Adiwira sejati 90-an : Power Rangers ubat kerinduan

0
100

MATAHARI gelincir, langit jingga beransur kelam. Sambil ibu sibuk di dapur menyiapkan makan malam, ayah pula berehat di kerusi berkain pelikat lengkap berketayap. Sementara menunggu azan Maghrib berkumandang, anak-anak duduk di depan televisyen menonton rancangan bersiri kanak-kanak paling diminati era 1990-an.

Masing-masing melopong melihat kelincahan aksi lima adiwira di bawah pasukan Power Rangers. Ketika itu, saya baru berusia lingkungan 6 atau 7 tahun, tetapi nama Jason Scott (ranger merah), Kimberly Hart (ranger merah jambu), Billy Cranston (ranger biru), Zack Taylor (ranger hitam) dan Trini Kwan (ranger kuning) bukanlah asing.

Kemudian, muncul Tommy Oliver sebagai ranger hijau (kemudian bertukar kepada ranger putih). Siri asal Power RangersMighty Morphin Power Rangers juga hampir diharamkan tayangan di TV1.

Gara-gara penggunaan perkataan ‘morphin’ yang menyerupai sebutan ‘morphine’ yang bermaksud ‘dadah’, ibu bapa khuatir ia akan mempengaruhi dan mengundang implikasi negatif kepada kanak-kanak.

Justeru, perkataan ‘morphin’ digugurkan. Setiap kali nya dimainkan, sebutan ‘morphin’ turut disenyapkan (mute).

Di sekolah, masing-masing berebut memilih karakter. Siapa memilih untuk menjadi Jason secara automatik dilantik sebagai ketua pasukan. Pengaruh Power Rangers menular sehingga wujudnya baju tidur, kostum, alat tulis, beg sekolah dan permainan yang menjadi rebutan kanak-kanak.

Penceritaannya tidak sekadar berkisar tentang sepasukan adiwira menentang sekawanan putty patrol, tentera yang sering dikerah oleh antagonis primer, Rita Repulsa. Power Rangers mengajar kanak-kanak 1990-an nilai setia kawan, semangat untuk berjuang dan berani dalam bertindak.

Maka apabila filem Power Rangers diumumkan bakal ditayangkan tahun ini, ia menghidupkan jiwa kanak-kanak 1990-an yang kebanyakannya sedang meniti usia lewat 20-an dan lingkungan 30-an.

Selepas 24 tahun, Power Rangers (Mighty Morphin) menemui penonton dengan wajah baharu. Hari ini (23 Mac 2017), ia mula ditayangkan di layar perak. Untuk anda yang pernah berangan-angan menjadi pemimpin perkasa seperti Jason atau cantik mempesona seperti Kimberly, silalah ke pawagam. Anda tidak akan menyesal.

Pertamanya, penceritaan Power Rangers kali ini masih dikekalkan seperti asal. Cuma setiap latar belakang famili dan krisis hidup mereka diperhalusi sama rata bagi membolehkan penonton berasa lebih dekat dengan lima adiwira remaja tersebut.

Jason, bintang sukan di sekolahnya yang celaru dengan masa depan. Kimberly pula ahli pasukan sorak yang berdepan dilema dalam persahabatan. Billy, pelajar pintar yang juga seorang autistik. Zack, remaja egoistik yang hidup serba kekurangan tetapi setia menjaga ibunya yang sakit. Tidak ketinggalan, Trini (Didi), gadis berontak yang menghadapi krisis identiti dan sukar mengadaptasi diri dengan orang sekeliling.

Lima remaja di bandar kecil, Angel Grove itu, kemudiannya dihimpunkan secara tidak sengaja di sebuah kawasan perlombongan emas. Ketika itu, takdir menemukan mereka dengan lima power coin (batu atau syiling berbentuk bulat yang mengandungi kuasa luar biasa) berwarna; merah, biru, merah jambu, kuning dan hitam.

