Avengers: Age of Ultron terlalu sarat, mengelirukan

0
50

SEPANJANG menonton Avengers: Age of Ultron, kedua bola mata langsung tidak berkedip, terpasung pada layar lebar kerana khuatir terlepas satu adegan penting yang mungkin boleh merosakkan keseluruhan imaginasi visual. Walhal, sepanjang 2 jam 22 minit, menerusi adegan demi adegan yang muncul, tiada satu pun yang mampu melekat dalam jiwa (rujuk momen X-Men: The Last Stand apabila Magneto mengalihkan jambatan Golden Gate bagi menghubungkan Alcatraz dan San Francisco) dan kotak fikiran.

Benar, sepanjang 10 minit pertama, penonton disajikan dengan pembukaan yang berskala besar, menampilkan kesemua ahli Avengers menonjolkan kemampuan masing-masing. Enam ahli utama, termasuk dua mutant yang secara keseluruhannya memberi impak maksimum terhadap kepuasan penonton. Namun, di sebalik babak pengenalan itu, keadaan yang dipaparkan agak berserabut dan tumpuan terlalu diarahkan terhadap kebolehan dan kekuatan watak yang diketengahkan.

Film-Avengers

Mungkin pengarahnya, Joss Whedon mahu sebuah tirai yang padat dengan aksi, supaya penonton bisa dipaku sehingga filem tamat ditayangkan. Ianya juga merupakan langkah positif kerana setiap aksi yang dipaparkan dijalin kemas tanpa sebarang cacat dan cela.

Plot yang cuba diangkat pada kali ini boleh dikategorikan klise, sama seperti beberapa filem aksi yang pernah menjadi bualan ramai. Manusia berperang dengan entiti bukan manusia. Bukan idea asli tetapi boleh ditutup dengan bajet besar serta kesan khas CGI yang luar biasa.

cinema21

Cuma satu yang menghairankan, sentuhan drama, selain kisah percintaan antara Hulk (Mark Ruffalo) dan Black Widow dalam filem ini bagaikan tiada. Walaupun hampir setiap karakter dipinjamkan emosi yang menghamparkan sedikit sebanyak tentang masa lampau mereka. Black Widow lakonan Scarlett Johansson dimandulkan. Ya, itu mungkin satu perkara baharu yang kita belajar daripada karya kali ini. Selain itu, babak pergelutan dan pertempuran bagaikan dijalin tanpa irama. Semata-mata mahu memuaskan kehendak penggemar naskhah yang kaya dengan bahan letupan dan runtuhan bangunan.

Robert Downey Jr.

Fokus utama juga boleh diteka. Seperti debutnya, Anvengers menjadikan Ironman (Robert Downey Jr) sebagai tonggak perjalanan filem ini dengan menampilkan kemusnahan pada kediaman Tony Stark buat kali kedua selain penciptaan Ultron oleh tuan empunya diri.

Sementara Hawkeye (Jeremy Renner) memberi nuansa baharu terhadap kisah hubungan kekeluargaannya, pasangan kembar Quicksilver dan Scarlett Witch juga memberi sedikit gambaran tentang sejarah lampau kedua-dua mereka. Dalam masa yang sama, penonton cuba menghadam peranan yang dibawakan oleh Aaron Taylor-Johson dan Elizabeth Olsen yang mendokong karakter sebagai suami isteri dalam filem Godzilla tahun lalu.

Film Review-Avengers: Age of Ultron

Bercakap mengenai pasangan kembar itu, Quicksilver yang diangkat dalam Avengers digambarkan sedikit berlainan dengan X-Men: Days of Future Past. Jika menerusi francais X-Men, Quicksilver mampu berlari lebih laju daripada ledakan sebutir peluru, tetapi dalam Avengers, dia mati akibat terkena bedilan senapang. Dan, mematikan wataknya seawal itu boleh diibaratkan tidak masuk akal. Mungkin ia bertujuan untuk memberi laluan kepada Scarlet Witch menyertai Avengers pada rangkaian filem yang akan datang. Siapa tahu.

AP-06784_R

Persoalan lain timbul apabila The Vision mampu mengangkat tukul besi milik Thor. Bagaimanakah perkara tersebut boleh berlaku? Sedangkan dalam penceritaan komik, Captain America (Chris Evan) sahaja yang berjaya mengalihkan penukul itu selain Thor (Chris Hemsworth).

Secara keseluruhan, filem terbitan Marvel Studios ini masih sama sahaja dengan filem-filem adiwira yang lain. Atmosfera penceritaan masih di takuk lama. Apa yang membezakannya dengan francais Avengers lain adalah kemampuan teknologi yang semakin memberangsangkan. Tidak lebih daripada itu. Apa pun, letupan dan aksi pertempuran adalah sihir mujarab yang pastinya membuat penonton memberikan 10/10 dalam proses pemarkahan. Namun, kekurangan kejutan dan pertalian tekanan dalam setiap watak mungkin memberi kekurangan kepada naskhah yang paling dinantikan ini.

KONGSI
Artikel sebelumnyaKemaluan ahli One Direction, Louis jadi perhatian pengguna internet
Artikel seterusnyaAnugerah Koleksi Sakura Pelajar 2015 Pavilion KL
Memulakan karier sebagai pembantu editorial untuk sebuah majalah bertemakan perkahwinan sekitar empat tahun yang lalu, langkah jejaka ini dalam bidang penulisan semakin berkembang tatkala idea untuk membina empayar kandungan digital Pepatung tercetus olehnya.

TINGGALKAN RESPONS