Bahana aplikasi media sosial

0
141

TIDAK dinafikan, aplikasi media sosial seperti Twitter, Instagram, Facebook dan WhatsApp merupakan jambatan utama dalam memudahkan komunikasi pada masa kini. Bermula sebagai platform penyebaran maklumat, ruang digital itu kemudiannya berevolusi menjadi medan perniagaan serta medium popular dalam dunia pemasaran.

Walaupun banyak elemen positif mampu dicapai daripada penggunaan aplikasi-aplikasi tersebut, namun masih ada beberapa perkara negatif yang boleh mempengaruhi atau mengubah kehidupan seseorang. Contoh ketara adalah keretakan hubungan sesama manusia akibat penangan media sosial.

Beberapa hal kurang disenangi seperti pergaduhan juga mampu tercetus disebabkan ketelusan media sosial. Sebagai contoh, hubungan sesama rakan boleh menjadi renggang jika kita hanya membaca pesanan WhatsApp tanpa membalasnya. Begitu juga dengan selebriti. Imej baik mereka boleh tercalar hanya disebabkan gambar atau komen yang disiarkan menerusi Instagram diputarbelit lalu dijadikan isu.

Berikut merupakan beberapa impak negatif yang berlaku menerusi  empat aplikasi media sosial tersebut:

1) Twitter
Baru-baru ini, seorang gadis yang tidak dikenali identitinya menjadi mangsa viral di Twitter apabila fesyen tudungnya dikatakan menyerupai hantu pocong. Kapsyen gambar yang dimuat naik oleh pengguna Twitter berbunyi: “Penampakan sosok pocong di siang hari. Berani betul siang-siang muncul. Shizzzz.”

Walaupun ia sekadar satu gurauan, tetapi gadis yang bertudung jingga itu menerima kritikan serta cemuhan hebat daripada pengguna media sosial. Lebih memburukkan keadaan, gambar-gambar lain gadis tersebut turut dimuat naik di beberapa laman Facebook yang tidak diiktiraf dan dijadikan bahan jenaka. Mungkin ya, perlakuan seperti ini boleh mengisi masa lapang anda pada waktu senggang. Namun, sedarkah anda bahawa ia juga boleh menyebabkan gangguan emosi dan menggugat ketenteraman jiwa seseorang? Seharusnya, pengguna laman sosial perlu lebih berwaspada sebelum memuat naik sebarang kemas kini di internet.

Twitter juga amat popular sebagai medan pelepas perasaan. Ia bagaikan diari peribadi terbuka seseorang. Apabila kita marah, gembira atau sedih, maka mulalah jari-jemari rancak mengarang kata-kata yang datangnya terus dari hati. Adakalanya tweet itu disalah erti sehingga memakan diri. Beberapa ahli politik tempatan sendiri pernah menjadi mangsa keadaan dek ‘keceluparan’ tweet mereka. Kurangkan atau elakkan berkongsi tweet berunsurkan perihal sensitif.

2) Instagram
Artis dan Instagram memang tidak dapat dipisahkan. Selain menggunakan laman perkongsian gambar itu untuk memberitahu perkembangan terkini, ia juga merupakan platform yang efektif untuk melepaskan tekanan perasaan. Jika kebanyakan artis mencipta kontroversi apabila memuat naik gambar menampakkan buah dada, betis, paha dan juga mungkin gambar mesra bersama kekasih hati, lain pula kisahnya dengan penyanyi Fynn Jamal.

Penyanyi yang dahulunya pernah menyertai rancangan KeyNote itu didakwa meletakkan syarat sekiranya peminat mahu bergambar bersamanya.

Fynn

Ramai yang mengecam tindakan Fynn Jamal kerana meletakkan syarat sebegitu. Namun, Fynn sendiri mengiyakan apa yang dikatakan oleh pemilik akaun Instagram bernama  dan mendedahkan bahawa syarat tersebut dibuat kerana terlalu ramai orang mahu bergambar dengannya. Tidak lama kemudian, komen gadis tersebut telah dipadam dan tiada lagi akaun di bawah nama tersebut.

Walaupun Instagram pelantun lagu Arjuna Beta itu dijadikan medium perkongsian kisah hariannya sebagai seorang isteri dan ibu, tetapi ia juga boleh dijadikan medan orang awam untuk mencari salah dan silap. Justeru, sebagai pengendali akaun Instagram, para selebriti juga bukan sahaja perlu berdepan dengan kerenah peminat, malah mata orang awam yang sentiasa memerhati setiap gerak-geri.

Selain itu, Instagram juga membolehkan para penggunanya menekan butang Like pada gambar seseorang. Namun dalam keghairahan kita menekan butang Like itu, tanpa disedari ia boleh melukakan perasaan insan yang kita sayangi. Baru-baru ini, seorang isteri dilaporkan mengamuk apabila suaminya menekan butang Like pada gambar seorang pelajar perempuan. Selain meninggalkan komen-komen berbaur hamburan kepada suaminya pada gambar tersebut, sebenarnya wanita itu juga sedang memalukan diri dan mendedahkan masalah rumah tangganya kepada umum.

instagram-600x360

Si suami mungkin tidak berniat apa-apa, tetapi jika difikirkan, apakah rasional menekan butang Like pada gambar perempuan yang tidak anda kenali? Mungkin si isteri ternampak notifikasi Like suaminya itu pada ruangan Activity (Following). Justeru, kepada anda di luar sana, janganlah menggadaikan perhubungan yang dibina semata-mata ‘godaan’ gambar di Instagram. Beringatlah bahawa laman sosial seperti ini tidak lebih daripada sekadar sebuah platform paparan keindahan bagi menutupi kekurangan diri.

