Sebelum jual tudung RM20,000, pengasas Bawal Exclusive pernah jual tudung RM5 di Jalan TAR

0
1079

BAKAL meraikan ulang tahun ke-20 dalam perniagaan tudung tahun depan, pengasas , Haliza Maysuri berkongsi kronologi jatuh bangunnya dalam dunia keusahawanan.

FOTO/

Kunjungan Pepatung ke Wisma Bawal Exclusive di Bandar Bukit Puchong, Selangor baru-baru ini memberi kesempatan untuk kami berbual panjang.

Sambil berbual, mata melilau melihat tudung-tudung yang dipamerkan. Di satu bahagian, tergantungnya tudung-tudung berharga puluhan hingga ratusan ringgit. Tudung yang mencecah ribuan ringgit pula dipamerkan di bahagian lebih eksklusif.

Apa yang membuatkan tudung tersebut dijual pada harga ribuan ringgit? Bahkan tudung termahal yang dijual pada harga RM21,600 pada awal tahun ini juga menimbulkan kekeliruan masyarakat. Mengapa begitu mahal nilai sehelai tudung bawal?

Tenang merungkai persoalan tersebut, Haliza menjelaskan bahawa mereka yang tidak pernah membeli atau memakai tudung jenamanya pasti akan tertanya-tanya. Namun, dia tidak melenting atau terkesan dengan sindiran mahupun kecaman masyarakat di media sosial.

“Bawal Exclusive bukan sekadar menjual tudung ribuan ringgit. Kami juga menyediakan tudung serendah RM50 yang menggunakan fabrik voile Jepun dan kristal Swarovski berkualiti sama seperti tudung-tudung mahal.

“Setiap tudung yang kami hasilkan melalui proses pembuatan yang teliti termasuklah peletakan kristal Swarovski,” Haliza memulakan bicara.

Kekeliruan orang ramai terhadap Swarosvski juga perlu diperbetulkan. Menurut Haliza, kesemua tudung jenamanya hanya menggunakan kristal Swarovski asli yang diimport secara langsung dari Austria.

Swarovski merupakan jenama pengeluar kristal yang diasaskan Daniel Swarovski pada pada 1895. Maka, bukan semua batu kristal di pasaran merujuk terus kepada Swarovski.

FOTO/SWAROVSKI

Kerjasama rasmi antara Bawal Exclusive dan Swarovski yang terjalin sejak 2004 juga memberikan kelebihan kepada mereka untuk menghasilkan kristal tersendiri, eksklusif untuk jenama Bawal Exclusive.

“Masyarakat juga perlu tahu bahawa tudung yang mencecah ribuan ringgit hanya dihasilkan sehelai untuk setiap rekaan. Kami tidak mengulang rekaan agar nilai eksklusif yang dimiliki pelanggan kekal sampai bila-bila.

“Kami cuba memenuhi kuasa membeli setiap tahap pendapatan pelanggan. Jika kita mampu membeli kasut dan beg tangan berjenama antarabangsa mencecah ribuan ringgit, mengapa kita perlu prejudis terhadap tudung?

“Apatah lagi tudung dipakai di kepala, keluaran jenama bumiputera dan orang Islam. Jika Bawal Exclusive meraih sokongan penuh daripada pengguna tempatan, saya yakin ia mampu pergi lebih jauh. Kalau kita boleh mengagungkan jenama luar, mengapa tidak berbangga dengan jenama tempatan?” Haliza melontar pendapat.

Pada awalnya, Bawal Exclusive hanya memasarkan tudung berharga puluhan ringgit. Sehinggalah suatu hari seorang pelanggan melihat Haliza memakai tudung dengan rekaan susunan kristal Swarovski yang lebih sarat berbanding tudung jualannya.

Pelanggan tersebut meminta dihasilkan sehelai untuknya dan sanggup membayar walaupun dicaj ratusan ringgit. Sejak itu, semakin ramai pelanggan meminta untuk menempah tudung mengikut rekaan eksklusif.

Tangga harga juga meningkat sehinggalah mencecah ribuan ringgit. Permintaan dan kemampuan pelanggan untuk membelanjakan wang membeli tudung berharga sedemikian sebenarnya yang membuatkan Bawal Exclusive berani untuk menghasilkan tudung-tudung mahal.

