menyertai secara sepenuh masa selepas kedai pertama GPH beroperasi selama setahun.

Jenis

Di GPH dan kedai-kedai pembekal barangan parti, jenis-jenis belon yang dijual sememangnya dijamin berkualiti tinggi. Sama ada belon lateks biasa (solid), metalik atau foil, kesemuanya boleh dipam menggunakan gas helium.

Jadi apabila ada pelanggan yang datang membawa belon yang dibeli di kedai biasa dan mahu dipam bersama helium, belon tersebut akan menjadi berat menyebabkan apungannya tidak stabil, berayun-ayun dan tidak terapung dengan tegak.

GPH-14HARGA SEBIJI BELON METALIK YANG DIPAM GAS HELIUM ADALAH RM3.50. FOTO/NIK AMRI NIK HASSAN

Namun kebiasaannya belon murah akan pecah apabila dipam gas helium kerana ia nipis. Disebabkan itu, pelanggan disarankan memilih angin biasa untuk belon yang rendah harganya.

Belon metalik mampu bertahan lebih lama apabila menggunakan helium. Bagaimanapun apabila melibatkan acara luar (outdoor), belon helium kurang sesuai dijadikan hiasan.

“Belon ini dipengaruhi tiupan angin terutama khemah yang dipasang kipas besar (industrial fan). Ia akan membuatkan belon melayang-layang dan tidak stabil. Warna belon juga cepat teroksida jika dijadikan dekorasi outdoor.

“Belon metalik misalnya akan menjadi kusam dealam tempoh singkat jika terdedah kepada udara dan cahaya matahari sedangkan untuk hiasan indoor kilatannya dapat bertahan sehingga tiga atau empat hari, selepas disembur polisher,” ujar Nasron yang menyarankan belon dibentuk menjadi pintu gerbang (arch) untuk dekorasi outdoor.

Sebagai pakar dekorasi (decorator), GPH memilih belon solid untuk kegunaan hiasan kerana sifatnya yang mudah dibentuk dan dipintal (twist) ditambah pula dengan warnanya yang menyerlah, berbeza dengan belon metalik yang keras dan sukar dibentuk.

“Terdapat kira-kira 50 pilihan warna untuk belon solid manakala metalik dalam 30 variasi warna. Memandangkan majoriti pelanggan ialah perempuan, warna popular juga lebih kepada warna feminin dan lembut seperti fuchsia, bubblegum dan lilac. Merah, hitam, emas dan fuchsia pula antara warna belon metalik yang menjadi pilihan ramai,” sambung Nasron.

GPH-3BELON DI KEDAI-KEDAI BIASA LEBIH NIPIS DAN KUALITINYA TIDAK SETANDING DENGAN BELON DI KEDAI PEMBEKAL BARANGAN PARTI SEPERTI GPH. FOTO/NIK AMRI NIK HASSAN

Belon yang selalu digunakan badut di majlis melibatkan kanak-kanak pula digelar sebagai belon twisting atau sculpting. Ia turut digunakan pakar dekorasi bagi menghasilkan hiasan bersaiz besar. Antara bentuk popular ialah bunga dan pedang serta dikategorikan sebagai paling mudah dan pantas untuk dihasilkan.

Menurut Nasron, tiada batasan dalam bereksperimen dengan seni dekorasi belon. Banyak bentuk boleh dihasilkan dan ia bergantung kepada kepakaran dan kreativiti seseorang. Bentuk dengan kerumitan tinggi memakan masa lebih lama untuk disiapkan.

Bagi meningkatkan kemahiran, kursus-kursus berkaitan seni belon perlu dihadiri. Nasron sendiri kerap menghadiri kursus yang dijalankan di dalam dan luar negara.

“Terdapat kursus peringkat asas, pertengahan dan berkemahiran (advanced). Rata-rata pengendali kursus ialah pakar dari Taiwan. Kami sesama pengusaha kedai pembekal barangan parti sendiri yang menerbangkan pakar-pakar Taiwan ini ke sini mengendalikan kursus kemahiran.

“Kekangan bahasa menyulitkan sedikit kefahaman kerana mereka tidak boleh bertutur dalam bahasa Inggeris. Mungkin daripada 10 penyampaian, saya dapat memahami enam atau tujuh isi pelajaran sahaja,” kongsi Nasron yang pada asalnya tidak tahu langsung mengikat belon.

Industri belon antarabangsa menyaksikan Taiwan selaku monopoli utama di rantau Asia diikuti Singapura. United Kingdom pula mengungguli kemahiran dan kemajuan di benua Eropah.

Cabaran

Kedai pertama GPH di Reko Sentral, Kajang, Selangor memberikan cabaran terbesar kepada pasangan ini terutama sepanjang setahun pertama. Setiap hari mereka perlu mengulangi perkara sama memandangkan pengetahuan orang ramai tentang helium pada masa itu sangat terhad.

