UJIAN kiriman Allah kepadanya telah mengubah pandangannya tentang nilai sebuah kehidupan. Betapa tidak tertara harga kesempatan kedua dalam merubah akhlak dan percaturan duniawi. Ketumbuhan di otak yang dialami pada awal tahun ini pernah mengelamkan semangat Nazim Othman.
“Saya sendiri tidak sangka akan diduga sebegitu, apatah lagi orang lain. Siapa sangka ada ketumbuhan di dalam otak saya sehingga terpaksa menjalani pembedahan?” Nazim atau nama sebenarnya, Nushrul Alif Othman membuka bicara.
FOTO: SHAKER HANAFI () | GRAFIK: OMAR BENJAMIN FAHMY | SOLEKAN: WIRA KASTRYA () | BUSANA: JOVIAN MEN RAYA EDITION BY JOVIAN MANDAGIE ()
Kesakitan dialami Nazim bermula 3 Januari lalu. Daripada demam dan muntah, disusuli pula dengan sakit kepala yang berlarutan selama lebih sebulan. Kunjungannya ke beberapa hospital bagaimanapun gagal mengesan sebarang masalah. Hanya selepas dipinta bapanya agar menjalani pemeriksaan pengimejan resonans magnetik (MRI), penyakit Nazim dikenal pasti.
Hampir dua minggu Nazim, 31, termangu, enggan bersetuju menjalani pembedahan. Memandangkan otak merupakan organ paling penting yang menjadi penghubung kepada seluruh saraf, dia bimbang dan takut.
Sokongan moral keluarga dan teman rapat berserta kekuatan dalaman akhirnya berhasil memujuk Nazim menjalani pembedahan. Empat jam dia terbaring tidak sedar di dalam dewan pembedahan. Alhamdulillah segalanya dilancarkan Allah.
Ketumbuhan yang terletak di antara bahagian mata kanan dan atas hidung kanan berjaya dibuang. Segala urusan dipermudahkan termasuklah proses penyembuhannya. Sehari selepas pembedahan, Nazim mampu berjalan sendiri ke bilik air dan hanya ditahan di hospital selama dua minggu.
“Ia merupakan fasa beremosi bagi saya terutama apabila ada segelintir pihak membuat spekulasi bahawa saya menghidap barah atau kanser otak. Sedangkan ketika itu saya sendiri tidak mengetahui penyakit sebenar dan benar-benar berharap ia bukanlah dua penyakit tersebut,” terusik sabar dan tenang sehingga menitis air matanya tatkala membaca laporan tidak tepat yang bertebaran di blog-blog hiburan tempatan.
Mengakui betapa tenang dan lapang dirinya selepas mengharungi dugaan tersebut, anak kedua daripada lima adik-beradik itu kini memiliki perspektif berbeza berkenaan pertalian manusia dan dunia. Dia juga melebihkan waktu melakukan perkara-perkara yang menggembirakan diri termasuk keputusan memeranjatkan untuk kembali menyertai dunia penerbangan sebagai pramugara.
“Percubaan untuk kembali menjadi pramugara juga antara perkara yang menyenangkan. Biarlah orang berkata ia tidak memberi gaji selumayan bayaran berlakon, asalkan saya gembira. Wang ringgit memang penting tetapi ia bukan segalanya.
“Saya tahu apa yang saya lakukan dan tahu tidak akan hilang terus daripada bidang lakonan. Bagaimanapun bukan kesemua perancangan itu perlu saya kongsikan kepada semua orang.
“Cukup sekadar mengetahui bahawa saya memang merancang untuk kembali dalam dunia penerbangan dan sanggup meninggalkan bidang lakonan sementara ataupun untuk tempoh panjang, terserah kepada ketentuan Allah.
“Saya sudah bersedia dari segi mental untuk jalani kehidupan tersebut. Selepas jatuh sakit, perasaan untuk laksanakan perkara yang ingin dilakukan bertambah kuat. Selepas sembuh saya rasa bahawa hidup ini pendek. Apa-apa boleh berlaku,” Nazim bercerita.
Lima tahun bergelar pramugara Penerbangan Malaysia (MAS) dari 2003 hingga 2008, pengunduran Nazim daripada dunia penerbangan adalah atas dasar kontrak yang tamat tanpa diperbaharui. Memang niatnya untuk mencuba syarikat penerbangan lain, namun rezeki dalam bidang komersial sehinggalah berjaya menjadi pelakon telah menggendalakan keinginan asalnya.
Sepanjang tempoh bergelar pelakon, kerinduan Nazim terhadap kerjaya pramugara kekal menggebu. Cuma perasaan rindu itu kini lebih menebal. Jika diberi kesempatan, kedua-dua profesion (pelakon dan pramugara) ingin dilakukan serentak.
“Disebabkan itu saya masih mengutamakan syarikat penerbangan tempatan. Seandainya tiada rezeki bersama mereka, barulah saya akan mencuba syarikat penerbangan lain meskipun terpaksa bekerja sepenuh masa. Sememangnya saya serius untuk kembali terbang,” jelas Nazim yang tidak merasakan keinginannya itu sebagai satu langkah setapak ke belakang.
“Jika keputusan saya itu seolah-olah menurunkan tahap pencapaian saya dalam dunia kerjaya, ia bukanlah satu masalah kerana saya tidak menyusahkan sesiapa. Ini merupakan pilihan dan kehidupan saya,” tegasnya.
Permulaan
Mengimbau kembali kisah penghijrahannya ke Kuala Lumpur, sememangnya ia sarat cabaran yang mampu menginspirasikan ramai. Ketika itu Nazim masih seorang remaja mentah, baru berusia 18 tahun. Tamat sekolah, dia meminta kebenaran ibu bapa dengan alasan untuk bekerja.
