LEWAT kebelakangan ini, trend mengeluarkan single lebih menjadi pilihan dalam kalangan penyanyi tanah air. Peralihan medium jualan – fizikal kepada digital turut mendorong perubahan pendekatan tersebut.
Album penuh dianggap kurang praktikal pada era streaming dan muat turun kini. Begitupun ia tidak mengekang barisan artis berpengalaman untuk mengambil risiko dan mengeluarkan album studio.
Tahun ini, selepas Dato’ Sheila Majid dan Dayang Nurfaizah muncul mempertaruhkan album penuh, Dato’ Siti Nurhaliza pula menyusul.
FOTO/
Semalam, penyanyi nombor satu negara itu melancarkan album solo (studio) ke-18 yang diberi nama SimetriSiti.
Siti boleh dikelaskan sebagai penyanyi beruntung. Setiap produk muzik yang dikeluarkan akan didukung hebat peminat setianya. Justeru, keputusan untuk menerbitkan sebuah album studio bukanlah sesuatu yang mengejutkan.
Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kenny Ong, juga mengakui betapa berbezanya Siti dengan penyanyi lain. Objektif untuk Siti sentiasa difokuskan terhadap penghasilan album.
“Siti mesti mengeluarkan produk yang sempurna kepada peminat. Objektif bagi album ini adalah untuk Siti muncul dengan sebuah produk berkelas antarabangsa dan bertaraf anugerah berprestij,” jelas Kenny pada majlis pelancaran album SimetriSiti di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur.
Kerancakan penyanyi prolifik mengeluarkan album studio turut disenangi Siti yang melihat ia sebagai persaingan sihat terutama dari sudut kualiti yang dipersembahkan.
FOTO/
“Saya sendiri sentiasa berusaha untuk mengeluarkan album penuh kerana peminat mahukan lagu-lagu baharu. Dengan cara itu juga mudah untuk saya muncul dalam persembahan-persembahan besar bersama katalog terkini,” kongsi Siti.
Keberanian syarikat rakaman menerbitkan album penuh artis masing-masing juga perlu diberi kredit. Siti memuji inisiatif syarikat-syarikat rakaman yang sebenarnya memainkan peranan dalam memberikan nafas kepada industri.
“Kebiasaannya penyanyi hanya mampu mempromosikan single atau album mini. Syarikat rakaman yang bertanggungjawab mendorong penghasilan album penuh,” tambah Siti.
SimetriSiti yang memuatkan 10 buah lagu baharu dipimpin oleh Aubrey Suwito. Buah tangan baharu jantung seni negara itu turut mendapat sentuhan Jenny Chin, Ade & Jeje Govinda, Mujahid Abd. Wahab, Szewan, Firdaus Mahmud dan Opick.
Judika dan Joe Flizzow masing-masing menyumbangkan vokal mereka bergandingan bersama Siti untuk lagu Kisah Ku Inginkan (Ivan Lahardika) dan Penghiburku (Dato Siti Nurhaliza).
Pengiktirafan daripada Anugerah Industri Muzik (AIM) juga menjadi buruan Siti untuk album kali ini.
“Saya tidak malu untuk mengakui bahawa sasaran saya adalah pencalonan AIM. Ia merupakan platform berprestij bagi menghargai mereka yang bertungkus-lumus di sebalik pembikinan sebuah album,” ujar Siti jujur.
Single pertama SimetriSiti, Segala Perasaan telah dilancarkan minggu lalu. Album terbitan Universal Music Malaysia dan Siti Nurhaliza Productions itu akan berada di pasaran secara digital dan fizikal bermula 10 Mei 2017.