“Semua itu kuasa Allah dan Dia maha mengetahui segala yang berlaku, ibu pasrah dan terima segala ketentuan-Nya,” demikian ulas dramatis terkenal Wan Maimunah Wan Abdul Aziz, 62, eksklusif kepada Pepatung mengenai berita perceraiannya yang tersebar sejak pagi tadi.
Menurut sebuah portal tempatan, Wan Maimunah dilaporkan telah bercerai dengan suaminya yang juga seorang usahawan kacang pol, Makpol Saimon, 55.
Bagaimanapun, pelakon filem Putih itu enggan mengulas lanjut mengenai berita perceraian tersebut atas alasan yang munasabah.
Wan Maimunah yang popular dengan gelaran Ratu Air Mata itu telah mendirikan rumah tangga bersama Makpol pada 14 Disember 2013 di sebuah hotel di Johor Bahru, Johor.
Kini, Wan Maimunah masih menetap di Johor Bahru dan menafikan telah berpindah ke Kuala Lumpur selepas bercerai pada bulan April lalu.
Pelakon yang pernah menjulang trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Anugerah Skrin 2002 menerusi drama Rumah Di Tengah Sawah itu mula menceburkan diri dalam bidang lakonan sejak 50 tahun lalu.
Pepatung bersimpati atas situasi yang melanda rumah tangga Wan Maimunah. Diharapkan beliau tabah menjalani liku-liku hidup yang serba mencabar ini.