Jalan TAR

Kebangkitan jenama-jenama tudung tempatan sejak kebelakangan ini tidak mencemaskan Haliza. Malah, dia seronok menyaksikan kerancakan bisnes tudung yang semakin meluas. Situasi itu amat berbeza dengan apa yang dilaluinya sepanjang hampir 20 tahun dalam dunia perniagaan.

Bermula di pasar malam, kemudiannya berniaga di kedai kecil (arked) di Jalan Tuanku Abdul Rahman (Jalan TAR), Haliza mendaki anak tangga kejayaan dari bawah. Kisah kejayaan Bawal Exclusive tidak disulami jalan pintas.

Mengimbau permulaan pada 1998, ketika tudung dijual tanpa label atau jenama. Seperti peniaga lain, Haliza bersama suami, Rosli Awang mengambil stok tudung daripada pembekal. Persaingan sesama peniaga ketika itu sangat tinggi. Apatah lagi masing-masing menjual barangan yang sama.

FOTO/

Psikologi harga yang dimanipulasi segelintir peniaga berbangsa asing membuatkan jualannya merosot. Sewa kedai RM2,000 sebulan tertangguh selama empat bulan.

Modal awal RM25,000 hangus begitu sahaja. Demi kelangsungan hidup, Haliza yang ketika itu sarat mengandung anak pertama menyatakan keputusannya untuk menghentikan perniagaan tudung kepada pemilik kedai.

Kebetulan rakannya menawarkan untuk berniaga kacang rebus. Hasrat tersebut ditolak pemilik kedai, yang dikenali Haliza dengan gelaran uncle Wong.

“Uncle Wong beri kebenaran untuk kami terus berniaga dan menyelesaikan tunggakan sewa sedikit demi sedikit. Dia telah meninggal dunia beberapa tahun yang lepas. Hubungan kami kekal baik sehinggalah saya berjaya membuka butik Bawal Exclusive pertama di Jalan TAR pada 2004.

“Kebaikannya kepada kami sekeluarga tidak mungkin dapat saya lupakan. Dia juga yang memberikan TV dan selalu membelikan permainan untuk anak sulung saya,” Haliza mengenang memori.

Peluang yang diberikan uncle Wong telah membuka mata Haliza dan suami untuk membuat perubahan. Untuk berjaya, mereka perlu mencipta identiti sendiri.

Ketika suaminya ke Arab Street, Singapura, di situ dia terjumpa kedai yang membekalkan manik dan kristal Swarovski asli. Angan-angan untuk membangunkan sebuah perniagaan bersifat jangka panjang sehingga mampu dikenali di peringkat antarabangsa menjadi pembakar semangat mereka.

Berbekalkan duit yang ada, suaminya membeli lima paket kristal Swarovski berwarna putih. Bagi memastikan kualiti tudung yang bakal dihasilkan menepati nilai kristal Swarovski itu, Haliza dan suami memilih fabrik voile atau digelar kain kasa rubia oleh orang tempatan.

“Sebenarnya nama tudung bawal tu berasal daripada kain voile. Sebutan voile di Kelantan kedengaran seperti bawal menyebabkan gelarannya melekat sehingga ke hari ini.

“Fabrik voile yang kami gunakan diimport pembekal dari Jepun. Kami beli 20 helai sahaja ketika itu. Tanpa idea atau kreativiti untuk menyusun kristal Swarovski di atas tudung tersebut, beberapa helai rosak begitu sahaja.

“Perlahan-lahan, kami cuba untuk menghasilkan tudung yang berpotensi untuk dijual. Hanya menggunakan seterika biasa, akhirnya kami berjaya mendapatkan corak yang bersesuaian.

“Apabila dibawa ke kedai, kesemuanya habis dijual walaupun dijual pada harga RM25 sehelai. Kemudian kami beli lagi 40 helai tudung dan teruskan dengan proses peletakan kristal Swarovski yang sama. Sambutan terus meningkat sehinggalah mencecah ratusan helai.

“Kristal Swarovski pula kami beli dari Singapura dengan cara mengirim kepada pemandu bas ekspres. Setiap kali stok sampai, suami akan menunggu di Puduraya,” Haliza bercerita.

Kerja-kerja penyediaan tudung dilakukan sendiri Haliza dan suami di pangsapuri yang mereka sewa di Sentul, Kuala Lumpur. Dengan hanya bermotosikal, mereka meneruskan formula tersebut sehinggalah tudung mereka menjadi bualan ramai.

