Manisnya Cinta di Cappadocia: Nilai peluang kedua

1
123

KARYA baharu Bernard Chauly, Manisnya Cinta di Cappadocia (MCDC) sekali lagi berjaya memujuk orang ramai ke pawagam untuk sama-sama mengikuti perjalanan romantis Ifti Liyana (Nur Fazura) dan Nazmi (Shaheizy Sam) yang dilayarkan selama 102 minit.

1-mcdc

Naskhah kelima Bernard ini sebenarnya diadaptasi daripada novel berjudul Manisnya Cinta, nukilan Anis Ayuni terbitan Alaf 21. Kembali menyorot keindahan panorama Turki sebagai latar utama dalam hasil kerjanya (terdahulu menerusi Istanbul Aku datang pada tahun 2012), sentuhan bersahaja Bernard kali ini masih ringan, sarat humor bijak dan sekali lagi menampilkan wajah-wajah kepercayaannya selaku penghidup watak.

Biarpun diklasifikasi sebagai cereka komedi romantik, filem terbitan bersama Red Films, Global Station dan Astro Shaw ini mempunyai mesej utama yang amat bernilai untuk diteladani penonton. Peluang kedua! Inilah inti utama karya tentang kembara hidup yang dicerminkan protagonis tunjangnya, Ifti.

Ifti mungkin sempurna luarannya, tetapi dalamannya masih lemah nilai kemaafan. Bagaimana dia memutuskan perhubungan bersama Fredo (Josiah Hogan), menolak keikhlasan Bakhtiar (abang iparnya lakonan Faizal Hussein) untuk menebus kekhilafan lamanya serta enggan mendengar penjelasan Nazmi, segalanya memusat kembali kepada mesej terasnya, belajar memberi peluang kedua.

MCDC bukan sekadar hiburan bersulamkan cinta kosong. Barangkali pesanan tersembunyi yang cuba dipaparkan Bernard dapat disingkap sendiri anda. Misalnya, taraf seorang pemandu bas, menceritakan kesanggupan seorang perempuan cantik dengan kerjaya hebat untuk keluar bertemu janji bersama si pemandu bas. Sejauh mana perempuan seperti ini mampu bertahan memegang prinsipnya untuk tidak memandang kebendaan? Jawapannya dapat ditemui dalam naskhah ini.

Anda tidak akan rugi menonton karya tempatan ini. Filem ini turut menampilkan Lisa Surihani (Izelea), Rafidah Abdullah (Dhivia), Fauziah Ahmad Daud (ibu Ifti) dan Zaibo (bapa Ifti). Banyak tarikan menarik filem ini dan Pepatung menyenaraikan antara sebab mengapa MCDC mesti ditonton.

1) Fazura: Sudah tentunya Fazura ialah ‘pelaris’ filem ini. Siapa tidak tertambat dengan kecantikan Malaysian darling ini? Apatah lagi apabila menyaksikan lakonannya yang cukup mengesankan. Mendukung watak Ifti, perwatakan Fazura dalam judul ini barangkali tidak semantap lakonannya dalam filem-filem terdahulu (Pisau Cukur dan Gol & Gincu adalah antara aksi terbaiknya). Namun, pesonanya sahaja bagi menghidupkan karakter Ifti berjaya mempengaruhi penonton. Malah, majoriti persalinannya (daripada House of Dolls) dalam filem ini juga sangat cantik, menepati peribadinya sebagai rujukan fesyen tanah air.

3-mcdc

2) Shaheizy Sam: Pengaruh aktor ini masih teguh. Bak kata orang, letaklah Sam dalam filem apapun, semuanya menjadi ’emas’. Begitu juga kemunculannya dalam karya ini (Nazmi), taringnya dalam memegang peranan sebagai pencuri hati si gadis masih berbisa. Walaupun ini merupakan gandingan pertama Sam dan Fazura di layar perak (kali pertama dipadankan dalam drama Kisah Cinta di TV3), keserasian kedua-duanya membuatkan ramai penonton ‘geram’! Manakan tidak, bahasa mata Sam sahaja cukup untuk menggoda penonton-penonton wanita.

3) Turki: Dahulu Istanbul, sekarang Cappadocia! Begitu bijak pihak Pelancongan Turki mempromosikan tarikan dan destinasi menariknya menerusi filem ini. Ketika babak Ifti dan Nazmi menaiki belon panas, percayalah secara automatik anda akan memasang azam untuk ke tempat itu suatu hari nanti. Ditambah pula dengan keindahan kamar bulan madunya, memang sempurna untuk pasangan menganyam asmara. Belum lagi mengambil kira keunikan seni hiasan dalamannya seperti permaidani, seramik dan perabot kayu. Memanjakan diri di hamam (spa bersama mandian air panas) di Konya juga tidak kurang memikat.

6-mcdc

4) Dialog: “Kenapa awak sanggup melakukan perkara mungkar?” dan “Saya tidak sangka iman awak senipis kulit bawang Fredo.”mungkin kini boleh menjadi sebahagian daripada dialog epik lakonan Fazura selari dengan “Oh My Dior!” dan “Jom sepak bola!.”

5) Penampilan Eja / Erma Fatima: Ratu air mata tanah air, Siti Shahrizah (Eja) sekali lagi menggugat emosi penonton. Kemunculannya sebagai Aida dalam babak imbas semula biarpun sekejap, berjaya menggugurkan air mata kebanyakan penonton berhati tisu. Bernard nyata bijak menyerahkan tugas ‘buat penonton menangis’ kepada Eja, ia berhasil! Begitu juga penampilan sebabak Erma Fatima sebagai seorang mak datin yang merupakan klien kepada Ifti dan Dhivia amat menggelikan hati. Dengan turban terlebih besar dan lagak mengadanya mengingatkan penonton kepada lakonan hebat Erma dalam filem Laila Isabella (2003).

8-mcdc

Kredit foto dan trailer MCDC:

  • TAG
  • Featured
  • manis-manisnya cinta di cappadocia
  • MCDC
KONGSI
Artikel sebelumnya7 transformasi menggiurkan Nutella
Artikel seterusnyaPenipuan yang selalu diucapkan mengikut zodiak
Memulakan kerjaya penulisan sebagai wartawan di sebuah akhbar berbahasa Melayu tempatan dan berkhidmat selama empat tahun sebelum menyertai Pepatung sepenuh masa. Berpengalaman dalam penulisan rencana terutama berkenaan gaya hidup, profil, minat ramai, isu semasa, fesyen dan hiburan.

1 KOMENTAR

TINGGALKAN RESPONS