Buat mereka yang tidak menyenangi aktiviti pasangan anda pula, jangan sesekali memaki hamun mereka di laman sosial, buruk padahnya. Sebagai orang dewasa, ambil solusi profesional dengan bertanya kepada mereka secara bersemuka.

Efek negatif Instagram tidak terhenti di situ sahaja. Kalau diperhatikan, sebenarnya media sosial ini menjadi ruang ‘pornografi’ senyap. Bukan mengecam kebebasan mana-mana individu, tetapi lambakan pengguna yang berkongsi gambar separuh bogel, dengan hanya berseluar dalam / berbaju dalam / tidak berbaju, baik lelaki mahupun wanita semata-mata mahu menunjukkan tubuh seksi (wanita) / tegap (lelaki) mendorong kepada pelbagai hal tidak baik.

Maka pada masa ini, orang tidak lagi perlu melayari laman web pornografi, cukup dengan mengunjungi akaun-akaun Instagram individu yang sering berkongsi gambar seksi.

3) Facebook
Sebagai laman sosial unggulan, Facebook sememangnya banyak memudahkan perhubungan penggunanya di serata dunia. Komunikasi dari benua ke benua dapat dihubungkan dengan begitu efektif. Ia adalah sebuah rangkaian tanpa sempadan bagi penggunanya berinteraksi pada bila-bila masa (secara percuma) dengan rakan-rakan mereka tanpa mengira di mana lokasinya, asalkan ada sambungan internet.

Jika media sosial lain hanya menumpukan terhadap perkongsian sama ada berbentuk gambar atau kata-kata, Facebook pula bersifat menyeluruh. Anda boleh berkongsi status panjang, memuat naik gambar dan video serta berbual bersama rakan-rakan menerusi ruangan chat.

Status adalah kekuatan Facebook. Majoriti penggunanya akan memuat naik status untuk dikongsikan kepada rakan-rakannya. Namun apa yang menjadi masalah adalah apabila status yang dimuat naik menghuru-harakan keadaan. Terdapat banyak kes melibatkan status Facebook yang mencetuskan ancaman keamanan kepada negara, berbaur perkauman dan menghina institusi beraja sehingga memaksa pihak berkuasa masuk campur.

Perkongsian status dan video yang tidak diketahui kesahihannya juga menjadi penyakit dalam masyarakat kita. Wardina Safiyyah misalnya, pernah menimbulkan kontroversi apabila mendakwa ceramah Ustaz Don Daniyal di dalam sebuah video mengandungi penjelasan hadis palsu.

big_thumb_f44f

Tindakannya itu mungkin sekadar mahu berkongsi pendapat dan berharap pihak tertentu menjalankan siasatan terhadap kandungan ceramah itu. Namun apabila Ustaz Don sendiri tampil memberi kenyataan bahawa video tersebut telah disunting dan tidak disiarkan sepenuhnya, maka wujud tanggapan bahawa ada pihak yang mempunyai niat tidak baik.

Begitu mudah pengguna Facebook terpedaya dengan perkongsian maklumat tidak jelas sebegitu. Bukankah lebih baik kita sendiri mengambil inisiatif melakukan kajian dan pembacaan berteraskan rujukan ilmiah? Jangan jadi golongan malas untuk membaca dan terlalu bergantung kepada informasi tidak jelas seperti yang bertebaran di laman sosial khususnya Facebook.

4) WhatsApp
Ia mungkin condong kepada kategori aplikasi untuk bermesej. Namun keupayaan WhatsApp dalam berkongsi gambar, video dan merakam mesej bersuara telah menjadikan ia sebagai media sosial berkepentingan. Terdapat banyak kelompok pengguna WhatsApp dan sebahagiannya boleh anda kenali menerusi artikel ini: 7 jenis individu dalam WhatsApp Group Chat

Masalah utama yang sering dihadapi pengguna WhatsApp adalah mesej yang telah dibaca (bertanda dua right berwarna biru) tetapi tidak dibalas. Ia kedengaran remeh tetapi cuba anda berbual dengan rakan-rakan anda tentang isu ini, barangkali hampir semua pernah berdepan masalah ini dan menganggap ia sesuatu hal yang menjengkelkan.

WhatsApp-blue-tick-219114

Tambahan pula apabila mesej yang dihantar bersifat urgent dan memerlukan respons segera. Mungkin rakan anda sedang beratur untuk membeli tiket wayang dan mahukan pengesahan sama ada anda akan datang atau tidak? Apabila anda membaca mesej tersebut dan mengabaikannya, sudah tentu ia akan menimbulkan kemarahan rakan anda. Jika anda sedang sibuk sekalipun, mungkin anda boleh membalas secara ringkas bagi mengelakkan pertelingkahan remeh dek kerana WhatsApp.

Belum lagi menjenguk perkelahian pasangan kekasih atau suami isteri akibat tidak membalas mesej WhatsApp yang telah dibaca. Akibatnya, mulalah timbul rasa curiga dan menghakis kepercayaan kerana beranggapan bahawa pasangan mereka mungkin menyembunyikan sesuatu atau sedang bersama orang lain. Anda mungkin merasakan ia lucu tetapi usah dipandang ringan masalah ini kerana ia boleh merosakkan keharmonian perhubungan.

Foto kredit: BMrakyatpost/says/express

KONGSI
Artikel sebelumnyaPertandingan rekaan typography Neonate Clothing
Artikel seterusnyaCara bergaul dengan rakan yang berpendapatan lebih tinggi daripada anda

TINGGALKAN RESPONS