BETAPA bergembiranya seisi Malaysia apabila Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin selamat melahirkan puteri sulungnya pagi semalam. Pada usia 39 tahun, Siti akhirnya merasai nikmat bergelar ibu. Pada usia perkahwinannya memasuki 12 tahun, Siti diberikan anugerah terindah dalam hidupnya.

Ratusan trofi dan anugerah sepanjang bergelar anak seni, tiada tandingnya dengan ‘Si Pipi Merah’. Baru sahaja dilahirkan, bayi perempuan Siti dan Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa sudah menjadi buah hati Malaysia.

Tidak putus ucapan tahniah dikirimkan kepada pasangan tersebut. Media sosial dibanjiri dengan berita Siti bersalin. Bagaikan satu sejarah, seluruh Malaysia memanjatkan rasa syukur. Pemimpin negara, ahli politik, bintang sukan, ulamak tersohor, usahawan prolifik dan rakan artis turut sama berkongsi kegembiraan Siti.

Mengapa begitu besar cerita Siti dapat anak? Berbanding artis atau orang kenamaan tanah air lain, Siti punya keistimewaan. Harum namanya dijaga sejak kita mengenali beliau ketika umurnya 16 tahun. Selepas 28 tahun, pesona Siti terus memancar.

Siti satu-satunya figura tanah air yang boleh lari daripada kecaman netizen. Komen-komen negatif boleh dibilang, tidak begitu ketara.

Misalnya, semalam selepas heboh gambar anak penyanyi nombor satu negara itu tular, para pengguna media sosial secara sepakat mengecam tindakan si penyebar. Jika hal itu terjadi kepada artis lain, barangkali masyarakat tidak akan menyebelahi artis tersebut.

Begitu juga berita tentang nilai pakej berpantang Siti yang mencecah ribuan ringgit. Tidak pula netizen menjadikan ia isu yang menjurus terhadap kecaman negatif. Sebaliknya majoriti memuji layanan lima bintang Datuk K kepada isterinya.

Adakah kita berat sebelah dan tidak adil? Sejujurnya Siti layak untuk menerima apa yang dinikmati sekarang. Ketika berborak dengan seorang rakan malam tadi, dia mengimbau cerita seorang sahabat baiknya yang pernah memberikan kek pisang kepada Siti pada satu majlis.

Betapa Siti menghargai pemberian tersebut, dititipkan ucapan terima kasih kepada pemberi dalam ucapan pendeknya. Begitu juga sesiapa sahaja yang pernah mengirimkan barangan berupa hadiah, makanan, pakaian atau produk kepada Siti.

Beliau pasti akan mengucapkan terima kasih dengan memuat naik di laman sosial instagram. Dengan 4.8 juta pengikut (follower) di instagram, Siti tidak lokek untuk membantu mempromosikan apa sahaja barangan yang diberikan kepadanya secara percuma.

Ya percuma, tanpa mengenakan bayaran review seperti artis atau instafamous lain. Sepanjang kerjayanya juga, Siti jarang dilanda gosip liar. Adapun musibah yang menimpa, segera diselesaikan dengan cara paling baik, tanpa perlu memanjangkan sengketa.

Bukan bermaksud Siti sempurna. Ada ketika dan situasi terlihat kelemahan beliau. Namun, sekecil manapun kesilapan, tidak lekang dari bibirnya menutur maaf.

Demikianlah Siti, dengan sikap pemurah dan lemah lembutnya. Allah kurniakan bakat yang hebat, tetapi diuji dengan nikmat cahaya mata.

Begitupun, berkat kesabaran, usaha dan doa, Allah makbulkan keinginan terbesar Siti. Lahirnya zuriat Siti adalah bukti kebesaran Allah. Siti sendiri masih terasa seperti bermimpi. Apatah lagi kita, yang tidak keterlaluan untuk menggelarnya satu keajaiban.

Berbahagialah Siti. Nikmatilah kemanisan waktu ini sehabisnya. Curahkanlah kasih sayang sepenuhnya. Teruskan menjadi Siti yang akan kekal dikenangi Malaysia sebagai jantung hati negara.

KONGSI
Artikel sebelumnya5 kontroversi artis Malaysia dan kelab malam
Artikel seterusnya
Memulakan kerjaya penulisan sebagai wartawan di sebuah akhbar berbahasa Melayu tempatan dan berkhidmat selama empat tahun sebelum menyertai Pepatung sepenuh masa. Berpengalaman dalam penulisan rencana terutama berkenaan gaya hidup, profil, minat ramai, isu semasa, fesyen dan hiburan.

5 KOMENTAR

  1. Alhamdulillah..Semoga Allah memberikan kesehatan dan kemudahan dalam berumah tangga yang sakinah, rahmah, mawaddah, serta, menjadi anak sholehah yang dibanggakan ..alumni ukmmalaysia..M.ihsan dacholfany

    Balas
  2. […] SUMBER : PEPATUNG DOT COM […]

    Balas
  3. […] SUMBER : PEPATUNG DOT COM […]

    Balas
  4. […] SUMBER : PEPATUNG DOT COM Tak Putus Putus Rezeki Siti Nurhaliza Selepas Bersalin .. Dapat Pula Layanan Seperti Ini .. Alhamdullilah! Siti Nurhaliza Terima Pakej Berpantang Bertaraf Lima Bintang […]

    Balas

TINGGALKAN RESPONS