Pembekal tudung kemudiannya bertemu Haliza sendiri untuk urus niaga secara langsung sekali gus meluaskan jualan tudung kristalnya secara borong.

Bermulalah episod perkembangan perniagaan Haliza dan suami. Mereka menyewa sebuah lagi unit pangsapuri bagi menempatkan 15 pekerja. Bantuan bekas majikan suaminya di Singapura juga membolehkan mereka membeli sebuah mesin terbaik untuk proses penampalan kristal Swarovski pada tudung.

Selepas empat tahun menjadi pencetus ‘tudung batu’, Haliza dan suami akhirnya menjenamakan produk mereka di bawah nama Bawal Exclusive.

“Ramai tidak tahu bahawa orang kuat di sebalik Bawal Exclusive sebenarnya ialah suami saya. Kejayaan hari ini merupakan idea dan kerja keras dia. Pengalamannya bekerja menjahit manik di sebuah kilang di Singapura dipraktikkan sepenuhnya dalam membimbing Bawal Exclusive,” dedah Haliza yang berkongsi dua cahaya mata bersama suaminya.

Terbang ke Austria

Selepas berjaya membentuk identiti sendiri, Haliza dan Rosli merasakan sudah tiba masa untuk mereka mengimport fabrik secara langsung (tanpa orang tengah), serta menjalankan produksi penghasilan tudung sendiri.

Malangnya, kecetekan pengalaman telah melesapkan modal pembelian fabrik berjumlah RM200 ribu. Fabrik yang diterima amat berbeza dengan sampel yang ditunjukkan agen.

“Semua itu pelajaran. Biarpun tersalah fabrik, kami tidak mengambil kesempatan dengan menjual barangan yang berbeza pada harga lebih murah kepada pelanggan.

“Kami sentiasa memberikan yang terbaik kepada pelanggan. Biarpun tanpa promosi atau diskaun besar-besaran, pelanggan tetap setia dengan kami. Pelanggan kami merupakan duta yang terbaik,” tambah Haliza.

Sepanjang mengemudi Bawal Exclusive, pencapaian terindah Haliza pastinya undangan Swarovski bagi menghadiri ulang tahun ke-120 jenama antarabangsa itu pada 2015.

Selepas berbelas tahun menjadikan kristal Swarovski sebagai pelengkap tudung jualannya, itu merupakan kali pertama Swarovski mengundang mereka ke Austria.

DARI KIRI: ROSLI, MARKUS LANGES-SWAROVSKI & HALIZA KETIKA ULANG TAHUN KE-120 SWAROVSKI DI AUSTRIA

“Bayangkan kami duduk semeja dengan wakil-wakil jenama gergasi antarabangsa seperti Chanel dan BMW. Hairan juga mengapa Bawal Exclusive dijemput untuk keraian penuh bersejarah tersebut?

“Ketika itulah kami dimaklumkan bahawa Bawal Exclusive merupakan pemborong terbesar kristal Swarovski di Asia Tenggara. Sejak itu, setiap tahun kami ke sana bagi menghadiri mesyuarat untuk perancangan kerjasama masa depan,” kongsi Haliza.

Cabaran ciplak yang sering dialami pengusaha pakaian dan tudung juga sudah lali kepada Haliza. Sebelum tertubuhnya jenama Bawal Exclusive lagi, tudungnya pernah ditiru peniaga-peniaga tudung berbangsa asing.

“Cuma mereka menggunakan manik biasa dan menjual dengan harga murah. Mereka boleh meniru rekaan tetapi kualiti dan jenama tidak akan sama. Sedangkan jenama mewah antarabangsa pun ada tiruan, ini pula kita yang masih kerdil.

“Kalau rezeki mereka datangnya daripada jualan barangan tiruan, biarkan. InsyaAllah rezeki kita tidak akan berkurang, malah mungkin bertambah jika kita terus fokus,” Haliza memberitahu bahawa Bawal Exclusive turut menyediakan khidmat pemasangan kristal yang tertanggal secara percuma.

Sebelum menutup perbualan, Haliza sempat berpesan kepada para usahawan: “Untuk bertahan lama, bina identiti sendiri. Jadilah peneraju dan bukan peniru. Berniaga dengan jujur. Jangan sesekali membohongi pelanggan dan jaga kualiti barangan.”

TINGGALKAN RESPONS