SORAKAN audiens menggamatkan pentas KL Live apabila Simple Plan mempamerkan persembahan bertenaga pada malam 7 September lalu bersempena dengan konsert Taking One for the Team Tour 2016 Kuala Lumpur.
FOTO:
Selepas kali terakhir beraksi di Malaysia empat tahun lalu, momentum persembahan mereka masih hebat sekali gus memberi kepuasan maksimum kepada para peminatnya.
Penganjur konsert, IMC Live Group membawa kembali band Perancis-Kanada itu ke Malaysia sejajar dengan pelancaran album baharu mereka: Taking One for the Team.
Selepas album terakhir pada tahun 2011, mereka mengambil tempoh hampir lima tahun bagi menghasilkan material baharu dengan mengembalikan sentuhan asal muzik Simple Plan, tetapi diberi nafas baharu.
(sebutan ‘dua’) menjadi pembuka tirai konsert pada malam tersebut. Mereka terdiri daripada duo tempatan, Juanita Ramayah dan Sher.
FOTO:
Sejurus Simple Plan mengambil alih, teriakan para penonton bergema sepanjang lagu pembuka, Opinion Overload. Menyusul dengan lagu Jetlag, kemeriahan konsert berganda apabila lagu Jump berkumandang.
Vokalisnya, Pierre Bouvier mengajak para penonton ‘melompat’ bersama-sama. Tiga lagu pertama turut menyaksikan keupayaan Bouvier mengucapkan beberapa ucapan berbahasa Melayu seperti ‘selamat malam’, ‘apa khabar’ malah memanggil penonton dengan gelaran ‘tuan-tuan dan puan-puan.’
Lagu I’d Do Anything yang menjadi antara karya klasik mereka semestinya membuatkan penonton bersorak tanpa henti. Ia diikuti dengan lagu Boom!! yang meneruskan kerancakan tempo muzik pada malam penuh adrenalin itu.
FOTO:
Simple Plan kemudiannya memutar kembali masa ketika era kegemilangan album Still Not Getting Any… pada tahun 2004. Lagu Welcome To My Life yang didendangkan malam tersebut menjadi lagu paling manis kepada para peminatnya apabila mereka bersama-sama menyanyi lagu tersebut.
Persembahan diteruskan dengan lagu Kiss Me dan Your Love is a Lie sebelum sebuah lagu daripada album baharu mereka, Singing in the Rain disampaikan.
Biarpun telah bertapak dalam industri muzik selama 17 tahun, tenaga mereka ketika beraksi di atas pentas masih padu. Buktinya apabila medley lagu-lagu parti (party medley) dipersembahakan penuh energetik. Medley tersebut terdiri daripada rangkaian lagu Uptown Funk (Bruno Mars) dan Can’t Feel My Face (The Weeknd).
FOTO:
Ia diikuti dengan lagu daripada album keempat mereka pada tahun 2011, Can’t Keep My Hands Off Of You.
Selepas hampir satu jam beraksi tanpa rehat, Simple Plan terus menghiburkan para penonton dengan lagu Farewell dan Summer Paradise.
Kembali memutar memori penonton terhadap muzik awal 2000 mereka, lagu Crazy disampaikan dengan selingan ucapan terima kasih kepada para peminat yang menyokong karier mereka selama hampir dua dekad. I’m Just A Kid yang menyusul menjadi lagu terakhir pada malam tersebut.
FOTO:
Laungan penonton yang mahukan persembahan diteruskan disambut baik band tersebut. Mereka kembali ke pentas untuk slot penutup.
Lagu Shut Up kembali melonjakkan adrenalin para penonton diikuti dengan lagu Perfect World. Malam energetik berubah sedikit melankolik apabila Simple Plan menyampaikan lagu This Song Saved My Life.
Tidak sempurna persembahan Simple Plan tanpa lagu signaturnya yang memperkenalkan mereka kepada dunia. Perfect yang disampaikan secara akustik solo oleh Bouvier pada awalnya kemudiannya disambung penuh dramatik empat ahli lain melengkapkan malam bernostalgia itu.
NOTA: Kesemua foto dalam artikel ini dibidik oleh Taufiq Nadzri untuk Pepatung. Untuk melihat hasil kerja Taufiq yang lain, ikuti instagram .