Keliru dengan kejadian yang menimpa mereka dan kuasa yang dimiliki secara tiba-tiba, kelima-lima remaja itu cuba mencari jawapan. Lantas mereka berhasil bertemu Alpha 5, robot pembantu di dalam sebuah kapal angkasa yang juga menjadi pangkalan rahsia kepada pemimpin pertama Power Rangers, Zordon.

Zordon yang terperangkap di dalam dimensi masa cuba meyakinkan lima remaja mentah tersebut untuk mempersiapkan diri menentang Rita. Dalam masa yang sama, Rita (lakonan Elizabeth Banks), telah bangkit semula dan meneruskan misinya mencari kristal Zeo bagi menakluk galaksi, sekali gus memusnahkan bumi.

Mereka dilatih Alpha 5 yang masih lucu dengan frasa signaturnya; ‘ai yi yi’. Apa yang menjadikan Power Rangers sebuah filem menarik untuk ditonton adalah kesederhanaannya dalam memamparkan CGI dan kemodenan untuk sebuah filem berkisar adiwira.

Majoriti produksi dan pembikin filem moden mempertaruhkan kecanggihan CGI, kehebatan aksi pertentangan sang adiwira dengan musuh, serta memancing penonton dengan barisan pelakon bergred A.

Pesan saya untuk mereka yang memasang harapan tinggi agar Power Rangers dipersembahkan sehebat filem Avengers atau Batman, matikan hasrat itu jika tidak mahu kecewa.

Barangkali segelintir penonton akan mengelaskan Power Rangers filem bergred B yang tidak menepati piawaian standard sebuah filem tentang adiwira. Apatah lagi mengangkat legenda seperti Power Rangers dengan mutu era 1990an.

Sebenarnya terapan nilai 1990-an itu yang menjayakan Power Rangers. Dalam keghairahan pengarah moden berlumba-lumba menghasilkan karya bersifat futuristik, Power Rangers mengembalikan nilai kemanusiaan dengan mainan emosi dan persahabatan yang semakin dilupakan.

Plotnya diatur kemas. Tidak tergesa-tegas dengan pengenalan watak dan perwatakan secara seimbang. Bahkan babak pertarungan yang dipaparkan juga tidak keterlaluan dan tidak begitu diketengahkan sebagai fokus cerita. Namun penonton puas kerana ia turut diselitkan dengan unsur humor.

Saat lagu tema asli berkumandang, ‘go go power rangers’, seisi pawagam bersorak dan bersemangat apabila kelima-lima adiwira akhirnya muncul dalam uniform serba moden. Meskipun dilakonkan bakat-bakat baharu, keserasian mereka benar-benar menjadi, terutama watak Billy (ranger biru) yang digalas RJ Cyler, sering membuatkan penonton ketawa.

Filem arahan Dean Israelite itu juga akan membuatkan penonton bergenang air mata (ataupun menitiskan air mata). Ia bukanlah sebuah filem yang gah, tetapi lengkap serba-serbi bagi mengubat kerinduan peminat setia lima adiwira itu.

Identiti sebenar Zordon dan Rita bakal didedahkan di permulaan cerita, menamatkan teka-teki tentang punca perseteruan dua karakter tersebut. Pelakon asal ranger merah jambu dan hijau/putih, Amy Jo Johnson dan Jason David Frank turut membuat cameo di penghujung filem.

Jangan cepat melangkah keluar panggung apabila filem tamat. Terdapat babak kecil tentang bayangan sambungan akan datang.

ULAS KESELURUHAN
Bintang Pepatung
KONGSI
Artikel sebelumnyaIzzue Islam rancang lancar single solo kedua
Artikel seterusnyaLima fakta menarik Mira Filzah
Memulakan kerjaya penulisan sebagai wartawan di sebuah akhbar berbahasa Melayu tempatan dan berkhidmat selama empat tahun sebelum menyertai Pepatung sepenuh masa. Berpengalaman dalam penulisan rencana terutama berkenaan gaya hidup, profil, minat ramai, isu semasa, fesyen dan hiburan.

TINGGALKAN RESPONS