Sebaliknya dia menghadiri temu duga bagi program Skim Perantisan Industri Perhotelan (HIAS). Hasil kejayaan temu duga, Nazim kemudiannya mengikuti kursus pendek di Universiti Taylor’s (dahulu Kolej Taylor’s) sebelum ditempatkan di Hotel Park Plaza (lokasi terkini Hotel Maya).
Sepanjang dua bulan mengikuti program tersebut, Nazim terpaksa mencatu perbelanjaan hariannya. Hanya roti dijadikan pengalas perut. Adakalanya dia terpaksa berperut kosong ataupun menunggu hidangan yang dimasak seorang rakan yang belajar dalam jurusan kulinari di dalam kelas.
Nazim berkeras hati untuk tidak memohon bantuan sesiapa termasuklah ibu bapa sendiri. Dia pernah bermalam di lot parkir bawah tanah sebuah bangunan berhampiran hotel tempatnya bekerja untuk beberapa malam. Bangku-bangku awam sekitar KLCC juga pernah menjadi tilamnya.
Kadang-kadang tidurnya disergah pengawal keselamatan. Biarpun menyewa rumah di Bukit Bintang, kebimbangan terhadap keselamatan diri mendorong Nazim untuk tidur di tempat-tempat awam. Menjelang pagi barulah dia pulang ke rumah.
“Kalau kerja habis lewat, saya takut untuk balik rumah. Setiap hari saya berjalan kaki dari Bukit Bintang (belakang Hotel Istana) ke tempat kerja. Orang cakap malam-malam ramai samseng dan pencuri, sebab itu saya risau,” imbas Nazim.
Ujian hadir lagi pada hari temu duganya bersama MAS. Selepas meminta pertolongan pekerja syif pagi untuk datang lebih awal memandangkan dia bekerja pada syif malam (11 malam hingga 7 pagi), Nazim berhasil pulang ke rumah untuk bersiap.
Dari Bukit Bintang, Nazim menaiki teksi untuk dihantarkan ke stesen transit aliran ringan (LRT) Pasar Seni. Malangnya tidak sampai separuh jalan, pemandu teksi terpaksa menurunkannya ekoran penutupan jalan. Terpaksalah dia berjalan kaki sejauh dua hingga tiga kilometer untuk tiba ke stesen LRT tersebut. Mujur sesi temu duga berjalan lancar dan dia diterima bekerja.
Dunia penerbangan merupakan jendela Nazim bagi mengenal dunia. Sebelum itu, pemikirannya amat tertutup. Begitu besar jasa MAS dalam menginsankan Nazim Othman yang hari ini. Selain berupaya meningkatkan keyakinan diri, kerjaya itu juga membantu Nazim mengasah skil komunikasi, keupayaan mengendalikan pelbagai tugas dan bergerak pantas. Persekitaran tersebut banyak mencergaskan otaknya dalam berfikir dan bertindak.
Biarpun ada ketikanya, dia masih mengalami masalah keyakinan diri, Nazim memilih untuk mengentalkan jiwa. Justeru dia mampu bertahan sehingga kontraknya tamat.
“Dalam tempoh usia 18 hingga 25 tahun, kita masih mencari identiti diri dan kekuatan jiwa. Kecelaruan itu adalah satu perkara biasa yang dihadapi semua orang termasuklah saya sendiri. Sepanjang tempoh pematangan diri itu, saya kerap mengalami tekanan walaupun sudah bekerja.
“Jadi suka untuk saya berpesan kepada kelompok usia tersebut agar tidak mengambil serius tekanan yang dialami. Ia merupakan fasa normal sebelum mencapai kestabilan emosi, mental dan sebagainya. Apabila kita berdepan penolakan, kita yang memilih sama ada jadikan ia sebagai pembakar atau pemakan semangat,” Nazim mengingatkan.
Bidang seni
Hanya selepas dua tahun mencari tapak sebagai pelakon, barulah Nazim mengecapi kestabilan dari segi nama dan jenama. Disiplin dan penampilan menjadi intipati terpenting Nazim sepanjang bergiat aktif dalam bidang seni. Ketepatan waktu amat ditekankan.
Nazim antara pelakon yang sanggup berhabis duit bagi membentuk imej watak yang dibawa. Dia begitu teliti dalam perihal penampilan setiap karakter yang dipertanggungjawabkan.
Merasai kemuncak populariti pada 2013, Nazim menempatkan dirinya kini berada dalam zon selesa. Justeru alasan untuk berusaha kembali menjadi pramugara sebenarnya tidak berpunca daripada kekurangan tawaran lakonan ataupun penurunan populariti.
“Saya masih menerima tawaran lakonan dan masih muncul di kaca televisyen. Cuma produk yang meninggalkan impak itu kurang. Dalam bidang ini ada kitaran. Mungkin saya laris pada 2013 tetapi bukan bermakna rezeki itu terputus pada tahun berikutnya.
“Sejujurnya saya bangga dengan pencapaian dalam lapangan ini. Hanya tahun pertama saya bergerak di bawah pengurus. Tamat kontrak saya memilih untuk menguruskan diri sendiri dan Alhamdulillah ia tidak mengundang sebarang kekacauan.
“Sejak kecil saya seorang yang berdikari. Saya tahu apa saya inginkan dan bagaimana untuk mendapatkannya. Jadi apabila ada pengurus, kesefahaman dan kehendak itu mungkin tidak selari,” tutur Nazim yang popular menerusi drama Dejavu di Kinabalu dan kini menjadi wajah rasmi untuk kempen lebaran 2015 Jovian Men.