Melayan kerenah pelanggan yang tidak memahami fungsi helium benar-benar menabahkan diri Mastura dan Nasron. Apabila pelanggan sekadar membeli belon, pemberat dan reben tetapi berkeras untuk mengepam sendiri angin di rumah, mereka hanya mampu memberi penjelasan sehabis baik tanpa dipengaruhi keperluan untuk memaksa.

GPH-22POLISHER DISEMBUR PADA PERMUKAAN LUAR BELON BAGI MENAMBAH EFEK KILATAN. FOTO/NIK AMRI NIK HASSAN

Selang beberapa hari, pelanggan yang sama akan kembali ke kedai mengadu tentang belon yang dipam sendiri tidak terapung di udara. Begitu juga pelanggan yang mahukan belon dipam awal walaupun akan digunakan dalam tempoh dua hari akan datang.

Belon helium hanya dijamin dapat bertahan selama lapan sehingga sembilan jam dengan maksimum 13 atau 14 jam. Jadi adalah penting bagi pelanggan mengetahui waktu yang tepat untuk belon digunakan.

Menempatkan belon di dalam bonet dan meninggalkannya di dalam kereta juga sangat ditegah. Belon sensitif terhadap panas kerana ia boleh mengembang sehingga pecah. Belon foil yang mahal harganya pula mesti dikendali dengan cermat kerana ia tidak boleh mengadaptasi perubahan suhu secara mendadak.

“Kami beri kelonggaran kepada kes-kes tidak disengajakan. Kadang-kadang belon pelanggan meletup walaupun baru keluar kedai, ada pula yang pecah apabila belon terkena badan kereta. Jadi kami ganti dengan belon baharu.

“Belon boleh mengembang mengikut saiz. Jika belon bersaiz standard yang berdiameter 12 inci, ia dapat mengembang sehingga 10 inci. Belon yang terlebih angin atau gas akan mempunyai bentuk seperti mentol di bahagian bawah,” jelas Nasron yang kini bertindak sebagai Ketua Pegawai Eksekutif GPH.

Selain belon, GPH turut menyediakan khidmat maskot, penghibur parti, face painting, bertih jagung (pop corn), badut, inflatable bouncer dan banyak lagi. Bagaimanapun yang semakin mendapat permintaan adalah khidmat penghantaran secara kejutan (surprise delivery).

GPH-10GPH MERUPAKAN ANTARA PERUSAHAAN MELAYU PERTAMA YANG MENYERTAI INDUSTRI BELON DI MALAYSIA. FOTO/NIK AMRI NIK HASSAN

“Pelanggan selalunya menggunakan belon, jambangan bunga dan kek untuk kejutan. Pakej baharu ini kian popular dan jika dilihat di instagram, hampir 80 peratus kejutan dilaksanakan oleh GPH.

“Perkhidmatan ini menitikberatkan aspek ketepatan waktu kerana kita perlu bersembunyi terlebih dahulu sebelum individu yang diraikan ‘diterjah’. Ia tidak terhad kepada hari jadi sahaja, malah boleh digunakan untuk kejutan lamaran, ulang tahun perkahwinan ataupun keraian perpisahan,” tambah Nasron.

Menjelang Sabtu dan Ahad, jadual mereka selalu terisi dengan pelbagai majlis di lokasi yang berbeza. Peluang untuk bercuti amat tipis terutama menjelang cuti persekolahan. Hanya pada bulan puasa mereka dapat meredakan sedikit kesibukan kerana bulan tersebut jatuh dalam kategori musim perlahan bagi perniagaan pembekal barangan parti.

Info Glowing Party House:
Lokasi:
1) 17G, Jalan Reko Sentral 1, Reko Sentral, 43000 Kajang, Selangor.
2) Aras 2, The Main Place Mall, USJ 21, Subang Jaya Selangor.
3) 6-33-01, Jalan Medan Pusat Bandar 8A, Bangi Sentral Business Park, 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor.
Telefon: (Reko), (USJ) & (Bangi Sentral)
Laman web: www.glowingpartyhouse.com
Facebook:
Instagram:
YouTube:

  • TAG
  • belon
  • Featured
  • glowing party house
  • GPH
KONGSI
Artikel sebelumnyaDominasi retro asimilasi kontemporari Retrocraft
Artikel seterusnya12 lagu ke Anugerah Juara Lagu 30
Memulakan kerjaya penulisan sebagai wartawan di sebuah akhbar berbahasa Melayu tempatan dan berkhidmat selama empat tahun sebelum menyertai Pepatung sepenuh masa. Berpengalaman dalam penulisan rencana terutama berkenaan gaya hidup, profil, minat ramai, isu semasa, fesyen dan hiburan.

1 KOMENTAR

  1. Nak tanye area seremban xde ke..saya kerje shift dan pendapatan sebulan tidak mencukupi untuk anak dan keluarga. Kos hidup makin tggi dan beri sy minat untyk niaga belon pada hujung minggu d taman permainan..sy perlu tahu tempat jual gas hialin dan tempat untuk isi semula gas..belin sy boleh dapatkn sendiri

    Balas

TINGGALKAN RESPONS